Monday, October 12, 2015

HIV/AIDS MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

“HIV/AIDS MENURUT PERSPEKTIF ISLAM”


PENGENALAN

Human Immunodeficiency Virus (HIV) ialah virus yang bertindak melemahkan dan memusnahkan sistem daya tahan badan manusia dan merupakan virus yang  menyebabkan AIDS. HIV termasuk dalam kumpulan virus yang dinamakan retrovirus yang menjangkiti sel manusia serta menggunakan tenaga dan nutrien yang disediakan oleh sel itu untuk tumbuh dan membiak. Manakala AIDS (Acquired  Immunodeficiency Syndrome) ialah sejenis penyakit di mana sistem imun badan tidak lagi berfungsi dan tidak dapat melawan jangkitan yang dikenali dengan ‘jangkitan oportunis tik’ dan penyakit lain bertindak dengan mengambil kesempatan dengan  sistem imun yang lemah (Kementerian Kesihatan Malaysia 2013).

Kes jangkitan HIV pertama telah dikesan pada tahun 1981 di California Amerika Syarikat. Jangkitan ini bermula hasil orientasi homoseksual diikuti biseksual dan heteroseksual (Sindre Bangstad 2009:43). Kawasan yang paling teruk adalah Sub Sahara Afrika diikuti oleh India bagi Asia Selatan  dan Thai di Asia Tenggara. Namun benarkah HIV/AIDS muncul hanya sekitar tahun 1981? Ini adalah kerana terdapat fakta yang menyatakan pada  tahun 1347 Masihi juga telah muncul penyakit yang mempunyai faktor penyebab  sama dan juga simpton yang sama dengan HIV/AIDS. Pada 1347 Masihi ditemui satu penyakit baru yang tidak pernah ada dengan penyakit yang sebelumnya. Ia menular dengan cepat dan mengakibat banyak kematian hingga popular dengan gelaran ‘black death’ dan mengakibatkan 20 juta kematian. Antara nama yang mereka gelarkan adalah ’plague’ wabak menular. Kemunculan penyakit ini seiring dengan muncul masalah moral dan berleluasanya pelacuran di Eropah. Simpton sakit ini ialah rasa sakit demam, bengkak dikelenjar limpa, timbul bintik-bintik berwarna merah pada kulit dan akhirnya berubah menjadi hitam. Pada 1630 masihi, 69% penduduknya mati akibat penyakit ini.(Ensiklopedia Mukjizat Al Quran dan Hadis.jil 3.m/s 25)

Berdasarkan data di atas mungkin HIV/AIDS telah muncul seawal 1347 Masihi dengan sebab kerosakan moral (seksual) yang dahsyat. Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Perzinaan yang dilakukan suatu kaum dan dilakukan secara terbuka akan mendatangkan wabak penyakit-penyakit lain yang tidak pernah terjadi pada kaum- kaum sebelumnya “ ( HR Ibnu Majah).

 Ini bukti kebenaran hadith nabi SAW bahawa kerosakan akhlak, pergaulan bebas dan zina menyebabkan berlakunya penyakit menular. Mungkinkan penyakit-penyakit lain yang tidak pernah dihadapi sebelum sebagaimana sabda Nabi SAW adalah   penyakit menular seperti HIV/AIDS?.Ciri-cirinya sama cuma nama sahaja yang berbeza.

Menurut United Nations Programme on HIV and AIDS atau UNAIDS (2011), pada 2011 dianggarkan 9,400 orang dijangkiti HIV/AIDS   dalam masa sehari di dunia. Kes pertama HIV/AIDS melibatkan 3 orang pesakit telah mula dikesan di Malaysia pada tahun 1986, dianggarkan purata 10 orang dijangkiti virus HIV/AIDS untuk sehari dengan angka 7 dari 10 adalah beragama  Islam (Faisal 2012). Kumulatif kes HIV/AIDS semenjak tahun 1986 hingga tahun 2014 adalah sebanyak 105,189 kes. 69 % yang dijangkiti adalah Muslim dan 75% dari mereka adalah berumur 20-39 tahun.

PUNCA PENULARAN HIV/AIDS
AIDS merupakan salah satu penyakit yang paling menakutkan dewasa ini. Bukan hanya kerana belum ditemukan ubatnya, tetapi penularannya berlaku dalam skala yang sangat mencemaskan. Mangsanya bukan sahaja kaum homoseksual, tetapi telah merebak ke semua peringkat umur samada kaya-miskin, lelaki-perempuan, tua-muda, homoseksual-heteroseksual tanpa mengenal bangsa ataupun agama. Kajian Nurdeng Deuraseh (2013) menjelaskan bahawa AIDS adalah salah satu dari cabang penyakit menular sama seperti taun. Oleh itu bagi jalan penyelesaian masalah HIV/AIDS ialah dengan cara menghindari punca penyakit sama seperti penyakit yang pada zaman   Nabi diharuskan keluar dari kawasan taun tersebut, manakala bagi AIDS beliau  menjelaskan untuk menjauhi punca AIDS iaitu zina dan homseksual serta galakkan perkahwinan (Deuraseh 2013), perkara ini turut selaras dengan Ahmad Syauqi Ibrahim (2011) menjelaskan bahawa punca AIDS adalah dari zina maka perlu mencegah zina untuk menghalang AIDS kerana  zina juga menyebabkan tersebarnya AIDS.

Lantaran itu, AIDS telah menjadi kebimbangan global. Ia tidak lagi menjadi masalah perubatan semata-mata, tetapi telah meluas menjadi masalah sosial dan masalah agama. Perkara ini turut diberi perhatian oleh Dadang Hawari (1996)   menyatakan AIDS hasil dari virus HIV adalah suatu penyakit sosial dan bukan hanya sebagai penyakit yang berbentuk kesihatan semata-mata, ini adalah kerana 90% dari penularan penyakit adalah disebabkan oleh hubungan seksual luar nikah atau zina. Mengikut statistik di Amerika golongan umur yang tertinggi dalam penularan HIV/AIDS ialah golongan berumur antara 13-25 tahun (JAKIM 2009) secara fitrahnya golongan umur ini sedang berada ditahap nafsu  seks yang tinggi.

Masalah HIV/AIDS di negara ini dikaitkan dengan krisis akhlak iaitu masalah penyalahgunaan dadah, pengamalan seks bebas (zina) dan gaya hidup bertuhankan nafsu sebagaimana golongan lesbian dan gay. Trend penularan jangkitan HIV turut mengalami perubahan. Pada peringkat awal, perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah adalah faktor utama yang mendominasi penularan jangkitan penyakit HIV. Kini hubungan seks rambang dan seks sesama jenis menjadi penyumbang utama penularan virus HIV di dalam masyarakat (KKM 2015, AADK 2008,Shahrul Asyikin Shamsudin & Aishah @ Eshah Hj. Mohamed 2013 )

Mungkin benar umum mengetahui bahawa antara punca HIV/AIDS menular peratus terbesar berpunca dari perlakuan seks bebas. Perbuatan ini jelas berlaku ketika manusia berada dibawah pengaruh syaitan. Perlakuan zina dilakukan dengan berleluasa dan terang terangan maka hasilnya AIDS (Nabilah Siddique 1999). Selaras dengan firman Allah dalam surah al-Rum ayat 41 yang bermaksud:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbua-tan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat”.


Bagi Malik Badri (1999) AIDS dipandang sebagai hukuman serta laknat Tuhan atas kaum homoseksual, yang kemudian meluas kepada pihak-pihak lain hujahnya, azab Tuhan jatuh bukan hanya kepada pelakunya, tetapi juga kepada persekitarannya. Justeru itu, AIDS harus didekati dan cuba diselesaikan melalui sosial-politik-ekonomi-sosial-budaya yang di dalamnya agama memainkan peranan penting. Namun pendapat Malik Badri disanggah oleh beberapa tulisan (Sindre Bangstad 2009, Nabilah  Siddique 2009, Marina Mahathir 2009) mereka menjelaskan bahawa pandangan sebegini tidak sepatutnya dilemparkan kepada golongan HIV/AIDS kerana ia merupakan stigma golongan agama kepada pesakit HIV/AIDS dan tidak membantu mereka. Kumpulan ini berpendapat golongan agamawan seharusnya melihat pesakit HIV/AIDS dengan lebih positif dan menghulurkan bantuan dan bukan dengan cara menghukum.

SOKONGAN, BANTUAN DAN  RAWATAN
Berdasarkan  data bahawa 69 % serta 10 jangkitan setiap hari dan 7 dari 10 orang pesakit HIV/AIDS tersebut adalah   di kalangan orang Melayu beragama Islam. Ini adalah perkara yang sangat   menggusarkan, kerana ia memberi kesan negatif kepada masalah ekonomi, sosial dan politik umat  Islam (Nurdeng Deuraseh 2013). Kajian Fajar Hidayanto (2006) dan  Dadang Hawari (1997:95) menyatakan bahawa orang yang hidup dengan HIV/AIDS berada pada tahap krisis spiritual yang tinggi dengan tanda tanda psikologi seperti  sentiasa cemas, sentiasa diselubungi rasa takut, jijik, putus asa, rasa ingin membunuh diri dan stigma. Selain kaedah pencegahan, kaedah rawatan sangat penting untuk  membantu pesakit HIV/AIDS pulih. Oleh itu bantuan dari sudut rawatan dan   pemulihan yang tepat harus diberikan kepada mereka.

Hukum berubat dan mendapatkan rawatan bagi sesuatu penyakit adalah suatu perkara yang disyariatkan. Ianya diharuskan oleh Islam bahkan menjadi wajib jika diketahui atau diduga kuat bahawa berubat sangat bermanfaat dan meninggalkannya pasti mengakibatkan kemudharatan. Maka jelaslah bahawa agama Islam menuntut mereka yang dijangkiti virus HIV/AIDS untuk tidak berputus asa dan terus menerima rawatan yang sedia ada. Sebarang pendekatan untuk mengatasi masalah HIV/AIDS perlu mengambil kira perkara-perkara berikut :

i.     Pendekatan itu mestilah tidak bertentangan dengan Maqasid Syar’iah iaitu untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
ii.      Pendekatan yang diambil untuk mengatasi keadaan mudarat tidak akan membawa kepada mudarat yang lebih besar kepada masyarakat.
iii.    Pendekatan yang diambil untuk menghalang kemudaratan yang lebih besar dan keadaan darurat ini tamat apabila mudarat tidak lagi wujud.
iv.      Keperluan untuk menggunakan pendekatan ini mestilah berlandaskan realiti semasa dan bukannya tanggapan atau andaian semata-mata

Perkembangan isu HIV/AIDS turut memperlihatkan perkembangan dalam program rawatan dan pemulihan bagi kumpulan berisiko tinggi yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak di Malaysia. Bermula daripada program rawatan dan pendekatan pemulihan yang berbentuk paksaan di Pusat Serenti kepada pendekatan bersifat konsep terbuka, terapeutik serta mampu memenuhi keperluan kepulihan klien untuk merawat penagihan dadah (AADK 2008). Program rawatan dan pemulihan di Malaysia juga beralih daripada kawalan dan pelaksanaan sepenuhnya oleh kerajaan kepada penggunaan servis NGO dan pengamal pengubatan persendirian. Antara rumah perlindungan Islam yang memberi perlindungan dan bantuan kepada golongan HIV/AIDS ialah Istana Budi Kuang, Rumah Solehah dan I’laj Home yang dalam proses pembinaan.

Pelbagai usaha dan pendekatan baru yang telah di eksperimen dengan tujuan mengurangkan kemudaratan kepada kumpulan yang berisiko tinggi (penagih dadah, pelacur, gay dan lesbian) dan yang lebih penting lagi mengurangkan kadar jangkitan HIV di kalangan kumpulan ini. Sokongan psikologi dilihat dari sudut kelas bimbingan agama, khidmat nasihat dan  program outreach sukarelawan Islam.

Didapati bahawa rawatan perubatan moden tidak cukup dalam memulihkan golongan HIV/AIDS dan ia perlu kepada pendekatan spiritual atau agama. Memoona Hasnin (2005) dan Dadang Hawari (1996) mencadangkan supaya diperkasakan  Peranan agama dalam aspek pencegahan dan rawatan kepada pesakit HIV/AIDS dengan melihat sudut budaya, sosial dan agama setempat. Pendekatan agama berasaskan  ayat-ayat al-Quran dan zikir dilihat memberi penyelesaiaan keakar umbi berbanding Barat, kerana diakui pendekatan agama dengan ayat-ayat al-Quran yang diterapkan kepada pesakit didapati memberi rasa optimis untuk mereka menghadapi hidup dengan optimis (Memona Hasnin 2005), memberi ketenangan dalam jiwa  (Primadona 2010; Ibrahim Salim terj Abdul Aziz@Ahmad bin Mohd 1991; Nikmatun Khasanah 2006) dan positif dalam menjalani kehidupan (Iman Setiabudi 2009).  

Kesimpulannya Islam dapat menyelesaikan banyak masalah manusia di dunia ini  termasuklah masalah AIDS di mana cerdik pandai Barat sendiri gagal untuk   mengatasinya dengan pelbagai langkah pencegahan walaupun mempunyai pelbagai peralatan yang canggih dan moden (Malik Badri 2000).

Fajar Hidayanto (2006), Ahmad Fauzi (2008) dan Dadang Hawari (1996) menjelaskan bahawa kaedah yang baik untuk merawat golongan AIDS ialah dengan agama kerana bagi mereka penyakit yang bermula dengan maksiat dan dosa hanya mampu disembuhkan dengan terapi agama atau rohani. Fajar Hidayanto (2006) turut menjelaskan bahawa setiap terapi wajib dimulakan dengan niat kerana Allah dan   taubat. Taubat yang bersungguh sungguh diikuti dengan banyakkan zikir, doa, berusaha untuk berubat, disamping percaya bahawa Allah berkuasa menyembuhkan penyakit dan redha dengan ketentuan Allah. Perkara ini juga dijelaskan oleh Malik Badri dalam tulisannya “The AIDS Crisis: An Islamic Perspective” yang menyatakan pendekatan agama dengan solat, puasa, zakat dan keimanan yang teguh mampu     menyelesaikan masalah HIV/AIDS. Selari dengan hasil kajian Iman Setyabudi (2012) yang menyatakan amalan yang dimulai dengan niat kerana Allah, amalan istighfar, selawat, doa, penuh dengan rasa khauf, tawadu’, rasa Allah sangat dekat dan sentiasa diperhatikan dalam 30-45 minit sekali sesi dalam empat kali seminggu mampu menurunkan perasaan negatif dan stress kepada pesakit AIDS..

Sehingga kini masih belum ditemui sebarang vaksin untuk melawan HIV atau sebarang ubat yang boleh menyembuhkan AIDS (Ahmad Syauqi Ibrahim 2011 &  Farid Esack and Sarah Chiddy 2009). Bagaimanapun, terdapat ubat yang boleh  memperlahankan perebakan HIV di dalam badan dan kerosakan sistem pertahanan badan. Ubat ini turut membantu sesetengah orang yang hidup dengan HIV/AIDS un-tuk hidup lebih lama. Di Amerika Syarikat ‘ highly active antiretroviral therapy’ (HAART)  banyak menyumbang kepada pengurangan jumlah tahunan kematian ber-kaitan AIDS antara 1996 hingga 1998. HAART merupakan gabungan dari   beberapa jenis ubat iaitu perencat transkripsi berbalik berfungsi menyerang enzim HIV. Namun gabungan ubat ini membawa risiko dan menimbulkan masalah (JAKIM 2009) seperti berikut :

i.          Rawatan sedia ada tidak berkesan untuk sesetengah pesakit HIV/AIDS.
ii.        Timbul kesan sampingan seperti anemia, batu karang, dan kegagalan buah pinggang akibat sesetengah ubat anti HIV yang sangat toksik.
iii.         HIV sentiasa bermutasi iaitu dalam 40% pesakit yang mengambil HAART
HIV bermutasi menjadi strain baru yang kebal dengan ubat semasa.

Pendekatan Islam sangat universal dalam usaha membantu golongan HIV/AIDS walau dimana jua Negara mereka berada di dunia ini berbanding dengan teori-teori setempat yang hanya mungkin sesuai untuk sesetengah tempat sahaja (Malik Badri 2009). Bagi beliau hanya Islam yang berpaksikan Iman kepada Allah serta prinsip Islam yang mampu untuk menangani masalah HIV/AIDS, bagi beliau Barat telah gagal untuk mencari penyelesaian kepada masalah HIV/AIDS (Malik Badri 2009). Ahmad Syauqi Ibrahim pula menjelaskan solusi pencegahan kepada AIDS ialah dengan ibadah wudu’, solat, puasa, zakat dan haji. Sementara   Malik Badri mengiktiraf Islam sebagai satu satunya agama yang mampu memberi jalan keluar kepada HIV/AIDS selari dengan  hasil kajian seorang bukan Islam iaitu Minsun Lee (2012) yang bertajuk Religious Coping, Depression, and Quality of Life in People Living with HIV/AIDS turut mendapati bahawa agama memberi jalan keluar kepada penyembuhan HIV/AIDS, hasil kajian beliau mendapati agama membawa  sikap positif dan optimis kepada pesakit HIV/AIDS yang berpegang dengan agama mereka.

Selari dengan pandangan Malik Badri ialah penjelasan Dadang Hawari (1996) bahawa AIDS yang diklafikasikan sebagai penyakit medical illness bukan hanya  memerlukan rawatan klinikal semata mata, ia juga memerlukan pendekatan dari segi bio-psiko-sosio-dan spiritual (Dadang Hawari 1996). Ini adalah biasanya pesakit akan turut terjejas dari sudut psikologi (jiwa) selain fizikal seperti rasa takut untuk mati, rasa jijik, stigma dari masyarakat, stigma mereka sendiri dan rasa putus asa, cemas murung rasa hendak bunuh diri dan stress (Fajar Hidayanto 2006). Oleh itu sokong bantu dan rawat dan agamawan sangat diperlukan dari sudut spiritual (M.H Kamali.Chapter 5.78).

Benar pendapat yang menyatakan ada kalanya penyakit itu terjadi ke atas seseorang adalah akibat daripada kesalahan dan dosa-dosa yang dilakukannya. Maka kita diuji (diberi penyakit) agar kita dapat menyesali dan bertaubat kepada Allah S.W.T. dengan bertaubat, dosa-dosa kita diampunkan oleh Allah S.W.T, dan kita memperolehi akan kesembuhan dengan izin Allah S.W.T. Selaras dengan firman  Allah dalam surah asy-Syura ayat 30 yang bermaksud:

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”

Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada manusia. Dalam usaha menunjukkan Islam adalah agama rahmat, maka Islam menyuruh umatnya agar sentiasa menghormati sesama insan dan menolong mereka yang mengalami musibah. atas prinsip tolong-menolong dalam hal kebajikan sepertimana dituntut dalam Islam. Umat Islam adalah umat yang sentiasa memperjuang dan mengekalkan penghormatan kepada saudaranya untuk kebaikan yang sejagat, dan bukannya hanya memihak  kepada sese-buah golongan yang tertentu atau merendahkan martabat orang lain.  Malah Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk berprasangka buruk (stigma) dan melakukan diskriminasi kepada orang yang menghidapi penyakit termasuklah penghidap HIV/AIDS. Justeru, Islam mengambil berat terhadap masalah yang  dihadapi penghi-dap HIV/AIDS dan memberi layanan secara adil kepada mereka  supaya   mereka dapat merasai diri mereka masih disayangi dan seterusnya menjalan kehidupan sepertimana insan-insan lain dengan penuh bermakna mengikut cara hidup Islam.

Penghidap HIV/AIDS sama halnya dengan pesakit-pesakit yang lain seperti pesakit jantung, buah pinggang, kencing manis, barah dan lain-lain penyakit kronik yang mengharapkan bantuan dan simpati orang ramai. Walau bagaimanapun berdasarkan pemerhatian masih terdapat di kalangan masyarakat yang menganggap penghidap HIV/AIDS seorang yang sangat hina dan menjijikan sehingga kehidupan mereka dipinggirkan.  Apa yang menyedihkan kita, terdapat laporan penghidap HIV/AIDS yang beragama Islam ini mencari perlindungan di pusat-pusat jagaan bukan Islam dan meninggal dunia di situ. Sesungguhnya ini bukan akhlak Islam memandang serong orang ditimpa penyakit atau musibah. Islam membenci sikap bersangka buruk dan memandang hina kepada orang yang dalam keadaan sakit. Prasangka buruk terhadap pembawa HIV/AIDS menyebabkan mereka menyisihkan diri daripada masyarakat dan men-cari perlindungan di tempat yang lain. Seharusnya mereka  ini sama sekali tidak boleh dipinggirkan apatah lagi disisihkan dari masyarakat. kita sepatutnya perlu   memberi mereka sokongan, bahkan sewajarnya perlu diberi perlindungan dan pertolongan. Peranan semua pihak terutama pemimpin agama sangat diperlukan dalam usaha pendidikan masayarakat, menghilangkan stigma dalam usaha sokong bantu dan rawat ke-pada golongan HIV/AIDS (Dadang Hawari 1996, Malik Badri 2009, Farid Esack & Sarah Chiddy.2009).

Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada manusia, dalam usaha   menunjukkan Islam adalah agama rahmat, Islam menyuruh umatnya agar sentiasa menghormati sesama insan dan menolong mereka yang mengalami musibah. Prinsip ‘menolong dalam hal kebajikan' sangat dituntut oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 71 yang bermaksud:

“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi    penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan me-larang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Oleh itu selain rawatan dan pemulihan, kempen kesedaran, pendidikan dan            memaklumkan kepada masyarakat mengenai keburukan penyakit AIDS atau bahaya HIV serta langkah-langkah pencegahan kepada pesakit HIV sangatlah perlu. Justeru, bagi mereka yang telah disahkan positif HIV pastikan sentiasa menjaga kesihatan dengan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala yang telah disediakan secara percuma oleh pihak kerajaan serta mematuhi peraturan-peraturan rawatan yang ditetapkan.dalam masa yang sama jangan lupa memohan keampunan dengan Allah SWT melalui taubat yang sebenar-benarnya, mudah-mudahan segala dosa-dosa yang lampau diampuni.

PENCEGAHAN
Jangkitan HIV dapat dicegah dengan  mengamalkan kehidupan beragama dan menghindari cara penularan HIV/AIDS dengan menjauhi seks bebas dengan berbilang pasangan, tidak mengambil dadah serta berkongsi jarum suntikan. Perjuangan membanteras penularan HIV/AIDS dikalangan ummah selari dengan doktrin maqasid as-syariah iaitu untuk memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara harta. Langkah pencegahan yang disarankan ini sangat digalakkan dengan ajaran agama Islam (Ahmad Syauqi Ibrahim 2012) sebagaimana maksud firman  Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 195  yang bermaksud :

dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama   Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.

PENUTUP
Kesimpulannya Islam menegah sikap memandang hina, prasangka dan menindas  kepada mangsa HIV/AIDS demi masa depan mereka.Islam menuntut kita mengasihi    insan lemah dan menghulurkan bantuan setiap masa. Islam menuntut tanggungjawab bersama dalam menegakkan kebenaran dan meruntuh kemungkaran. Kerjasama semua pihak amat penting dalam membendung wabak AIDS terutama kempen mencegah HIV dan AIDS. Masyarakat perlu memberi sokongan dan menerima  mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan serta telah insaf bertaubat. Para pendidik,   ketua-ketua dan para pemimpin masyarakat hendaklah sama-sama memberi dorongan dan mendidik generasi belia khususnya agar mereka benar-benar menghayati roh Islam dan sentiasa memberi contoh tauladan yang terbaik.  Orang Islam sewajarnya memberikan perasaan kasih sayang dan memberi layanan secara adil kepada individu yang dijangkiti HIV/AIDS supaya mereka dapat menjalani kehidupan sepertimana insan-insan yang lain; di samping berusaha bersama-sama mencegah anggota masyarakat daripada ancaman HIV/AIDS.




RUJUKAN

Abdullah Basmeih. 1999. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al- Quran. Kuala Lumpur : Jabatan Perdana Menteri.

AADK. 2008. Laporan Dadah Malaysia. Kuala Lumpur. AADK

Badri, Malik. 2009. The AIDS Crisis:An Islamic Perspective. England: OneWorld
Publication.

Badri, Malik. 2000. The Aids Crisis. A Natural Product of Modernty’s Sexual Revolution. Kuala Lumpur: Medeena Books.

Faisal Ibrahim. 2012. Fighting Against HIV AIDS , Why Islamic Approach? Islam and HIV AIDS International Conference 2012, (10 pages). Kuala Lumpur.

Fajar Hidayanto. 2006. Perda Syariah Untuk Penakulan HIV/AIDS. Artikel Jurnal Al Mawarid edisi xvi.

Farid Esack and Sarah Chiddy. 2009. Islam and AIDS, Between Scorn,Pity and
Justice. Oxford: OneWorld.

Haslinda Lukman, Latifah Abd Majid & Wan Nasyaruddin Abdullah. 2015. Kesan terapi Ruqyah Dalam Merawat Pesakit HIV/AIDS. Jurnal Al Hikmah UKM. Jilid 7 No. 1 UKM. Bangi .

Hawari, Dadang (Prof.Dr). 1996. Al Quran, Ilmu Kedokteran Jiwa dan Kesihatan Jiwa. Jakarta:Dana Bhakti Prima Yasa.

Hawari, Dadang. 1997. Do’a dan Dzikir Sebagai Pelengkap Terapi Medis.
Jakarta: PT Dana Bhakti Primayasa

Iman Setyabudi. 2012. Perkembangan Metod Efektivitas Dzikir Untuk Menurunkan Stress dan Efek Negatif Pada Penderita Stadium AIDS. Jurnal Psikologi, Vol 10, No 2.Universiti Esa Unggul .Jakarta

Kementerian Kesihatan Malaysia. 2013. Laporan Dan Maklumat Statistik PLHIV.

Nurdeng Deuraseh. 2013. Book Of Medicine in Sahih Bhukari .Serdang: UPM.

Mahmood, Syed Qaisar. 1991. Islam:Ultimate Answer To The Challenge Of AIDS. USA:Mahmood Hassan Foundation.


Memoona Hasnin. 2005. Cultural Approach to HIV/AIDS Harm Reduction in Muslim Countries. Harm Reduction Jurnal, 27 okt 2005. Chicago USA.

Mustamir Abdullah. 2011. Quranic Super Healing, Sembuh dan Sihat dengan Mukjizat Al Quran. terjemahan Adlie Syamsuddin. Selangor: PTS Millenea.

Shahrul Asyikin Shamsudin & Aishah @ Eshah Hj. Mohamed. Jilid 6, Julai 2013.
Merungkai Beberapa Faktor Jangkitan HIV/AIDS dalam Kalangan Penagih Dadah Mengikut Perspektif Sosiobudaya.Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari.

Sindre Bangstad. 2009. AIDS And The ‘Wrath Of God”. England: OneWorld Publication

United Nation Programme on HIV/AIDS. UNAIDS Report on the Global AIDS

Epidemic 2011.http://www.unaids.org