Wednesday, July 22, 2015

RUQYAH AYAT AL-QURAN SEBAGAI PENYEMBUH PENYAKIT

 Ruqyah dalam Perubatan Islam


Bidang perubatan Islam mempunyai matlamat untuk melahirkan individu yang bersih jiwa, sihat pemikiran dan mantap tubuh badannya untuk tujuan beribadah kepada Allah. Perubatan Islam menumpukan kepada aspek fizikal dan mental sekaligus  (Danial Zainal Abidin 2003). Menurut kajian Nurdeen Deuraseh (2013) dan M Darojat Aryanto (2007) sejarah pengubatan ruqyah merupakan perubatan yang     paling tua di muka bumi dan terus berkembang sehingga zaman kini. Sebelum        kedatangan Islam masyarakat Arab jahiliah telah pun mengamalkan jampi atau mantra iaitu bacaan-bacaan yang digunakan adalah dalam bentuk memuja dan minta   pertolongan dari jin dan syaitan. Selepas kedatangan Islam seorang sahabat yang  bernama Auf bin Malik al-Asjai bertanya kepada Nabi SAW berkaitan ruqyah atau mantera yang telah mereka lakukan pada zaman jahiliah dahulu samada masih boleh diamalkan setelah  kedatangan Islam, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa  diharuskan ruqyah dengan syarat tidak sampai mensyirikkan Allah SWT
(Sahih   Muslim, Jilid IV, Kitab Salam, No 2063).

            Perkara ini disokong oleh Ibn al-Qayyim al-Jawziah dalam kitabnya, ‘At-Tibb an-Nabawiy- terj’(2013) dan Imam Al-Suyuti (1996: 35-36) yang menyatakan bahawa pengubatan menggunakan bacaan ruqyah dengan bersumber al-Quran dan al-Sunnah adalah sistem pengubatan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W selain dua kaedah iaitu pengubatan dengan ubat sahaja atau pengubatan yang menggabungkan ruqyah dan ubat.

Terdapat banyak hadith-hadith yang mengharuskan penggunaan ruqyah dalam mengubat, antaranya ialah cerita dari Abi Said al-Khudri berkaitan sekumpulan    sahabat Rasulullah SAW telah mengubat seorang ketua kampung yang mengalami bisa disengat kala jengking dengan menggunakan ruqyah surah al-Fatihah. Hasilnya orang yang diubati itu telah sembuh dan mereka memaklumkan perkara itu kepada Rasulullah dan baginda membenarkannya (Sahih Muslim, Kitab Salam, Hadith No 2064). Dalam hadith  riwayat Muslim dalam Kitab Salam juga memperlihatkan Rasulullah SAW meruqyah ahli keluarganya dengan surah al-muawidzat dan doa dengan dibacakan ketempat sakit atau diusapkan (Sahih Muslim, Kitab Salam, Hadith No 2052 dan 2053). Antara penyakit yang diruqyah yang dibicarakan dalam hadith juga ialah demam (Sahih Muslim, Kitab Salam, hadith no 2055), kudis, bisul dan luka (Sahih Muslim, Kitab Salam hadith no 2056).

Rasulullah SAW juga pernah menggunakan ruqyah untuk menyembuhkan penyakit sahabat, cucu dan ahli keluarganya (M Darojat Aryanto 2007). Terdapat juga fakta yang menyatakan bahawa Malaikat Jibril juga pernah meruqyah Rasulullah SAW sebagaimana yang disebut dalam kitab Sahih Bukhari. Selari dengan kajian Nurdeen Deuraseh (2013) dalam “ Book Of Medicine In Sahih Bukhari” yang menganalisa hadis hadis Rasulullah SAW berkaitan perubatan Nabi dan beliau mengenal pasti bahawa antara perubatan yang digunakan Nabi Muhammad SAW ialah berasaskan ruqyah, antaranya sebagaimana hadith berikut ;

Dari Aisyah r.a  katanya : “Bila Rasulullah SAW sakit, Jibril datang menjampinya. Ucap Jibril “ bismillahi yubriika wa min kulli daa in yushfika wa min syarri hasidin idza hasad, wa syarri kulli dzi ‘ainin[1] (Sahih Muslim, Kitab Salam, no 2047).

Pendekatan ruqyah yang dilakukan jibril ialah dengan melafazkan bacaan-bacaan tanpa perbuatan seperti meniup di tapak tangan atau penggunaan air.
    
Kajian Nurdeng Deuraseh bertajuk ‘Rukyah dalam Islam Kearah Jampi Yang Halal’ (2013) menjelaskan bahawa masyarakat Melayu telah mengamalkan ruqyah sejak kurun ke-9 lagi semenjak Islam datang ke Nusantara. Sebelum kedatangan Islam jampi berasaskan fahaman animism dan dinamisme telah diamalkan oleh masyarakat Melayu pada 650-1200 masihi. Ketika ini khasnya di Malaysia ruqyah berkembang melalui pusat pusat rawatan tradisioanal atau atas nama pusat rawatan Islam antaranya seperti Darul Syifa’, Darul Manzil, Darul Ruqyah, (Sharifah Norshah Bani Syed    Bidin,tt), Isra’ IQ Therapy, Darul Salam, Darul Qayyum, Darul Hidayah dan banyak lagi.


Definisi Ruqyah

Banyak penulisan dan kajian antaranya oleh al-Jawrani (2007), Akmal Abdul Munir (2005), Malik Faisal (2011), Musdar Bustmam Tambusai (2013), Ana Noviana (2010), Hazlina Abdullah (2003), Ibn al-Qayyim (2013) dan Ensiklopedia al-Quran yang telah membincangkan definisi dan pengertian ruqyah samada dari sudut bahasa atau istilah. Definisi ruqyah secara istilah mengikut al-Jawrani (2007) ialah “meminta perlindungan bagi orang yang sakit dengan membacakan sebahagian ayat-ayat  al-Quran, nama-nama Allah dan sifat-sifatNya disertai dengan membaca doa-doa yang syar’ie (ma’thur) dengan Bahasa Arab atau bahasa yang difahami maknanya lalu ditiupkan”. Manakala menurut Ibn al-Qayyim al Jawziyah (2013) terapi ruqyah adalah terapi dengan melafazkan doa dari al-Quran atau al-Sunnah untuk menyembuhkan sesuatu penyakit. Manakala dalam Ensiklopedia al-Quran, jilid 4, halaman 214    menyebut ruqyah ialah suatu bentuk pengubatan dengan menggunakan kalimah-kalimah tertentu untuk menyembuhkan penyakit.

Ummu Abdillah Hanien Zarqaa’ dalam bukunya bertajuk ‘Terapi Pengobatan dengan Ruqyah Syarri’yyah’ (2005) menjelaskan keharusan ruqyah yang mengikuti tuntutan syara’. Beliau menjelaskan berkaitan definisi ruqyah secara harfiah, istilah dan pandangan ulama’. Beliau turut mengulas bahawa terdapat tiga syarat ruqyah dan ayat-ayat serta doa yang diamalkan ketika ruqyah seperti surah al-fatihah, surah        al-mua’wwidzat, surah al-Kafirun, ayat akhir surah al-Baqarah, ayat kursi dan  beberapa zikir dan doa ma’thur.

Hasil perbincangan disimpulkan bahawa ruqyah itu ialah permohonan perlindungan dan penyembuhan dengan bacaan tertentu seperti ayat-ayat al-Quran, doa-doa dan zikir. Ia boleh ditiupkan kedalam air untuk dibuat minum atau mandi atau    ketempat sakit atau anggota badan bagi orang sakit, seperti demam, histeria dan      seumpamanya samada sakit fizikal atau mental agar dapat disembuhkan. Ia mampu mempengaruhi jiwa dan roh serta mendatangkan kekuatan untuk sembuh.


Muhammad bin Yusuf al-Jawrani (2007) dan Malik Faisal (2011) menjelaskan Ruqyah terbahagi kepada dua iaitu ruqyah syar’iyyah dan ruqyah syarqiyyah. Ruqyah Syar’iyyah iaitu terapi dengan cara membaca al-Quran, doa dan zikir bersumber al-Quran dan al-Sunnah yang didapati sahih pada riwayatnya. Terapi ini dilakukan oleh umat Islam dengan tujuan untuk menjaga diri sendiri atau orang lain dari pengaruh jahat pandangan mata manusia, jin, kerasukan, sihir, jiwa kacau dan      pelbagai penyakit fizikal atau mental. Islam membenarkan ruqyah syar’iyyah (Ibrahim Abdul Halim Abdul Barr 2006) sebagai salah satu usaha penyembuhan dari penyakit berasaskan doa-doa dan zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW dengan penuh keimanan dan ketakwaan serta yakin bahawa yang menyembuh penyakit adalah dengan keizinan Allah semata-mata.

Amalan ruqyah yang mengikut perspektif Islam harus menepati beberapa syarat. Menurut Ibrahim Salim terj Abdul Aziz@Ahmad bin Mohd (1991), Hisyah Rashid (2008), Haron Din (2009) dan Ummu Abdillah Hanien Zarqaa’(2005) antara syarat ruqyah syarr’iyyah ialah:

i.                    Bacaan-bacaannya diambil dari ayat-ayat al-Qur’an, nama-nama Allah dan SifatNya atau 
hadith-hadith sahih tanpa mengubah susunan kalimahnya, seterusnya lafaz-lafaz ruqyah itu bukan berasal dari ahli sihir dan peramal.

ii.                  Menggunakan Bahasa Arab yang fasih, dibaca dengan jelas sehingga tidak
berubah dari makna asalnya. Lafaz-lafaz ruqyah tidak boleh mengandungi istilah atau symbol-simbol yang mengisyaratkan sesuatu yang haram.

iii.                Menyakini bahawa bacaan ayat-ayat al-Quran dan al-Hadith tersebut hanyalah
wasilah untuk penyembuhan atau jampi tidak memberi apa-apa kesan, hakikat yang menyembuhkan adalah Allah SWT, hasilnya dapat mendekatkan diri manusia kepada Allah.

Ruqyah Syirkiyyah pula ialah ruqyah dengan memohon pertolongan selain Allah atau mencampurkan sekali dua permohonan iaitu memohon kepada Allah dan juga selain Allah seperti dengan jin atau syaitan. Ruqyah yang dibaca jauh terpesong dari sumber al-Quran dan al-Sunnah. Bacaannya mengandungi unsur-unsur syirik hingga  menyebabkan tergelincir dari akidah Islam. Ruqyah jenis ini adalah diharamkan dalam Islam kerana ia bukan sahaja menyesatkan diri manusia yang mengamalkan bahkan mampu memperdayakan manusia yang kurang ilmu agamanya.

Namun terdapat persepsi di kalangan masyarakat awam berpendapat bahawa terapi ruqyah hanya untuk merawat dan menyembuhkan penyakit gangguan jin,   syaitan (Zainul Ariffin & Zulkhair T.th) atau hantu serta perkara perkara ghaib sahaja. Pendapat ini tidaklah tepat kerana Ibn al-Qayyim al-Jawziyah (2013) menyatakan   bahawa terapi ruqyah juga boleh digunakan untuk penyakit-penyakit berbentuk fizikal. Perkara ini turut disokong dengan sorotan kajian lepas menunjukkan terapi ruqyah telah digunakan untuk menyembuhkan penyakit berkaitan emosi (Nikmatun Khasanah 2006), jiwa (Dadang Hawari 1996; Iman Setyabudi 2012), kanser (Lokman Abdul Hamid 2013), cemas (Ana Noviana 2010). Walau bagaimanapun rawatan menggunakan ruqyah untuk HIV/AIDS masih kurang diterokai. Bagaimanakah  endekatan ruqyah dan adakah hasilnya sama dengan penyakit lain atau berbeza?. 


 Kesan dan Penyembuhan Penyakit Menggunakan Ruqyah


Terapi ruqyah mementingkan pengisian rohani supaya kembali kepada fitrah manusia iaitu yang mempunyai hubungan hamba dengan pencipta. Ia menekankan keyakinan bahawa Allah yang berkuasa menyembuhkan sesuatu penyakit dan maha berkuasa atas apa jua perkara. Penyakit umpama syaitan yang mengotori udara bersih, mampu menimbulkan kesakitan dan membawa kerosakan kepada kesihatan. Syaitan  menguasai suasana, tempat dan manusia yang tidak ada zikir kepada Allah dalam hidupnya, kesannya umpama suatu tempat yang penuh dengan keadaan yang rosak dan berwabak. Antara punca punca penyakit adalah dari gangguan syaitan dan jin, dua entiti ini mampu mempengaruhi manusia agar melakukan maksiat dan perkara yang dimurkai Allah yang akhirnya membawa penyakit kepada manusia contohnya  perlakuan zina, homoseksual, pengambilan dadah, arak dan sikap berfoya foya    manusia hingga lupa Tuhan adalah kerana pengaruh syaitan. Kajian menunjukkan punca tertinggi membawa kepada munculnya HIV/AIDS adalah disebabkan zina, jelas perbuatan zina terjadi adalah kerana pengaruh syaitan (Dadang Hawari 1997).         

Berasaskan ini kesembuhan mampu didapati dengan adanya iman dalam diri,   menjauhi perkara maksiat dan taat kepada perintah Allah. Harun Arrasyid Hj Tuskan (2006) menjelaskan bahawa tubuh manusia mempunyai keupayaan untuk sembuh dengan sendiri, ia terletak pada iman dan emosi. Kesimbangan emosi, sifat sabar, tenang, ikhlas dan syukur menyebabkan tubuh mempunyai daya tahan yang tinggi terhdap penyakit. Ini rasional untuk sembuh kerana Rasulullah SAW juga pernah terkena demam akibat sihir seorang Yahudi yang     namanya Lubaid bin Ashim, baginda sakit selama enam bulan, namun kerana kekuatan iman dengan perlindungan Allah, penyakit itu tidak melemahkan baginda untuk terus melakukan tugas kerasulan.

Bagi Harun (2006) tindakbalas terhadap penyakit juga menjadi faktor kepada kesembuhan, contohnya sakit di bahagian perut rawatannya solat tahajjud, membaca al-Quran dan puasa. Penyakit sukar tidur, letih lesu, tidak selera makan, sesak nafas dan demam rawatannya ialah munajat dan doa. Semua ini berkaitan dengan getaran penyakit yang boleh dilenyapkan hasil getaran ayat al-Quran, doa, zikir atau amalan kerohanian. Penyakit merupakan satu bentuk tenaga yang buruk, manakala ayat-ayat al-Quran, doa, zikir dan solat pula menghasilkan satu bentuk tenaga yang baik dan mampu menghancur tenaga yang buruk.

Bagaimana terapi ruqyah al-Quran dan doa mampu merawat  penyakit?.Menurut Ibn al-Qayyim al-Jawziah (2012) bahawa ayat-ayat al-Quran mampu memberi pengaruh kepada jiwa apabila dibaca dengan khusyuk, memerhati dengan hati dan fikiran mereka. Apabila fikiran mereka terfokus kepada ayat dan  memahami setiap makna ayat maka akan lahir cahaya pada jiwa dan akhirnya     memberi kesan kepada kehidupan.

Selain itu hubungan antara suara ayat al-Quran terhadap penyembuhan   penyakit dapat dilihat dalam beberapa kajian. Mereka mendapati frekuansi suara dapat mempengaruhi banyak virus, suara itu dihantar dengan frekuansi yang jelas serta dapat dikenali oleh tubuh hingga mampu mengaktifkan sel sel darah putih, lalu sel-sel itu bertindakbalas menumpaskan virus-virus penyakit yang hadir. Syarat kejayaan rawatan ini ialah suara itu harus sesuai dengan virus yang didapati. Perkara ini    dibuktikan dengan kajian Kahel (2010), Lutfiyah Ningsih & Abdul Ghofar (t.th) dan Mustamir Abdullah (2013), mereka menjelaskan bahawa suara suara positif yang   dibacakan kepada tempat sakit mampu menghasilkan kesan positif, dimana sel mati menjadi hidup dan disistem semula, virus-virus mampu dihancurkan dan apatah lagi apabila dibaca al-Quran kepada air akan menghasilkan molekul yang cantik dan bercahaya. Air yang telah dibacakan ayat-ayat al-Quran dan kemudian diminum oleh pesakit mampu menjadi pembersih kepada virus dan bakteria dalam tubuh. Seterusnya membawa kesembuhan dari penyakit yang dihidapi.

Seterusnya hasil kajian Mustamir Abdullah (2011) menjelaskan terdapat empat cara al-Quran menyembuhkan penyakit fizikal, iaitu al-Quran sebagai media latihan pernafasan, pengaruh tempat keluarnya huruf dari pada organ-organ tubuh badan, peranan al-Quran sebagai muzik dan konsep religiopsikoneuroimunologi.  Kesimpulannya masyarakat yang mengamalkan ruqyah dari bacaan al-Quran dan doa mathur Nabi SAW sebagai zikir mampu menjadi kuat, bersih, terjaga dan membinasakan syaitan (Ibrahim Salim terj Abdul Aziz@Ahmad bin Mohd 1991).

Allah memberi peringatan kepada manusia bahawa syaitan adalah musuh  utama manusia oleh itu manusia harus sentiasa berhati hati dengan tipu daya syaitan kerana syaitan sentiasa sedaya upaya untuk menjatuhkan manusia dari taat kepada perintah Allah kepada derhaka kepada Allah. Penyakit juga merupakan salah satu dari senjata syaitan untuk menyesatkan manusia. Salah satu contoh ialah samada manusia akan berubat dengan petunjuk Allah iaitu dengan perubatan yang patuh atau petunjuk syaitan dengan cara pengubatan yang jauh dari akhlak dan akidah Islam seperti mengamalkan ruqyah syirkiyyah. Sebaliknya amalan ruqyah syariyyah dengan bacaan zikir dan doa mampu melindungi manusia dari gangguan syaitan dengan izin Allah (Abdul Hayie al Alawi 2006).

Membawa pandangan Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah  dalam Tafsir al-Qayyim sebagaimana yang dibahaskan oleh Abdul Hayie al-Alwai (2006) menyatakan 10 perkara yang boleh menjaga manusia daripada gangguan syaitan ialah sebagaimana berikut :

i.            Berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk sebagaimana firman Allah dalam surahFussilat ayat 36 yang bermaksud:

Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah Engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

ii.                            Bacaan ‘taa’wuz’ sebagai perlindungan kemudian diikuti oleh surah         al-hasyr tiga ayat terakhir akan dilindngi Allah dengan 70 ribu malaikat  dan sekiranya dia mati ketika itu maka matinya dikira sebagai syahid. Manakala menurut hadis yang diriwayat oleh al-Bukhari bacaan ‘ta’aawuz’ mampu melindunginya dari penderitaan.

iii.               Membaca surah al-Falaq dan surah An-Nas sebagai perlindungan dari    kejahatan dan penyakit selsema sebagaimana yang disebut dalam hadith      riwayat an-Nasai dan dibaca ketika tidur sebagaimana hadith riwayat    Ahmad. Manakala hadith riwayat al-Bukhari menyatakan Rasulullah SAW akan membaca surah perlindungan (surah al-Falaq dan surah al-Nass)  apabila sakit dan meniup sendiri ketempat sakit, diceritakan juga bahawa Aisyah turut membaca dua surah tersebut dan mengusap tempat sakit dengan tangan baginda untuk mendapat keberkatan.

iv.                            Membaca ayat kursi untuk mendapat perlindungan Allah sebagaimana yang diriwayatkan  oleh al-Bukhari berkaitan kelebihan orang membaca ayat kursi akan dilindungi Allah  sepanjang malam apabila ia dibaca     sebelum tidur.


v.                               Membaca surah al-Baqorah, awal surah al-mukminun, dan zikir ‘Laa ilaah illallah’.

Oleh itu jelas bahawa perkataan yang paling disukai oleh Allah setelah bacaan   al-Quran ialah zikir dengan kalimah kalimah tauhid sebagaimana hadis dari Samurah bin Jundab, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Perkataan yang paling disukai Allah SWT ada empat macam iaitu subhannallah, alhamdulilah, lailahailah, wallahu akhbar. (Sahih Muslim Kitab Zikir, Doa, Taubat Istighfar no 2317)

            Terbukti zikir kepada Allah merupakan pertolongan paling besar untuk taat kepada Allah. Allah memudahkan orang yang berzikir mencintai apa yang dicintai Allah. Zikir kepada Allah membawa kepada dimudahkan oleh Allah segala urusan, zikir juga mampu menyingkirkan segala ketakutan dalam hati kerana dengan berzikir akan mendatangkan rasa aman dalam jiwa manusia 
(al-Syeikh Muhammad  Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasqi terjemahan Panel Penterjemah 2011).

Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah (2005) menjelaskan bahawa doa adalah senjata mukmin, ia mampu menghindarkan sesuatu yang bahaya, masalah dan membawa  kemaslahatan. Doa akan makbul dengan cara melaksanakan segala syarat rukun doa seperti khusyuk dan makan makanan halal, sebagaimana maksud firman Allah dalam surah   al-Mukminun ayat 51:
šr
“Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan    kerjakanlah amal-amal soleh. Sesungguhnya Aku maha mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”

        Tulisan (Lutfi Kiram az Zumaro & Norhanis Hashim T.th ) menjelaskan  bahawa doa dan zikir ibarat radio aktif yang mempunyai sumber kuasa dan tenaga yang membangunkan, ketika manusia berdoa, zikir seolah-olah sedang memberi cas tenaga kepada dirinya. Secara psikologi doa memberi pengaruh besar kepada kekuatan jiwa, doa membuat jiwa kita kuat, tenteram, dan menambah semangat berjuang. Doa juga boleh jadi terapi diri untuk keluar dari masalah dan penyakit kerana disebaliknya akan muncul ketenangan, kekuatan dan semangat pada jiwa. Jelas bahawa  jiwa yang    optimis akan berusaha dengan bersungguh sungguh dan apabila dia gagal dia tidak gelisah kerana dia memahami bahawa segala takdir ditangan Allah.

Umum mengetahui bahawa amalan berdoa sangat digalakkan dalam Islam. Doa juga memberi kesan baik dalam kehidupan dalam menghadapi cabaran kehidupan  ia dapat dilihat sebagaimana Rasulullah SAW sering berdoa mohon perlindungan dari takdir buruk, kecelakaan dan dari tekanan ujian (Sahih Muslim, Kitab Zikir, Doa, Taubat dan Istighfar, hadis no 2330)

Asasnya doa, zikir dan ayat-ayat al-Quran digunakan dalam terapi ruqyah,  namun amalan terapi ruqyah bukan bermakna kita meninggalkan perubatan moden, terapi ruqyah adalah penyempurnaan perubatan yang menggunakan ubat ubatan, ini juga adalah cabang dari perubatan Islam. Terapi ruqyah juga boleh digunakan pada bila bila masa tanpa ada kesan sampingan, malahan ia membawa rahmat, pendidikan, ketenangan jiwa dan dekat dengan Allah. Intipati ruqyah adalah untuk fizikal, jiwa dan juga ruh (Ibrahim Salim terj Abdul Aziz@Ahmad bin Mohd 1991).  Selaras dengan ini adalah pendapat Fajar Hidayanto (2006) dalam kajiannya berkaitan   rawatan untuk orang yang hidup dengan HIV/AIDS  menjelaskan bahawa rawatan moden tanpa doa dan zikir tidak memberi kesan yang sempurna kepada tahap penyembuhan pesakit. Doa dan zikir mempunyai nilai psikoterapi yang tinggi dan mampu meningkatkan daya tahan tubuh.

Banyak kajian yang membuktikan bahawa terapi ruqyah dengan bacaan al-Quran, doa, dan zikir memberi kesan kepada penyembuhan penyakit. Antaranya ialah kajian Primadona (2010) menunjukkan bahawa ketenangan yang diperolehi dari zikir meningkatkan ketahanan tubuh, mengurangkan risiko penyakit jantung, memanjangkan usia. Tanpa ketenangan tubuh menjadi lemah dan senang untuk dijangkiti  virus, membantu pembiakan sel-sel kanser. Perbahasan Aida Hidayah (2011) turut mendapati bahawa ayat-ayat al-Quran mempunyai pelbagai fungsi selain sebagai nilai ibadah ia adalah ubat menyelesai semua masalah hidup. Cahaya Sabiq (2008) turut bersetuju bahawa terapi ruqyah mampu menyembuhkan penyakit yang berkaitan psikologi dan terapi berfungsi mencegah penyakit singgah kepada manusia. Fadzli Adam (2011) menyatakan rawatan alternatif seperti solat, taubat, muhasabah diri, kelas fardhu ain dan mengaji al-Quran membantu penyembuhan kes penagihan dadah. Iman Setyabudi (2012) menyatakan metod zikir yang diberikan kepada pesakit AIDS berpengaruh secara signifikan dalam menurunkan tahap kesan negatif dalam diri mereka iaitu membantu memberi ketenangan kepada jiwa mereka.

Seterusnya Che Zarrina Saari (2014) menjelaskan bahawa zikir sangat     berkesan untuk membentuk diri insan. Beliau mendapati dalam kajiannya terhadap penagih dadah di Pusat Remaja Inabah Sungai Ikan Kuala Terengganu yang didedahkan dengan aktiviti zikir 80% telah berjaya dipulihkan dari penagihan dan  juga masalah mental.

Hasil kajian Nurdeen Deuraseh (2007-2008) yang bertajuk ‘Healing Through Ruqyah (Incantation) with special focus an the percepction of Malay Muslim Society In Kelantan and Terenggnau, on Ruqyah As An Alternative way at Healing in  Malaysia’ menjelaskan bahawa 83% bacaan ayat Al Quran seperti surah al-Fatihah, surah an-Nas, al-Falaq, amalan doa dan solat, melindungi manusia dari syaitan kerana didapati 2.62% punca penyakit dipercayai dari syaitan. Nubli (2014) menjelaskan   bahawa pembacaan al-Quran dengan tartil memberikan kesan yang jelas kepada kulit, hati dan minda. Amalan taubat dan zikir seperti tahlil, tasbih dan selawat juga memberi kesan kepada individu dalam ruang lingkup membawa perubahan dalam aspek pembangunan insan.

Manakala kajian Abdul Ghofar, Lutfiyah Ningsih (T.th) yang bertajuk ‘The In\\fluence Of Playing Therapy And Music Therapy (Listening Al-Qur’an: Juz Amma) To Anxiety Respond At Toddler’ mendapati kanak kanak yang didengarkan bacaan   al-Quran akan merasa lebih tenang jauh dari sifat kemurungan, sedih, cemas dan   kerisauan. Pesakit yang didengarkan bacaan al-Quran akan menghasil kesan positif pada sel-selnya hasil penghantaran gelombang suara ke otak. Otak akan memberikan respon yang menenangkan kerana ia adalah fitrah dari Allah. Bacaan al-Quran dan doa membawa kepada ketenangan berbanding perkataan perkataan lain. Maka benarlah maksud firman Allah dalam surah ar-Ra’d ayat 28 :

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan  zikrullah". ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Pakar perubatan Barat menyatakan bahawa cara terbaik untuk mengubati berbagai penyakit adalah dengan menyusun semula sistem sistem sel manusia. Oleh itu mereka menggunakan irama yang mampu mempengaruhi orang yang mendengar dan sel-sel rosak dikatakan mampu untuk sembuh (Kahel 2010). Perkara ini juga di sokong oleh William G Braud Pengarah Penyelidikan di Institut of Transpersonal Psychology di Palo Alto menyatakan bahawa doa atau aktiviti di fikiran mampu mempangaruhi manusia dan kesihatan seperti gerakan mata, motoric, pernafasan dan irama otak  
(M Darojat Ariyanto 2007).

Manakala dari sudut perubatan moden, kajian menunjukkan terapi ruqyah meninggalkan pengaruh dalam penyembuhan sakit fizikal. Dr Dossey seorang doktor perubatan lulusan University Texas mengakui bahawa hasil penelitiannya menunjukkan bahawa doa dapat menghancurkan sel kanser, enzim, bakteria dan yang seumpamanya (M Darojat Ariyanto 2007).

Kajian Hawari (1997) menjelaskan bahawa 393 pesakit jantung di San  Francisco pesakit yang mana terapinya ditambah dengan doa menunjukkan  penyembuhan yang positif dan tidak mendatangkana komplikasi berbanding yang   tidak disertai dengan terapi doa. Aryanto Derajat (2005) turut menjelaskan bahawa kesembuhan dengan rawatan ruqyah juga bergantung kepada pesakit, perawat dan proses ruqyah dilaksanakan. Beliau menjelaskan bahawa ciri-ciri khas serta etika pesakit dan perawat membantu menyembuhkan peyakit.

         Perkara ini juga dibahaskan dalam kajian Abdul Jalil (2012) yang menggunakan kaedah temubual bersemuka untuk memperolehi data. Hasil kajian  Abdul Jalil (2012) berkaitan kesembuhan dengan ruqyah ialah 85% sembuh dan 15% tidak sembuh, di mana bagi perawat yang ‘bagus’ peratus sembuh ialah 75% dan dan 25 % tidak sembuh apabila pesakit dirawat oleh perawat yang ‘tidak bagus’. ‘Bagus’ di sini adalah berasaskan dari ciri takwa dan kedekatan amalan perawat kepada Allah yang mencipta kesembuhan.

Manakala kajian Sharifah Norishah Bani Syed Zaman yang bertajuk ‘Ayat-ayat al-Quran Sebagai Terapi Kerasukan Jin’, beliau merumuskan bahawa peranan perawat, bacaan ayat-ayat al-Quran serta keyakinan pesakit memainkan peranan penting dalam kesembuhan dalam rawatan ruqyah. Di mana pesakit dan perawat pada asasnya mestilah beriman dan yakin bahawa yang menyembuhkan   penyakit adalah Allah, dan manusia hanya perlu berusaha, maka ruqyah dengan ayat-ayat al-Quran adalah satu ikhtiar manusia untuk memohon kepada Allah untuk sembuh dari gangguan jin dan penyakit.





[1] “ dengan nama Allah yang menjadikan engkau dan yang menyembuhkan engkau dari segala penyakit dan dari kejahatan orang orang pendengki apabila dengki dan dari kejahatan setiap pandang mata orang yang punya mata”

Tuesday, July 21, 2015

LESBIAN, GAY, BISEKSUAL DAN TRANSEKSUAL (LGBT) DI INSTITUT PENGAJIAN TINGGI (IPT) ?

1.0       PENDAHULUAN

Gejala Sosial merupakan fenomena modenisasi dan kejutan budaya yang melanda golongan remaja dan belia. Globalisasi dan modenisasi juga merupakan penyebab berlakunya perubahan nilai dalam diri individu, keluarga dan masyarakat. Malaysia ialah antara negara yang menerima tempias negatif arus globalisasi khususnya dalam isu berkaitan sosial. Budaya negatif seperti gaya hidup bebas ala barat yang bertentangan dengan budaya  dan agama telah mula meresap dalam masyarakat. Masyarakat kita pada hari ini semakin diresapi budaya hedonisme  seperti suka berpoya-poya, berhibur dengan keterlaluan, ketagih rokok, judi, arak dan pengamalan seks bebas.

Rangkaian budaya  seks bebas akhirnya melahirkan manusia yang digelar sebagai Lesbian, Gay, Biseseksual dan Transeksual (LGBT). Dalam konteks Malaysia hari ini, golongan LGBT merupakan ancaman baru dalam sistem sosial dan kehidupan beragama di negara ini.

Antara ancaman LGBT kepada sistem sosial dan beragama dapat dilihat antaranya ialah mereka telah menuntut supaya aktiviti gay diiktiraf untuk bebas diamalkan di negara ini. Mereka menuntut atas nama kebebasan hak asasi manusia yang kononnya diiktiraf oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.  Seterusnya bagi memperjuangkan agenda songsang itu, mereka telah menubuhkan kelab-kelab gay yang menonjolkan aktiviti-aktiviti dan identiti  mereka. 

Mereka juga mengiklankan aktiviti melalu laman sesewang seperti melalui blog, you tube dan lainnya. Tanpa perasaan malu, norma atau takutkan undang-undang malah bangga dengan kemungkaran tersebut. Situasi ini sekiranya dibiarkan pasti akan menggugat sistem kekeluargaan, sosial dan kehidupan beragama umat Islam di negara ini.

Secara umumnya isu LGBT bukanlah isu baru yang berlaku dalam sejarah ketamadunan manusia dan juga di negara ini. Cumanya kemunculan mereka   ketika ini telah mengejutkan banyak pihak. Ini kerana keberanian mereka untuk menonjolkan diri secara terbuka dan tindakan mereka untuk menuntut aktiviti  gay dan aktiviti seumpamanya diiktiraf di negara ini. Kemungkinan ini dilakukan untuk meniru sebagaimana yang berlaku di sesetengah negara barat.

Memandangkan Islam adalah agama suci dan agama Persekutuan Malaysia perbuatan sesetengah individu Muslim yang terlibat dengan aktiviti gay dan perbuatan seumpamanya sebenarnya telah mencemar maruah agama Islam dan umat Islam itu sendiri. Oleh kerana itu, usaha hendaklah dicari terutamanya oleh agensi agama Islam untuk menangani dan menghapuskan perbuatan terkutuk tersebut. Ini dilakukan demi maruah agama Islam dan maruah 17 juta (67%) Muslim di negara ini.

2.0       PANDANGAN ISLAM TERHADAP PERLAKUAN LGBT

Islam dan semua mazhab yang diiktiraf mengharamkan lesbian, gay  biseksual dan Transeksual (LGBT). LGBT suatu perlakuan dalam kategori  mungkar dan dosa besar seperti perbuatan zina, lacur, arak, dan judi. Pengharamannya jelas disabitkan melalui sumber ilmu (epistemologi) Islam.

Di dalam al-Qur’an pengharamannya secara jelas disebutkan antaranya di dalam Surah Al-Isra’: 17-32, Surah Al-Nur: 24-2, Surah Al-A’raf: 80-84, Surah Al-Naml :     54-58, Surah Al-Nisa: 15-16 dan Surah  dan Surah Al-Ankabut: 28-35. Begitu juga banyak Hadis Rasulullah juga mengharamkan perbuatan-perbuatan tersebut.Ijmak Ulama’ sependapat bahawa perlakuan zina, liwat dan musahaqah yang dikaitkan dengan amalan lesbian, gay dan biseksual termasuk dalam dosa besar dan pelakunya wajib bertaubat dan dikenakan hukuman berdasarkan hukum Syariah yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh, dari sudut Syariah, ulama’ sependapat menyatakan homoseksualiti suatu jenayah yang boleh dikenakan hukuman demi menjaga kepentingan diri dan masyarakat. Perbezaan pandangan hanya timbul berkaitan bentuk hukuman sama ada dikenakan hukuman hudud atau takzir seperti dipenjara atau dibuang negeri.

Begitu juga perlakuan jenayah seperti zina dan gay ini adalah satu kesalahan jenayah Syariah yang berat menurut hukum Islam. Bahkan di dalam kes tertentu pemerintah/kerajaan sendiri tidak mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman melainkan hukuman yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Sebagai contoh, kes zina di bawah jenayah hudud kerajaan pun tidak berhak memberi pengampunan terhadap hukumannya melainkan hukuman rejam atau rotan 100 kali.

Memandangkan besarnya implikasi yang akan terjadi  LGBT ini maka sewajarnya seluruh masyarakat di Malaysia memikirkan satu strategi jangka pendek dan jangka panjang untuk mencegah kumpulan ini dari terus berkembang. Sekiranya tindakan pencegahan tidak dilakukan dikhuatiri ia akan mengundang murka dan bala dari Allah S.W.T yang apabila  ia berlaku musibahnya akan turut terkena  setiap daripada kita sama ada golongan taat atau golongan yang engkar.

3.0       SENARIO LGBT di IPT

Kemunculan kelompok LGBT di IPT boleh memberi gambaran yang negatif kepada masyarakat dan menjatuhkan imej universiti. Matlamat pelajar ke universiti adalah untuk menuntut ilmu sehingga tamat pengajian. Namun, sama ada disedari atau tidak masalah sosial muncul dengan pelbagai budaya dan ragam. Salah satunya adalah masalah yang dibawa oleh kelompok lelaki lembut yang wujud di dalam persekitaran gedung pendidikan. Seperti hidup bersosial dengan rakan perempuan, budaya ”pinky” yang menjadi gaya dan trend dikalangan lelaki lembut, dan sebagainya.Antara sorotan kajian yang boleh memberi pencerahan berkaitan isu ini adalah sebagaimana dibawah:

Kajian Dr Zuraidah Abdullah dari Universiti Malaya mendapati dari seramai 344 orang responden transgender yang terdiri daripada transwomen atau ‘Mak Nyah’ terlibat dengan kajian ini. Majoriti 156 orang (45.0%) responden berumur dari 21 sehingga 29 tahun iaitu seramai diiukuti 133 orang (39.0%) responden yang berumur 30 sehingga 39 tahun, 41 orang (12.0%) responden yang berumur 40 sehingga 49 tahun, 7 orang (2.0%) responden yang berumur 50 tahun keatas dan bawah 20 tahun masing-masing. Responden terdiri daripada pelbagai golongan etnik (235 atau 68.0% adalah Melayu, 31 atau 9.0% adalah Cina, 78 atau 22.0% adalah lain-lain etnik dan tiada responden dari etnik India). Sesuai dengan kepelbagaian etnik di Malaysia, hasil kajian turut mempengaruhi kepelbagaian dari aspek agama. Majoriti responden beragama Islam iaitu seramai 271 orang (79.0%), Kristian adalah seramai 31 orang (9.0%), Buddha adalah seramai 17 (5.0%), lain-lain agama adalah seramai 25 orang (8.0%).       
   
 Dari segi pendidikan, majoriti responden mempunyai tahap pendidikan yang rendah iaitu seramai 236 orang (69.0%). Mereka terdiri daripada responden yang menerima pendidikan dari peringkat Sijil Pelajaran Malaysia iaitu seramai 123 orang (36.0%), diikuti peringkat diploma iaitu seramai 72 orang (21.0%), peringkat Penilaian Menengah Rendah iaitu seramai 17 orang (5.0%) dan peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia iaitu seramai 7 orang (2.0%). Manakala responden yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi adalah seramai 108 orang (31.0%) sahaja. Mereka adalah responden yang menerima pendidikan dari peringkat Ijazah iaitu seramai 61 orang (17.0%), peringkat Sarjana adalah seramai 44 orang (13.0%) dan peringkat Doktor Falsafah iaitu seramai 3 orang (1.0%).

Kajian oleh Farahwahida Binti Mohd Yusof & Sharifah Munirah Binti Timmiati Fakulti Pendidikan,Universiti Teknologi Malaysia dengan tajuk ‘Lelaki Lembut: Faktor Dan Kesannya Kepada Pembentukan Sahsiah Mahasiswa IPTA’. Kajian ini bertujuan untuk mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi lelaki lembut di Universiti Teknologi Malaysia, disamping untuk mengetahui kesan pembentukan sahsiah lelaki lembut serta menghuraikan kedudukan lelaki lembut dalam perspektif Islam. Kajian ini menggunakan metode penentuan subjek, metode pengumpulan data dan metode analisis data untuk mendapatkan hasil kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor teman-teman , faktor keluarga dan media turut mempengaruhi golongan lembut. Kesan pembentukan sahsiah lelaki lembut tidak dinafikan memberi telah memberi kesan kepada mereka. Dalam konteks Islam pula, tiada istilah lelaki lembut. Golongan ini dikategorikan sebagai tranvetite dan hokum haram sekiranya mereka bertingkah laku seperti perempuan dan menukar jantina. Di akhir kajian, beberapa cadangan turut dikemukan kepada pihak-pihak tertentu untuk mengatasi golongan lelaki lembut.

Kajian ini dijalankan terhadap pelajar lelaki yang menduduki pengajian sepenuh masa yang berwatakan dan berketrampilan lembut di Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Skudai, Johor. Perkara yang dikaji hanyalah terbatas kepada faktor yang mempengaruhi golongan lelaki lembut dan mengetahui kesannya dalam membentuk sahsiah dalam kehidupan mereka kelak.

Menurut beliau terdapat  4 faktor pembiakan :
1.          Biologi, asasnya mereka ada jantina iaitu jelas lelaki.
2.       Kawan – kawan , didapati suka berkawan dengan perempuan sebab jiwa dan budaya yang  sama. Suka bantu junior dalam pelajaran.
3.         Keluarga : Kurang kasih sayang bapa, bapa garang lebih rapat dengan ibu, dari kecil ibu  suka  pakaikan pakaian wanita, ikut  ikut perangani ibu suka bersolek,
4.      Media : drama memaparkan mak nyah , suka tengok model wanita yang cantik-cantik,  berangan menjadi seperti mereka.

Gejala LGBT di IPT Mengikut Perspektif Pelajar UTP” oleh  Seri Nara Diraja (http://www.slideshare.net/rajarosenani/lgbt-titas) menjelaskan punca perkembangan LGBT sama dengan kajian diatas juga melibatkan 4 faktor diatas. Gaya hidup gay sebagaimana temubual yang dilakukan menyatakan bahawa mereka seronok melakukan hubungan dengan lelaki, namun sedar ia salah dan ingin bertaubat bila sampai masanya. 43 Pelajar UTP dari menolak LGBT dan sedar dan menganggap ia adalah satu gejala yang tidak bertamadun/barat. Cadangan kajian ialah perlakuan ini perlu ditentang dan dirawat.

Kajian bertajuk Difusi Ruangan Budaya Transeksualisme Dan Imaginasi Geografi Pelajar Lelaki Berpenampilan Silang Di Universiti Tempatan Malaysia (Spatial Diffusion of Transsexualism and Geographical Imagination of the Cross-dressed Male Students in Malaysian Local Universities) oleh Suriati Ghazali, Jabil Mapjabil, Azilah Mohamad Nor, Narimah Samat, Jas Laile Suzana Jaafar mendapati peranan rakan dan media sangat penting dalam penyebaran budaya transeksual di kalangan responden. Manakala imaginasi dan identifikasi yang diberikan oleh responden terhadap diri mereka, iaitu sebagai wanita, memudahkan mereka menerima gaya hidup transeksual.

Seterusnya kajian yang bertajuk ‘Faktor faktor yang mempengaruhi kecelaruan gender di Kalangan pelajar lelaki lembut di UITM Johor” oleh Sidek Abdullah, Khadijah Yahya, Hasdi Yusoff (2005) menyatakan 4 faktor terjebak dengan LGBT :
1. Rakan Sebaya
2. Keluarga
3.Sosiologi
4. Persekitaran

Menurut Dr Zuraidah (2014) Hak asasi dan diskriminasi golongan transgender di Malaysia memerlukan perhatian dari pelbagai pihak terutamanya kepada pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan. Hasil kajian ini menunjukkan golongan transgender di Malaysia masih lagi memperjuangkan hak asasi dan kebebasan mereka. Majoriti responden berpendapat hak asasi perlu diberikan kepada golongan transgender di Malaysia (334 orang atau 97.0%). Responden turut berpendapat bahawa golongan transgender di Malaysia didiskriminasi oleh masyarakat (313 orang atau 92.0%). Walaupun terdapat perkhidmatan kebajikan yang disediakan kepada komuniti transgender di negara ini, namun berdasarkan hasil dapatan kajian mendapati terdapatnya responden yang beranggapan perkhidmatan yang disediakan masih lagi tidak mencukupi. Majoriti responden bersetuju bahawa kemudahan kebajikan yang disediakan kepada komuniti transgender adalah masih kurang (216 orang atau 63.0%). Oleh kerana majoriti responden berpendapat bahawa mereka didiskriminasi, ini menyebabkan mereka merasakan hak asasi mereka sebagai transgender adalah tidak dilindungi (279 orang atau 81.0%).

Agama masih memainkan peranan yang penting apabila seseorang berhadapan dengan isu transgender malah golongan transgender turut mengakui peranan agama dalam membuat keputusan. Majoriti responden berpendapat bahawa agama memainkan peranan dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap golongan transgender di Malaysia (331 orang atau 96.0%). Daripada hasil kajian ini juga mendapati, walaupun terdapat agama yang melarang penganutnya menjadi seorang transgender namun kebanyakkan responden masih mampu bertoleransi apabila ingin membuat sebarang keputusan. Hampir keseluruhan responden masih berpegang kepada ajaran agama untuk membuat keputusan apabila melibatkan jantina diri mereka walaupun mereka bergelar sebagai transgender  ( 227 orang atau 66.0%).

Maka dapatlah dirumuskan bahawa keimanan yang rapuh ditambah dengan persekitaran yang memberangsangkan kearah gaya hidup LGBT merupakan pemangkin kearah bertambah suburnya budaya yang celaru ini. Sesuatu harus dijalan dalam dalam menangani isu ini. Penulis melihat satu kajian yang holistic wajib dijalankan untuk melihat isu dengan lebih dekat tanpa prasangka semata mata kerana apa yang didapati ketika ini kajian yangdijalankan adalah dalam bentuk terpisah seperti hanya berkaitan mak nyah atau peng kid semata-mata. Hasil kajian boleh digunakan dalam pelan tindakan untuk sokong bantu dan rawat kepada golongan ini terutama kepada penuntut di IPT yang merupakan harapan Negara pada masa depan.

4.0       PENUTUP 

Isu ini perlu ditangani secara konsisten dengan pelan strategi yang betul supaya tidak membazirkan masa dan kos kerajaan.



RUJUKAN:

Farahwahida Binti Mohd Yusof & Sharifah Munirah Binti Timmiati .‘Lelaki Lembut: Faktor Dan Kesannya Kepada Pembentukan Sahsiah Mahasiswa IPTA’. Fakulti Pendidikan,Universiti Teknologi Malaysia
Sidek Abdullah, Khadijah Yahya, Hasdi Yusoff .2005. ‘Faktor faktor yang mempengaruhi kecelaruan gender di Kalangan pelajar lelaki lembut di UITM Johor : Johor
Suriati Ghazali, Jabil Mapjabil, Azilah Mohamad Nor, Narimah Samat, Jas Laile Suzana Jaafar. 2012. Difusi Ruangan Budaya Transeksualisme Dan Imaginasi Geografi Pelajar Lelaki Berpenampilan Silang Di Universiti Tempatan Malaysia (Spatial Diffusion of Transsexualism and Geographical Imagination of the Cross-dressed Male Students in Malaysian Local Universities) .Journal Of Sosial Sciences and Humanities. Volume 7, No 5. 2012 © e-Bangi, FSSK, UKM.
Seri Nara Diraja. Gejala LGBT di UTP
Zuraidah Abdullah. 2015. Laporan Kajian Universiti Malaysia. UM : Kuala Lumpur