Monday, October 13, 2008

KHUTBAH TERAKHIR KHABAR PERPISAHAN..
Oleh : Haslinda Lukman


PENDAHULUAN

Rasulullah SAW adalah manusia yang dimuliakan oleh Allah SWT. Kemuliaan yang dianugerahkan Allah SWT sebagai manusia contoh yang paling ideal dan sempurna dari semua sudut terutama akhlaknya. Allah berfirman yang bermaksud : “ Dan sesungguhnya bahawa engkau berada diatas budi pekerti yang mulia”(al-qalam:4)

Biografi Nabi Muhamad SAW adalah adalah biografi manusia yang paling indah. Setiap apa yang berlaku pada Rasululullah SAW samada perjuangan dan kehidupan adalah cukup menarik sehingga tidak mungkin boleh tertera dengan sempurna dalam sebarang karya.

Mari kita selusuri sedikit tentang Nabi SAW dari mula baginda dilahirkan sehingga baginda wafat mengimbau sejarah silam .

570M - Nabi Muhammad SAW dilahirkan.
610M - Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama di Gua Hira'.
615M- Orang Muslim didera oleh puak Quraish. Hijrah pertama ke Habsyah.
616M- Saidina Hamzah dan Saidina Umar memeluk
Islam. Hijrah kedua ke Habsyah .
619M – Khadijah (isteri nabi) dan Abu Talib (bapa saudara nabi) meninggal dunia. MelawatTaif . Peristiwa Ira’ dan Mi’raj berlaku.
621M- Perjanjian Aqabah pertama.
622M - Perjanjian Aqabah kedua.Hijrah ke Madinah.
624M-Perang Badar.
625M- Perang Uhud
627M- Perang Ahzab
628M-Perjanjian Hudaibiah
629M- Perang Khaibar dan dalam menentang tentera Rom Byzantine, baginda menghantar tentera Islam dalamPerang Mu’tah.
630M- Pembukaan Mekah Perang Hunain.
630M- Perang Tabuk.
632M- Kewafatan Nabi Muhammad SAW Perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah


KHUTBAH TERAKHIR KHABAR DUKA

Detik-detik terakhir menjelang kewafatan Nabi Muhammad SAW insan terpuji menghadap Ilahi, tertulis lakaran tinta emas dalam memori umat tentang keagungan peristiwa silam. Di lembah Uranah yang kering dan di atas Bukit Arafah pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah , di hadapan baginda, ribuan para sahabat mengelilingi baginda. Semuanya menanti penuh debar. Apakah ingin disampaikan baginda. Ramainya manusia yang berhimpun pada haji wida’ itu .Bergema seruan memecah keheningan sudut-sudut hati yang rindu dengan kebenaran. Berkumandang wasiat menjadi warkah pusaka yang tak akan punah dimakan waktu hingga akhir zaman.

Linangan air mata membasahi segenap harapan menyertai kalimah yang turun dari cahaya keagungan. Maka sempurnalah wahyu Ilahi sebagai pegangan hidup segenap makhluk. Rasulullah SAW pun menatap umatnya dengan penuh kesyahduan dan kepiluan, kerana kemesraan akan terlerai dengan elegi sebuah perpisahan. Refleksi kecintaan baginda terlerai pada pesanan terakhir baginda dalam Khutbah Al-Wida' yang penuh kemesraan demi kebahagiaan umat ini.

Baginda pun menyampaikan khutbahnya yang bersejarah:

“Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan, beristighfar dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan amalan kita. Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada siapa yang boleh menyesatkannya. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberikan hidayat kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya. Aku berpesan kepada kamu supaya mentaati-Nya. Aku membuka khutbahku ini dengan mukaddimah yang baik.

Wahai manusia! Sila dengar apa yang akan aku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.

1. Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar ini Makkah dan kawasan sekitarnya.

2. Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.
3. Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakimu (iaitu telah dihapuskan).

4. Tuntutan hutang darah di zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Rabi’ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.

5. Riba adalah haram dan aku memulakannya dengan membatalkan riba yang akan diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.

6. Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk. Jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan pakai dengan baik.

7. Semua orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu tidak halal bagi seorang muslim mengmbil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.

8. Jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.

9. Wahai manusia! Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku dan tidak ada lagi umat selepas kamu. Maka aku menyeru agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu dan menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengeluarkan zakat hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci Tuhanmu (kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.

10. Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain kecuali dengan taqwa.

11. Allah SWT telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati, oleh itu tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat dari para malaikat dan seluruh manusia.

12. Kemudian kamu akan disoal tentang aku, maka apa yang akan kamu jawab? Mereka menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu.” Baginda lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata, “Ya Allah! Saksikanlah.” Baginda Rasulullah mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan Rasulullah SAW dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi’ah bin Umaiyyah bin Khalaf ra.

Baginda berkhutbah di atas untanya yang bernama al-Qaswah. Di sinilah turunnya wahyu mengenai kesempunaan agama Islam.
“Pada hari ini telah disempurnakan bagimu agamamu, dan telah kucukupkan nikmat-ku kepadamu, dan telah kuredhakan Islam itu menjadi agama untukmu. (Al-Maidah ayat 3)

Selepas baginda membacakan wahyu ini, para sahabat saling berpelukan kerana begitu gembira. Namun saidina Abu Bakar ,melihat al-Qaswah unta nabi menitiskan air mata dengan banyaknya. Beliau pun ikut menangis.

Saidina Umar bertanya apakah sebabnya lalu Saidina Abu Bakar menjelaskan. Di sebalik berita gembira sempurnanya agama Islam, wahyu itu juga petanda khabar duka. Baginda pasti akan meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai Rasul sudahpun selesai. Mendengar itu Saidina Umar pun menangis sama, begitu juga dengan para sahabat yang lain.

PENUTUP
Teliti dan ambillah pengajaran dari khutbah terakhir Nabi SAW ini. Khutbah terakhir ini Nabi SAW sampaikan dengan penuh kasih sayang kepada umatnya sebagai hadiah terakhir untuk umatnya.Semoga menjadi umat Nabi SAW yang cemerlang dan gemilang.

No comments: