Wednesday, August 18, 2010




BILA BAYI-BAYI YANG DIBUANG MULA BERSUARA

Mayat bayi perempuan dipercayai cukup sifat ditemui di tebing sungai, bayi mati berbungkus dijumpai dalam tong sampah, bayi dijumpai disaluran najis dan longkang, bayi dijumpai ditangga rumah orang, surau dan tangga masjid”.
Ini antara fenomena bayi dibuang. Bayi-bayi yang dibuang tersebut ada yang ditemui dalam keadaan hidup dan ramainya telah mati dalam keadaan yang amat mengerikan samada telah dihurung semut dan terdapat yang dimakan separuhnya oleh anjing. dan mungkin juga mati lemas dalam bungkusan yang diikat oleh manusia yang tidak berhati perut.Bayi-bayi ini mula bersuara dan meraung sama ada melalui media cetak atau elektronik.Hasil jeritan, tangisan dan suara-suara ini akhirnya barulah kelam kabut semua pihak mencari jalan untuk menenangkan...Namun kemana pun jalan penyelesaian yang cuba dicari , titiknya hanya akan ditemui dalam Islam. Menghayati dan mengamalkan Islam itulah ubatnya...

Berdasarkan statistik Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia mendapati jumlah kes buang bayi antara tahun 2004-2009 ialah 485 orang.Bilangan kes meningkat sepanjang tahun , contohnya tahun 2007 ialah 76 kes dan pada tahun 2008 ialah 102 kes.Terkini statik dari januari sehingga 17 Ogos 2010 terdapat 66 kes buang bayi yang telah direkodkan.

PUNCA ....

a. Kurang kefahaman, didikan, dan penghayatan agama
Memudahkan remaja mengambil keputusan di luar jangkaan yang akan membinasakan diri mereka tanpa memikirkan batasan agama sehingga melakukan perkara yang bercanggah dengan syarak.

b. Gaya hidup diluar pegangan agama dan pergaulan yang terlalu bebas
Banyak masalah sosial yang berlaku kini umpamanya rempit, dadah, pil khayal dan penzinaan akibat dari pergaulan bebas. Cinta buta yang disulami dengan janji manis menyebabkan ramai golongan remaja terjebak dengan kes perzinaan.

c. Rangsangan seks melalui media cetak dan media elektronik
Pembangunan yang pesat dalam media elektronik dan cetak menyediakan pembelajaran yang tidak membina kepada remaja terutama bagi mereka yang gemar menonton filem lucah. Remaja dengan mudah terdedah kepada keadaan ini.

d. Perhubungan seks rambang mengakibatkan kehamilan yang tidak diingini dan akhirnya terdesak untuk menutup aib diketahui oleh manusia. Akhirnya bayi tersebut dibuang ditempat-tempat yang terlintas difikiran panik tersebut seperti dalam tong sampah atau longkang.


e.Pengaruh Dadah.

f. Keruntuhan institusi keluarga

Keluarga yang seharusnya memainkan peranan penting tidak lagi menjadi rujukan dan tempat berlindung anak-anak. Kes-kes perceraian semakin meningkat. Akibat dari perpecahan ibubapa, anak-anak membawa haluan masing-masing dan akhirnya terjerumus kepada masalah sosial.

g.Hukuman yang tidak berat, mungkin kerana pelaku sukar untuk dikesan.

Mencegah Lebih Baik Dari Merawat
Setiap penyakit ada ubatnya, pencegahan adalah lebih baik dari merawat. Seharusnya punca gejala buang bayi ini dilihat keakar umbinya bagi mencari jalan penyelesaian, semua pihak harus berkerjasama, hanya tindakan yang sepadu sahaja yang mampu mengatasi masalah ini. Cuba bayangkan sekiranya hanya Agensi Agama sahaja yang sibuk untuk memperbanyakan program dakwah dalam usaha membentuk manusia yang bertamadun dalam masa yang sama juga bercambah juga program-program maksiat, majalah-majalah lucah dilambakkan dipasaran, remaja-remaja dengan mudahnya mendapat arak, tiada kawalan ibu bapa terhadap anak-anak samada diluar atau didalam rumah, mudahnya anak-anak remaja melayari web-web lucah tanpa kawalan. Akhirnya semua pihak harus bertanggungjawab, masyarakat harus berperanan sebagai kawalan sosial, ibu bapa memainkan peranan dalam soal pendidikan akhlak dan individu itu sendiri seharusnya mengawal diri dari melakukan kerosakan terhadap diri sendiri dan juga orang lain.


Antaranya yang boleh dilakukan ialah :
Islam Sebagai Cara Hidup
Pendekatan agama Islam harus digunakan dan dilihat sebagai panduan serta matlamat hidup, sistem batasan, nilai dan landasan hidup. Prinsip asas agama sebagai pencegahan lebih baik dari rawatan. Manusia fitrahnya sangat perlu kepada Tuhan sebagai tempat pergantungan dan agama sebagai panduan hidup. Manusia yang melepaskan tali hubungannya dengan Tuhan seumpama lembu liar yang terlepas dari tali yang akhirnya akan melanggar apa jua yang berada disekelilingnya.Hubungan yang baik dengan Allah mampu membawa manusia kearah hidup yang waras dalam kehidupan.

Perangi Zina
Isu pembuangan bayi biasanya berkait rapat dengan perzinaan dan perzinaan berkait rapat dengan seks bebas dan pergaulan yang terlampau bebas . Perzinaan adalah merujuk kepada perbuatan melakukan hubungan seks secara sukarela tanpa nikah. Manakala hamil tanpa nikah pula merujuk kepada wanita yang melahirkan anak tanpa nikah samada hubungan seks dilakukan secara sukarela ataupun diperkosa.

Isu perzinaan serta hamil luar nikah akhirnya membawa kepada pembuangan bayi.
Isu perzinaan dan wanita hamil tanpa nikah merupakan isu keruntuhan akhlak dan moral yang sedang berlaku di negara ini. Perbuatan zina dan tindakan membuang bayi adalah merupakan perbuatan jenayah yang amat besar dosanya serta berat hukumannya di sisi Islam. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’ ayat 32 yang maksudnya: " Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat."

Amar ma’ruf nahi munkar dengan penguatkuasaan undang-undang jenayah Syariah Malaysia. Penegasan hukuman syariah Islam dengan menguatkuasakan undang-undang yang lebih keras terhadap mereka yang melakukan perzinaan dan kesalahan moral. Merujuk Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 mengenai pelacuran dan persetubuhan luar nikah, sekiranya melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.Dalam Enakmen Jenayah Syariah terdapat peruntukan yang bertujuan untuk membenteras kegiatan jenayah pada peringkat awal, contohnya peruntukan bagi kesalahan khalwat sedikit sebanyak dapat membantu mencegah berlakunya kesalahan zina, hamil luar nikah dan akhirnya buang bayi.

Tanggungjawab Pemerintah
Kerajaan perlu mengambil langkah yang bersungguh-sungguh dan mengambil tindakan yang tegas dalam usaha mengawal masalah jijik yang menjejaskan nasab manusia dengan mengutamakan ciri khusus sistem sosial Islam serta menutup peluang dan ruang berlakunya gejala sasial dan maksiat . Antara langkah yang perlu diambil ialah:-

# Memperbanyakan program keibubapaan dan pemantapan kekeluargaan dalam waktu puncak (prime times) di radio dan telivesyen. Pada masa ini program keibubapaan kurang diberi perhatian pada waktu puncak kerana menghadapi saingan daripada program bercorak hiburan yang ditaja oleh pihak industri.

# Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengkaji semula pemberian lesen rumah- rumah urut/pusat-pusat hiburan yang memberi ruang kearah amalan seks bebas. Garis panduan hiburan yang disediakan oleh kerajaan perlu dipatuhi sepenuhnya oleh agensi kerajaan dan pusat-pusat hiburan.

# Menyekat bahan-bahan pornografi atau lucah di internet samada secara visual atau cerita dan menyediakan program prevensi yang efektif serta sesuai kepada remaja perempuan dan wanita muda yang belum berkahwin bermula ketika di alam persekolahan. Kempen kesedaran perlu diadakan di setiap sekolah dan sekaligus dapat mendekati kumpulan sasaran.

# Memastikan program, rancangan televisyen dan iklan tidak mengekploitasikan terhadap wanita sekaligus melanggar hak asasi wanita agar wanita lebih dihormati.

KESIMPULAN
Gejala sosial buang bayi ini perlu ditangani dengan serius , ia perlu kepada penyelesaian akar umbi bermula dengan pemantapan aqidah ummah kepada Allah. Kembali kepada ajaran Islam yang sahih berdasarkan al-Quran dan al-Hadis.