Wednesday, October 15, 2008


ILMU & AKAL
oleh:Haslinda Lukman

Pendahuluan

“Umi, belon adik dah terbang! “ jerit Ika yang berusia 4 tahun sambil menjerit dan menangis dihalaman rumah. Puan Lia yang ketika itu sedang mengambil sesuatu dalam kereta terus menutup pintu kereta dan berjalan ketempat anaknya bermain belon. “Umi tak nampak pun belon kakak terbang?”


“dah terbang kebulan tu!, Umi, umi telefon atuk dan nenek suruh dorang ambil belon Ika” Ika berkata sambil menunjuk kearah bulan yang sedang mengambang penuh. Puan Lia pun melihat sama langit yang ditunjuk Ika. Cantik sungguh langit malam dengan bulan yang terang benderan dan bintang –bintang sedang mengerdip, ciptaan hebat Allah SWT . Puan Lia tersenyum dengan permintaan anak kecilnya itu. “Macam mana pulak nenek dan atuk nak ambik belon Ika kat bulan tu, jauh tau tempat tu?” gayat Puan Lia sekadar untuk melihat sejauh mana anak kecil itu berfikir. Anak kecil itu terdiam dan berkata “ umi belilah nanti kat Alamanda ye?” mintanya. Puan Lia mengangguk sambil tersenyum geli hati.

Adik-adik yang rajin, apa yang adik-adik boleh analisa dari sketsa diatas?. Secara umum kita dapat simpulkan bahawa akal manusia sentiasa aktif berfungsi tetapi fungsinya akan terlaksana dengan hebat apabila akal itu diisi dengan ilmu, Ika yang berusia 4 tahun hanya dapat berfikir dilingkungan ilmu dan imaginasi kanak-kanaknya sahaja. Setiap tahap pemikiran manusia juga amat berbeza bergantung pada tahap ilmunya, apabila akal diisi dengan ilmu, banyak manfaat yang dapat kita perolehi.

Kelebihan Ilmu

Ilmu pengetahuan bagaikan kehidupan bagi manusia. Surah al-alaq ayat 1 hingga 5 jelas menonjolkan seruan untuk menuntut ilmu.Sabda Nabi SAW “ Sesiapa yang mengikuti jalan untuk mencari ilmu pengetahuan maka Allah akan memudahkan kepadanya suatu jalan kesyurga”(Riwayat:Muslim)

Apa sahaja yang dituntut sama ada mengajar kebaikan , mencegah kemungkaran dan yang membawa manfaat adalah ilmu.

Gandingan Ilmu dan Akal


Hakikatnya apa jua yang kita perlu lakukan perlu kepada ilmu dan untuk meletakkan ilmu sesuai pada tempatnya pula adalah peranan akal. Akal yang sihat adalah akal yang diisi dengan ilmu,

Orang yang menggunakan akalnya dipandang mulia oleh Allah SWT, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : “ Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab (iaitu golongan yang berakal) iaitu orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata “ Wahai Tuhan kami , Kamu tidak menciptkan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami seksa neraka”.

Salah satu ciri yang terdapat pada golongan ulul albab adalah banyak berfikir. Banyak berfikir berkenaan penciptaan Allah mendekat diri manusia kepada Allah SWT.Untuk berfikir dengan baik, akal dan ilmu diperlukan.

Orang Berilmu

Islam memuliakan orang yang berilmu. Orang yang berilmu bersifat penyantun dan sangat hebat keperibadiannya kerana dengan adanya ilmu kita mampu untuk mengekang nafsu dari melakukan perkara yang tidak baik samada pada diri sendiri mahupun masyarakat dan ia akan beramal dengan ilmunya. Buktinya lahir ramai Ilmuan Islam yang unggul dalam bidang sains dan teknologi contohnya al-Biruni, al Farabi , Ibnu Rushd, Ibnu Sina dan ramai lagi.

Adik-adik semua, akal adalah alat yang sangat penting bagi mencapai kecemerlangan kerana melalui akallah ilmu dapat dimanfaatkan. Imam al Ghazali dalam Ihya Ulumuddin berpendapat “ Akal adalah kekuatan pemikiran semulajadi yang dikurniakan Allah kepada manusia supaya dengannya manusia dapat mengenali hakikat sesuatu perkara. Akal adalah tempat lahir serta tertegaknya ilmu. Ilmu lahir sebagaimana terbitnya buah-buahan dari pohon dan terpancarnya cahaya dari matahari. Akal amat mulia sehinggakan haiwan yang bertubuh besar lagi perkasa berasa bimbang dan takut semasa berdepan dengan manusia kerana menyedari manusia mempunyai kekuatan helah hasil dari kekuatan akal”.


Makanan Akal

Adik-adik yang dikasihi, potensi otak manusia amat mengkagumkan . Mengikut Institut Kajian Otak UCLA, potensi ini tidak terbatas. Ia mempunyai pengetahuan untuk mencipta, menyimpan, dan mempelajari apa jua yang perkara yang dikehendaki oleh manusia. Mengikut seorang tokoh dari Rusia, Dr. Ivan Yefremov, dengan kemampuan otak, kita mampu mempelajari 40 bahasa, mampu menghafaz satu set ensiklopedia dari A hingga Z dan mampu mengikuti dan menamatkan kursus-kursus yang dianjurkan oleh puluhan kolej. Hebat bukan?

Otak dan akal adalah mempunyai perkaitan untuk menyediakan otak agar dapat berfungsi dengan baik ia memerlukan tenaga dan tenaga ini boleh diperolehi melalui karbohidrat seperti yang terdapat dalam bijiran, nasi, dan gandum. Selain itu ia juga memerlukan vitamin B dan minyak omega-3 untuk mengelakkan kemurungan, sakit mental, gangguan intelektual dan strok.


Penutup

Akal adalah alat untuk menguasai ilmu. Antara cara dapat digunakan untuk memantapkan ilmu adalah dengan memperbanyakkan pengamatan, renungan, kajian serta analisis berhubung dengan penciptaan alam. Matlamatnya adalah untuk mengagungkan dan membesarkan Allah.

Oleh itu adik-adik dalam mencari ilmu hati kita perlu ikhlas untuk mencari keredhaan Allah. Ilmu yang tidak diredhai Allah boleh mendatangkan beban dan tekanan keatas pemiliknya akhirnya ilmu yang ada tidak akan bermanfaat andai tidak diamalkan.Manakala akal yang tidak dijaga juga boleh membawa kerosakan kepada manusia .



No comments: