Thursday, June 4, 2015

CINTAI ALLAH BUKAN TAKUTI?.....





Ada orang kata, Tuhan tidak payah ditakuti tapi dicintai. Sebab Allah itu baik, Dia bukan garang atau jahat. Dia Pemurah,  Pemaaf, Pengasih, Lemah Lembut, Baik, jadi mana boleh ditakuti. Sebaliknya Dia wajib dicintai. Bagi orang ini, bertaqwa itu ialah mencintai Allah, sedangkan taqwa itu ialah takut dan cintakan Allah. Sebenarnya bukankah seseorang yang sangat mencintai seseorang akan cukup takut kehilangan orang yang dicintainya atau dimarahi oleh orang itu.

Dalam pengalaman kita, tidak hirau sangat kalau orang yang kita benci marah dengan kita, tapi kalau orang yang kita sayang marah, menderita kita dibuatnya, lalu berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada kemungkinan kehilangannya. Seseorang yang cintakan Tuhan, cukup takut kehilangan Tuhan, takut dimurkai Tuhan, takut dibenci Tuhan dan takut ditinggalkan Tuhan. Sebab Tuhan itu walaupun Maha Baik tapi Dia juga Maha Adil. Setiap kesilapan, kesalahan, kejahatan, kemungkaran, kezaliman dan dosa kecil maupun dosa besar sangat diperhitungkan dan diadili. Yang baik dibalas baik manakala yang jahat dibalas juga akhirnya. Kalau tidak dibalas di dunia ada di Akhirat.

Lihat, segala bala bencana kecil-kecil berlaku setiap hari adalah keputusan yang Maha Adil dari Allah. Allah memberi nikmat cukup semuanya, maka adillah kalau dibimbangi dengan bala bencana sekali sekala supaya manusia jangan sombong dengan nikmat, jangan mabuk nikmat. Bencana alam adalah hukuman Maha Adil dari Zat yang mencurahkan nikmat sekian lamanya hingga manusia berlalai, sombong, ego dan zalim. Lalu mengimbanginya dengan hukuman sebesar itu.

Yang penting manusia mendapatkan darinya nilai-nilai suci yartg diperintahkan Allah agar dilakukan dalam hidupnya iaitu bersyukur dan bersabar. Bahawa untuk mampu bersyukur dan bersabar, manusia perlu takut dengan Allah. Takut dengan nikmat yang diberi kalau tidak disyukuri, nanti Allah akan hukum dan ditarik balik. Takut dengan ujian bala bencana lahir atau batin yang bila-bila pun Allah boleh datangkan tanpa peduli siapa kita, dan dalam keadaan apa kita, sebagai tindak balas-Nya atas tidak pandainya kita melayani Allah dalam liku-liku hidup yang dipinjamkan kepada kita.

- Tidak sabar dengan Allah
- Tidak redha dengan Allah
- Tidak cinta dan rindu dengan Allah
- Tidak malu dengan Allah
- Tidak rasa hina dan lemah dengan Allah
- Tidak mengadu dan meminta pada Allah
- Tidak yakin dengan Allah
- Tidak mengenangi dan mengingati-Nya selalu
- Tidak berbaik sangka dengan Allah
- Tidak membesarkan kata-kata Allah

Semua ini adalah kebiadapan yang akan terhukum juga pada akhirnya.

WANITA ITU LUAR BIASA APABILA DIA BERTAQWA.......

Kata orang-orang bijak...."Apabila wanita derhaka, dunia lelaki akan huru-hara. Apabila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa". Para lelaki pula usah hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dahulu kepadaNya.Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinan kita. Janganlah mangharapkan isteri seperti Siti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Sayyidina Ali..Buat wanita usah mandambakan insan seperi Muhammad kerana baginda hanyalah untuk wanita seperti Siti Khadijah..sama-samalah kita memperbaiki diri kita.. 


Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyaknya”. “Kasihnya Tuhan kepada wanita!” Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan ‘layanan’ istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.


Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini, lantaran itu kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan yang dianggap sangat menindas wanita.Walhal kalau dikaji setiap satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri. 


Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. 

Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan olehTuhan kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.;

i) Gelaran bagi `isteri’ di dalam Al Quran 
Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa-bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami ialah `husband’ manakala perkataan untuk isteri ialah `wife’. Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah `mari’ manakala perkataan `femme’ untuk isteri. 

Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeza `zaujah’ dan `zaujati’. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu `zaujah’ yang bermakna `pasangan’. Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran. 

Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujah. Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran,mereka disebut ‘imraah’, kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya. 

ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

Terdapat banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya: 

a. “Syurga di bawah telapak kaki ibu.” Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini? Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan “di bawah telapak kaki” dan bukan “di dalam tangan” atau”di sisi”seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng’hamba’kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan olehanak-anaknya. 



b. “Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku.” 


c. “Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina.”(Hadis riwayat Ibnu `Asakir) 


d. “Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” 


e. “Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang (isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang disuka.”(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki,sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas. 


iii) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia 

Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nama yang begitu mulia iaitu 'rahim'. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud `Maha Penyayang’. Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi-Nya. Sudah tentuTuhan akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan kepada apa yang Tuhan ciptakan. 
Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Tuhan. 



iv) Diberi Pahala yang berterusan wanita disebut `kurang dari sudut agama’, tetapi ini bukan bermaksud yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Tuhan tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu. 


Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan sediakan untuknya. Aduh! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran-ganjaran yang Tuhan berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.

Wednesday, June 3, 2015









Program Ziarah Dakwah Ke Gugusan Pulau Di Semporna Sabah
Cawangan Ukhuwah Bahagian Dakwah telah melaksanakan satu ziarah dakwah ke 3 pulau di daerah Semporna Sabah pada 13 Mac 2010 yang lalu. Program ini adalah merupakan kali pertama yang dianjurkan oleh Bahagian Dakwah JAKIM Putrajaya ke pulau-pulau di Semporna.

Perjalanan bermula pada jam 8.00 pagi di jeti Semporna, seramai 6 orang pegawai Dakwah menyertai program tersebut. Program ini turut mendapat kerjasama daripada pihak JAKIM Sabah dengan pegawainya iaitu Us. Shahrin Abdullah turut serta dalam siri lawatan ini.


Aktiviti pertama adalah dengan membuat lawatan ke Pulau Larapan yang terletak kira-kira 35 minit perjalanan dengan bot laju ke sana. Pulau ini majoritinya didiami oleh masyarakat Bajau Laut, juga sedikit dari suku Suluk.

Kehidupan Masyarakat di pulau ini sangat daif dan amat memerlukan pembelaan baik dari espek fasilitis fizikal juga bimbingan keagamaan. Terdapat juga Masyarakat Bajau ini yang masih tinggal di dalam bot yang dikenali sebagai ‘lepa’ sebagai tempat berteduh dan tinggal.


Perjalanan seterusnya ke pulau Tandoan yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari pulau Larapan. Pulau yang didiami kira-kira 200 penduduk Bajau Laut Islam ini .

Rombongan kami disambut dengan mesra masyarakat disini.Pesinggahan kami di Pulau Tandoan selama kira-kira 2 jam ini turut diraikan dengan minuman kelapa muda yang disediakan oleh pendudukan pulau yang amat ramah dan mesra ini.


Pulau terakhir yang kami kunjungi adalah Pulau Bum-Bum yang terletak berhadapan dengan Pekan Semporna kira-kira 5 minit dengan bot. Pulau ini majoritinya didiami oleh Masyarakat Bajau Laut agak pada dengan penduduk. Lawatan ke sini turut diadakan sedikit bantuan makanan kepada kanak-kanak setempat.


Diharap hasil dari lawatan kerja ini dapat memberi maklumat yang berguna bagi menguatkan usaha dakwah keseluruh pelusuk negara termasuk di pulau-pulau di Sabah yang amat memerlukan perhatian.




YAKIN DIRI....

Punca mengapa ada sesetengah orang tidak ada keyakinan adalah kerana mereka kurang percaya pada kebolehan diri. Mereka teragak-agak, sangsi dan takut-takut. Perasaan ini timbul dalam apa saja perkara yang mereka lakukan, khususnya ketika melakukan perkara-perkara baru.Apabila Anda rasa kurang yakin, Anda akan tiba-tiba merasa takut, bingung, keliru. Anda bagaikan tak tahu nak buat mana satu dan tak tahu kat mana nak bermula dulu. Masalah ni perlu di atasi. Jika tidak, motivasi Anda akan luntur dan Anda hilang pedoman untuk meneruskan hidup.
Bagaimana nak membangkitkan rasa percaya pada diri?.Ini caranya:

1. Gali kekuatan-kekuatan diri Anda, kemahiran-kemahiran Anda yang Anda rasa anda boleh buat dengan cukup baik. Tonjolkan. Biar orang sekeliling tahu supaya mereka menghargai kelebihan Anda, lantas membangkitkan rasa yakin dalam diri Anda.

2. Ingat kejayaan-kejayaan kecil yang pernah Anda capai, sebab ia membantu Anda merasa yakin. Anda pernah mencapai kejayaan kecil di masa lalu atau disatu ketika dulu, jadi berkemungkinan Anda boleh berjaya lagi di masa kini dan di masa hadapan. Rasa gembira setelah mencapai kejayaan-kejayaan tu membuat Anda merasa yakin.

3. Hargai bakat, kebolehan serta kelebihan-kelebihan orang lain. Jauhi sikap mencemuh kelebihan mereka atau bersangka buruk pada kelebihan mereka. Hargai dan kagumi kerana dengan mengagumi, Anda akan bersemangat untuk memperbaiki bakat Anda sendiri. Berkawan dengan mereka, elak bersaing. Untuk menang, Anda perlu berkawan dengan musuh sendiri.

4. Banyakkan bersukan, banyakkan meggerakkan otot-otot badan, banyakkan aktiviti mental. Bersukan melancarkan pergerakan darah. Aktiviti mental membuat minda Anda tajam serta dipenuhi banyak aliran idea. Gabungan kedua-dua kesan dari aktiviti ni menimbulkan rasa yakin diri yang akhirnya membuat Anda berani, optimis serta bebas dari sikap teragak-agak. Anda tahu apa yang perlu dilakukan.

5. Selalu bertenang. Terdesak cemanapun, kelam kabut cemanapun, stress cemanapun, jadilah orang yang memilih untuk bertenang. Dari ketenangan tu, muncul rasa yakin diri. Lagipun, bila Anda bertenang selalu semuanya akan terjadi secara teratur, tak le berterabur.

Penyakit utama orang yang ada keyakinan diri adalah riak dan suka merendah-rendahkan orang. Hati-hati dengan dua ‘penyakit’ dalaman ni kerana ia biasanya berlaku tanpa kita sedari.


Sumber : I MOTIVASI

BALA DAN KASIH SAYANG ALLAH SWT

Mari kita fikir, zikir dan tambah baik diri kita untuk mendapat redha Allah.....

Sejak akhir-akhir ini, kita sering disajikan dengan berita-berita mengenai BALA yang berlaku kepada manusia. Sedang bergembira tiba-tiba berlaku kematian, sedang nyenyak tidur ditimpa dengan kemalangan maut atau cedera, bencana alam yang silih berganti dalam satu hari dapat dilihat pelbagai fenomena alam, cthnya ribut pasir, tsunami, banjir besar, salji paras negatif dll.


Tidak kiralah dari mana sumbernya BALA tersebut, pokoknya BALA itu adalah ketentuan Allah SWT serta lambang kehebatan Allah SWT kepada umat manusia dan sewajarnya kita bermuhasabah diri dan berfikir di atas segala kejadian yang berlaku.


Persoalannya, apakah BALA yang paling merbahaya kepada manusia?Apakah kita hanya memikirkan BALA yang di dalam bentuk zahir sahaja sehingga mengabaikan BALA yang bersifat maknawi?.Tidak ada di kalangan manusia yang suka kepada bala atau bala bencana. Kerana bala itu sangat menyusahkan manusia. Lantaran itulah manusia susah hati dengan bala. Walaupun demikian tidak ada di kalangan manusia sama ada secara perseorangan mahupun secara kelompok, dapat mengelak atau dapat terlepas daripada bala bencana, sekalipun dia seorang yang berkuasa atau seorang yang kaya. Cuma ada orang yang ditimpa bala sekali-sekala, ada yang selalu, ada yang ringan, ada yang berat, ada yang berlaku pada dirinya, keluarga dan harta bendanya atau kedudukannya dan lain-lain lagi.


Di antara bala-bala itu mana yang lebih merbahaya?
Bala terbahagi kepada dua:
Pertama: Yang bersifat hissi atau bersifat zahir
Berbagai-bagai bentuknya, di antaranya seperti sakit badan, harta hilang, kematian keluarga yang tercinta, difitnah, diberi malu, dipukul orang, jatuh miskin, turun pangkat, perniagaan rugi, dibuang kerja, musnah harta oleh bencana alam, tidak naik pangkat, dipenjara dan lain-lain.
Kedua: Yang bersifat maknawi atau rohani
Berbagai-bagai bentuk pula, di antaranya seperti melupakan ilmu yang telah dipelajari, tercabut iman, atau iman bertambah kurang, ilmu tidak diamalkan, iman tercabut yang ada hubungan dengan aqidah.Kurang iman atau iman merosot kerana beberapa sebab, di antaranya seperti ada amalan yang biasa dibuat tidak dibuat, atau membuat dosa sama ada kecil mahupun besar. Dosa itu pula, ada dosa lahir ada dosa batin.

Di antara dosa-dosa itu ialah seperti berzina, riba, rasuah, mencuri, menipu, minum arak, judi, mengumpat, memfitnah, menghina, menghasut, hasad, tamak, bakhil, pemarah, mengadu domba dan lain-lain.


Di antara dua bentuk bala ini bahawa bala yang paling merbahaya ialah bala yang bersifat rohani dan maknawi, kerana bala ini akan membawa ke Neraka. Tapi bala yang bersifat hissi tidak membawa ke Neraka. Bahkan mungkin menguntungkan sama ada ia menghapuskan dosa atau mendapat darjat di dalam Syurga, asalkan pandai menerimanya. Oleh itu bala yang bersifat rohani dan maknawi ini sangat dibenci dan wajib dijauhi. Dengan kata-kata yang lain setiap dosa adalah bala, wajib dijauhi. Tapi bala yang bersifat hissi tidak dibenci. Ia hanya menyusahkan sahaja. Dan tidak pula satu kesalahan untuk berusaha mengelaknya, atau setelah ditimpa bala berusaha menghilangkannya kerana bagi orang yang lemah iman dan tidak tahan dengan ujian boleh jatuh kepada dosa atau iman tercabut dengan ujian yang berat itu.


Tapi bagi orang yang mampu berhadapan dengan ujian atau yang iman kuat, tidak salah pula untuk tidak berusaha menghilangkannya kerana redha dengan ketentuan Allah itu salah satu sifat terpuji. Ia merupakan sifat-sifat rasul. Maka dengan itu pahalanya sangat besar di sisi Allah yang Maha Pemurah.


Di akhir zaman ini oleh kerana kebanyakan umat Islam sudah jahil dengan ilmu agamanya sendiri, kemudian cinta pula dunianya begitu mendalam, mereka hanya terpaut dan terpengaruh dengan kehidupan yang terdekat iaitu dunia ini. Kehidupan di Akhirat hanya sekadar hanya tahu adanya Akhirat, namun hatinya tidak ke situ. Timbullah acuh tak acuh dengan Akhirat. Maka timbullah salah berfikir. Maka mereka memandang perkara yang terdekat itu amat besar dan serius sekali. Nikmatnya pun dipandang besar. Balanya pun dipandang besar.Akibatnya nikmat dan bala di Akhirat dipandang kecil sahaja. Maka sebab itulah mereka lupa daratan dengan nikmat dunia. Terasa sangat menderita dengan bala dunia.


Justeru itu bilangan yang teramai di kalangan umat Islam apabila ditimpa bala yang bersifat hissi di dunia ini, saya ulang lagi seperti sakit, miskin, terbuang kerja, tidak naik pangkat, turun pangkat, difitnah, hilang harta, rugi di dalam perniagaan, dipukul, dipenjara dan lain-lain, sangat sukar dirasakan. Derita jiwanya, kusut fikirannya, marah-marah , merungut-rungut, hilang bahagia, rasa kesal tidak sudah, mengadu di sana, mengadu di sini, jumpa siapa sahaja diluahkan perasaan susahnya. Kekusutan fikirannya sampai begitu ketara sekali pada mukanya. Buat apa sahaja serba tidak kena. Begitu dia rasa kecewa dengan ujian itu. Dan bila iman tiada atau iman terlalu lemah, terus putus asa, ada yang mahu bunuh diri untuk menyelesaikan masalahnya. Dia rasa dengan cara itu boleh menyelesaikan masalah. Dia ditipu oleh syaitan terkutuk kerana memandang besarnya dunia ini. Tersesat jalan dia di dunia ini, ke Neraka padahnya. Waliyazubillah.


Bagi orang Islam yang kuat imannya, dengan ujian dan bala dunia ini iaitu yang bersifat hissi, ia tidak begitu mengambil pusing. Bahkan bagi golongan muqarrobin dan siddiqin seperti para nabi dan para Sahabat dan para auliya, mereka sangat terhibur dengan ujian dunia itu. Mereka rasakan dosa mereka terampun dengan ujian dunia ini. Mereka rasa dosa mereka terampun dengan bala itu. Seperti cerita di bawah:

"Di zaman Rasullullah SAW, ada seorang perempuan yang mempunyai tiga orang anak lelaki, dia sanggup melepaskan kesemua anaknya kemedan perang. Dia senyum ketika anak sulung dan anak kedua-duanya mati syahid di medan perang. Dia menangis apabila diberitahu yang anaknya yang bongsu turut mati syahid. Bila ditanya mengapa dahulu senyum, sekarang baru menangis, beliau menjawab, "Aku sedih kerana tiada lagi anak yang hendak kukorbankan untuk jihad fisabilillah."

Umat Islam di zaman gemilang dan di zaman keemasan terutama di sekitar 300 tahun selepas Rasulullah SAW, mereka sangat sensitif dengan bala yang bersifat maknawi dan rohani. Mereka sangat memandang besar akan bala Itu.

Mereka terlalu takut dengan ujian yang bersifat maknawi dan rohani itu. Jiwa mereka sangat terseksa dengan ujian itu. Bahkan bala yang berbentuk ini, belum datang pun mereka amat takut kalau-kalau di masa depan akan ditimpa dengan bala ini, sama ada secara sedar mahupun tidak sedar. Kerana bala ini adalah dimurkai oleh Allah dan kalau Allah tidak ampun, akan terjun ke Neraka, waliyazubillah.

Justeru itulah mereka jika ditimpa bala ini hati mereka menderita. Mereka menangis mengalirkan air mata, hilang selera makan, hilang rangsangan dengan isteri, tidak senyum berbulan-bulan. Mereka akan tebus dengan apa sahaja kebaikan bahkan jika mereka tertinggal yang sunat sekalipun mereka merasa telah berdosa, mereka merasa ini adalah satu bencana. 

Hayati cerita di bawah ini:
"Pada suatu hari, Sayidina Abu Bakar pergi ke kebunnya untuk melihat hasil yang dikeluarkan oleh kebun tanamannya itu. Dilihat pokok-pokok tanamannya banyak yang sudah berbuah. Kerana terlalu asyik melihatkan buah-buahnya yang sudah masak itu, beliau terleka dan tertinggal solat jemaah Asar bersama Rasullullah SAW. Dengan rasa takut dan kesal yang tidak terkira, kebun itu terus diwakafkan untuk umat Islam dan digandakan sembahyangnya sebanyak 70 kali."

Kembali kita memperkatakan kebanyakan umat Islam di akhir zaman ini. Mereka tidak sensitif dengan bala maknawi dan rohani ini. Mereka tidak terasa apa-apa pun dengan bala ini. Mereka relax sahaja. Mereka tidak rasa bersalah bahkan ada yang melupakan terus seolah-olah bala ini tidak berlaku dan tidak pernah berlaku kepada diri mereka. Sebagai contoh, mereka tidak rasa bala, tinggalkan sembahyang atau lewat sembahyang. Tidak rasa bala dengan mengumpat, dengan memfitnah, dengan menghina, dengan menderhakai kepada ibu bapa, kepada guru,  berzina, berbohong, dengan menipu, dengan rasuah, dengan pendedahan aurat, dengan pergaulan bebas, dengan tidak berzakat, tidak berpuasa, dengan sombong, riya', dengan tamak, bakhil, dengan pemarah, berdendam, hasad dengki, mengadu domba, menghasut, bergaduh, membunuh, riba, tidak belajar, tidak belas kasihan, tidak timbang rasa, tidak tolak ansur, tidak sabar, tidak pemurah, tidak redha, tidak membantu dan lain-lain.


Apabila bala maknawi dan rohani ini tidak dianggap dan tidak dipandang bala bencana, maka adakalanya dianggap seronok pula diamalkan setiap hari hingga dijadikan budaya. Sebagai contoh, ada orang bila berkumpul sahaja, mengumpat, mengata, mesti ada didengar bersama, ketawa bersama, rasa seronok bersama, sambung-menyambung di antara satu sama lain, mengumpat orang lain. Adakalanya kawan sendiri, emak ayahnya, tok gurunya, pemimpin sendiri, isteri dan suami sendiri, hingga terlewat sembahyang, atau tertinggal sembahyang. Bertambah lagi membesar bala itu yang tidak lagi dianggap bala.Kemudian selepas itu ada yang menipu, ada yang balik ke rumah marah-marah sahaja pada isteri dan anak-anak . Bertambah merebak lagi bala itu, ibarat orang sakit, sakitnya telah kronik. Namun tidak terasa itu adalah bala .




fikir-fikirkan sama-sama ye...

Alhamdulillah


Alhamdulillah ...syukur pada Allah dah lima bulan masuk kerja balik.....belajar?....alhamdulillah belajar dah selesai sbgaimana yang dirancang...dengan pertolongan Allah semuanya berjalan lancar...alhamdulillah dapat submit tesis sebelum masuk kerja balik. Viva pun dah selesai...Alhamdulillah.....nampak mcm senang hakikatnya siapa yang berjalan dilandas yang sama sahaja dapat merasainya .....pengorbanan, keletihan, kesabaran dan seumpamanya....Alhamudlillah