Friday, July 6, 2018

WORD OF WISDOM...TENTANG CINTA, RASA HATI, JIWA DAN REALITI.....


                                     


“Acap kali sesuatu yang kita cinta menjadi sebab ujian daripada Allah..Justeru,cintailah sesuatu berpada-pada bila Allah uji kita dengannya..kita tidak terlalu menderita.. ” 

“Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan” 

“Jika ingin membaiki dunia, kita perlu baiki manusia. Dan untuk baiki manusia kita perlu baiki hatinya. Untuk membaiki hati, kita mesti bermula dengan memperbaiki solat.” 


“Teringat saya amaran daripada Imam al-Ghazali, bahawa jika solat dipersembahkan kepada Allah tanpa ada sebarang rasa, sama keadaannya dengan mempersembahkan bangkai yang tidak bernyawa.” 

“Jangan kesal kalau diri tidak dihargai, tetapi kesalnya kalau diri benar-benar tidak berharga.” 


“Tidak payah bersentuhan tangan, kerana mereka sudah bersentuhan hati. Tak payah berbalas kerlingan mata kerana mereka sudah pun berbalas-balas doa.” 

“Jangan sesekali bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezeki. Bergantunglah kepada Allah. Bertawakallah kepada Allah dan berikhtiarlah dengan keupayaan sendiri. Jika tidak, kita akan dikecewakan.” 

“Bila seseorang itu kerap jatuh cinta, ertinya dia belum berjaya mencintai diri sendiri.” 

“Jangan trauma dengan pengkhianatan masa silam. Jangan bimbang dengan pengkhinatan masa akan datang. Tetapi binalah cita-cita besar yang mampu ’meremehkan’ semua itu. Dengan cita-cita besar kita akan menjadi raja. Bukan raja untuk berbangga tetapi raja yang mempunyai keyakinan diri dan kemurnian reputasi. Biarlah anjing menyalak bukit. Bukit tidak akan runtuh. Begitulah orang yang menikam kita dari belakang… kerana dia hakikatnya lemah penakut dan tidak punya keyakinan diri untuk bertarung secara berdepan” 


, yang baik itu cantik tetapi yang cantik itu tidak semestinya baik!” 


“Cinta yang dicari adalah baik, tetapi cinta yang didapati tanpa dicari adalah lebih baik.” 

“Cinta yang sejati ialah cinta yang tidak bertambah kerana kebaikan dan tidak berkurang kerana kesalahan.” 


“Kita tidak boleh mengubah sesuatu yang kita lihat, tetapi kita boleh mengubah diri kita yang melihatnya. Jika kita tak dapat apa yang kita suka, maka langkah terbaik ialah sukalah apa yang kita dapat. Itulah syukur namanya!” 

“Antara pilihan dan penentuan. Antara tadbir dan takdir. Antara kesempurnaan dan pencarian. Semuanya menagih kepada sikap berhati-hati. Jangan terlalu cepat, hingga tersadung. Jangan terlalu perlahan sehingga terlambat.” 

“Usahakan sebaik tadbir, kemudian tunggulah sebaik-baik takdir” 

“Fardhu ain itu umpama tapak. Fardhu kifayah pula ialah bangunan di atas tapak. Bangunan akan lemah, kalau tapak bermasalah.” 

“Jika tepat masa, ketika, keadaan dan SIAPA, cinta adalah kuasa luar biasa yang tiada bandingnya” 

“Dengan wang kamu hanya boleh membeli buku tetapi tidak boleh membeli ilmu.” 

“Saidina Ali berkata, "Orang bijak bukan sahaja dapat membezakan antara kejahatan dengan kebaikan, tetapi dapat mencari kebaikan antara dua kejahatan” 

“Jangan terlalu dalam segalanya. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan terlalu duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamatkan ‘hati’ kita.” 

“Tetapi yakinlah, what you give, you get back. itu hukum sunnatullah dalam hubungan sesama manusia.” 

“Hakikatnya, apa yang berlaku adalah dengan izin Allah jua. Tentu ada maksud Allah izinkan semua ini berlaku.” 

“Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik… didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi ‘siapa kita’ ketika melihatnya” 

“Ertinya, Allah itu adalah penyebab yang mutlak kepada semua cinta manusia. Justifikasinya sangat jelas. Tidak boleh dinafikan lagi. Justeru jika ada sesuatu atau seseorang yang selain-Nya lebih kita cintai, maka itu menunjukkann kita salah dalam meletakkan cinta. Kita lari dari cinta yang besar kepada cinta yang kecil. Kita pinggirkan cinta yang agung kepada cinta yang kerdil.” 

“Jika bahagia yang dicari, tetapi derita yang diberi… terimalah. Bahagialah dengan derita itu.” 

“Apakah orang yang benar-benar ikhlas sempat berasa tertindas ketika membuat kebaikan yang tidak dibalas?” 

“Mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pda fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah menilai pada akhlak dan budi pekerti.” 

“Cinta kalau bahasanya hati... itulah cinta hakiki.
Kasih jika dasarnya Rabbi...itulah kasih sejati.
Cinta ini pasti diuji kerana itu sudah tradisi janji...

“Di dalam dunia yang penuh dugaan, kita tidak boleh mempunyai hati yang rapuh. Di dalam kehidupan di mana ramai sekali manusia suka bercakap ikut sedap mulut, kita tidak seharusnya terluka hanya dengan kata-kata.” 


# Sumber : Pahrol Mohd Juoi (qoute)


Thursday, January 4, 2018

FADHILAT MEMBACA AL-QURAN
Terdapat 15 kebaikan-kebaikan al-Quran di dalam hadis-hadis sahih :
Pertama : Al-Quran akan menjadi syafaat dihari akhirat.
Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua : Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya dihari akhirat.
Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Di hari akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Ketiga : Sebaik-baik amalan adalah orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran.
Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.
(Hadis Riwayat Bukhari)
Keempat : Membaca al-Quran dan susah menyebutnya mendapat dua pahala.
Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang membaca al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelima : Mukmin yang membaca al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya.
Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Umpama orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca al- Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Keenam : Allah SWT mengangkat martabat golongan yang membaca al-Quran.
Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran”.(Hadis Riwayat Muslim)
Ketujuh : Kefahaman yang sahih tentang al-Quran akan menjadi contoh ikutan.
Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:
“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang al-Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelapan : Membaca al-Quran akan mendapat ketenangan (sakinah)
Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata : “Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan al-Quran”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kesembilan : Sesiapa yang tidak mengingati ayat-ayat al-Quran umpama rumah yang roboh.
Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat al-Quran seperti rumah yang roboh”. (Hadis Riwayat Tarmizi dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)
Kesepuluh : Membaca dan memperelokkan bacaan al-Quran akan mendapat kebaikannya.
Daripada Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :
“Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca al-Quran: Bacalah, perbaikkilah dan perelokkanlah bacaan al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”. ( Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih )
Kesebelas : Membaca beberapa ayat al-Quran lebih baik daripada mendapat unta yang gemuk.
Daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a. menceritakan : Rasulullah S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau bersabda: “Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim”. Kami menjawab : “Kami suka demikian itu. Sabda Rasulullah S.A.W : “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua belas : Sesiapa yang lebih fasih memebaca al-Quran lebih layak menjadi imam solat berjemaah.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda : Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim )
Ketiga belas : Nabi SAW mengutamakan sahabat yang paling kuat berpegang teguh kepada al-Quran untuk dikebumikan jenazah mereka.
Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian baginda bersabda : “Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan al-Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad”. (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah)
Keempat belas : Kelebihan berdoa selepas membaca al-Quran.
Daripada ‘Imran Bin Husain Bahawa beliau lalu di hadapan qari yang sedang membaca al-Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian ia berkata aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang membaca al-Quran maka berdoalah kepada Allah dengan al-Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca al-Quran dan mereka berdoa dengannya”.
(Hadis Riwayat Tarmizi, beliau berkata : Hadis ini hasan)
Kelima belas : Setiap satu huruf membaca al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata : “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.(Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)