Tuesday, October 14, 2008

AZAM TAHUN BARU…AZAMKAN PERUBAHAN UNTUK DUNIA YANG LEBIH INDAH!
oleh: Haslinda Lukman

PENDAHULUAN
Semua benda atau kejadian Allah dimuka bumi ini pasti akan berubah setiap minit, saat , jam, hari, dan tahun. Perubahan merupakan suatu proses yang tetap berlaku dalam kehidupan manusia. Perubahan tetap akan berlaku samada kita ingini atau tidak kita ingini. Perubahan juga ada yang dapat dikawal dan ada juga yang tidak dapat dikawal. Perubahan akan berlaku tanpa dirancang. Perubahan yang berlaku samada perbahan yang positif atau negatif kadang kala melibatkan emosi, kepercayaan , sikap, tingkah laku dan nilai individu. Antara contoh perubahan positif yang sentiasa berlaku dialam ini adalah seperti usia dari muda kepada tua, kehidupan kepada kematian. bodoh kepada menjadi pandai, miskin kepada kaya dan seumpamanya. Contohnya yang negatif pula dan ia juga dikategorikan dalam bentuk perubahan seperti berakhlak mulia kepada buruk akhlak, anak yang hormat ibu bapa menjadi menderhakai ibu bapa , dari budak bijak menjadi penjenayah dan seumpamnya. Setiap individu pasti akan mengalami perubahan samada positif atau pun negatif. Kadangkala perubahan yang berlaku kepada orang yang disekelilingnya juga menyebabkan akan berlaku perubahan kepada individu tertentu.


Cara Menangani Perubahan
Setiap perubahan, ada yang positif dan ada yang negatif, ia bergantung kepada manusia itu sendiri cara untuk menanganinya . manusia perlu menangani segala perubahan itu dengan cara yang betul supaya kesimbangan hidup akan berterusan. Dibawah dibawakan sedikit tip yang boleh digunakan bagi cara menangani perubahan:



Terima Perubahan Secara Positif
Dalam perjalanan kehidupan, manusia selalu diwarnai banyak perasaan yang berselang-seli antara rasa bahagia, sedih, marah, menyampah,benci, dendam. Adakalanya fikiran penat karena tekanan pekerjaan dan tekanan perasaan. Kadangkala kita bersemangat untuk melakukan sesuatu perkara dan kadangkala pekerjaan yang dilakukan terus terhenti kerana rasa malas dan putus asa.

Semangat untuk meneruskan kerja kadangkala terdorong kerana sikap positif yang ada dalam diri.Sikap positif ini menjadi penting untuk mempertahankan dan menjalankan kehidupan anda dari satu hari ke hari yang lain.Sikap positif itu penting kerana sikap positif itu akan membuat anda menjadi kuat dan tabah. Tetapi yang lebih penting adalah perubahan positif. Maksudnya dari hari ke hari anda harus membuat sikap yang berubah, cara bekerja yang berubah, cara anda menghadapi hidup yang berubah, bukan sekadar fikiran yang positif. Tapi perubahan menuju lebih baik atau perubahan yang positif.Perubahan positif lebih penting daripada sikap positif. Kerana anda tidak berubah hanya kerana mempunyai sikap yang positif maka dalam kehidupan anda juga tidak akan pernah terjadi perubahan yang signifikan. Sekira anda ingin cemerlang, berjaya , dan lebih bahagia anda harus melakukan perubahan yang positif secara terus menerus. Kalau anda ingin mempunyai hubungan yang baik dengan teman, anda harus melakukan secara istiqamah penambahbaikan positif. Bukan hanya sekadar mempunyai sikap yang positif. Jadi sikap positif adalah penting. Namun perubahan untuk menjadi lebih baik/positif dalam kehidupan kita adalah lebih penting. Bukan sikap saja, tapi tindakan perlu dilakukan untuk selalu menjadi lebih baik.

Bersyukur Dengan Apa Yang Ada
Jika anda mulakan hari anda dengan fikiran dan perasaan marah, anda akan jumpa semua perkara yang membuat anda marah sepanjang hari. Jika anda mulakan hari anda dengan fikiran dan perasaan benci, anda pasti akan berjumpa semua benda yang membuat anda rasa benci dan marah sepanjang hari. Jadi, bagaimana harus ada mulakan hari anda?Disyorkan mulakan hari anda perasaan bersyukur, tidak percaya? Anda boleh cuba mengamalkannya.

Tanamkan rasa bersyukur kerana anda masih ada ibu bapa, bersyukur kerana ibu bapa menyayangi anda, bersyukur kerana berjaya memasuki universiti, bersyukur kerana ada ramai kawan baik, bersyukur kerana dikurniakan kebijaksanaan dalam berfikir dan bersyukur kerana apa sahaja dalam hidup anda. Rasa bersyukur ini menimbulkan satu rasa tenang dalam hati anda. Bukan sahaja rasa tenang, malah anda rasa gembira dan bahagia. Ucaplah syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin, seikhlas mungkin hingga rasa syukur itu meresap jauh ke dalam diri anda.


3.Menghargai Kelebihan Orang Lain
Anda boleh berjaya dengan cemerlang jika anda bekerja sendirian. Tetapi anda akan lebih berjaya dengan lebih cemerlang dan dengan lebih mudah jika anda mendapat pertolongan sahabat-sahabat dan orang disekeliling anda. Hargai sahabat baik anda dan orang lain kerana mereka memainkan peranan yang penting dalam hidup anda. Jadilah seorang sahabat dan individu yang baik agar anda juga dapat menyumbang ke arah kejayaan sahabat-sahabat anda dan orang lain.

4. Ubah Pemikiran
Kita tak boleh merubah situasi atau perubahan yang boleh membuat kita kecewa, sedih dan murung. Tapi, kita boleh merubah fikiran kita dan apa yang kita fikirkan tentang situasi-situasi tersebut walau seburuk manapun ia. Rahsianya, cari sinar mentari disebalik mendungnya awan. Walaupun perkara itu anda rasa sesuatu yang sangat buruk , carilah cara bagaimana anda boleh mempositifkan segala yang negatif dalam hidup anda.Fikirlah yang baik-baik saja, kerana ia memberi keuntungan jangka masa panjang. Rezeki anda murah dan segala yang baik-baik akan datang sendiri pada anda. Anda akan menjadi apa yang anda selalu fikirkan.Buat apa memikirkan yang buruk kerana menghalakan pemikiran kearah yang baik-baik adalah lebih berfaedah dari asyik memikirkan perkara buruk.Memikirkan yang buruk, anda dapat yang buruk jawapannya. Ini hukum alam dinamakan hukum sebab dan akibat.

5. Lapang Dada Dan Bersedia Memaafkan Orang Lain
Sikap pemaaf dapat membersihkan hati dari perasaan negatif dan emosi-emosi negatif (takut, sedih, kecewa. gusar, menyampah, marah, geram, cemburu, tak puas hati, dendam, busuk hati). Seterusnya, meneutralkan gekombang fikiran negatif yang melekat bersarang di minda anda.Ketahuilah, anda selalu rasa sedih dan kecewa kerana anda tak memaafkan kesalahan diri anda di masa lalu ataupun anda tak memaafkan kesalahan orang lain tehadap diri anda satu ketika dulu, ataupun... anda susah menerima hakikat perbuatan salah orang lain terhadap diri anda, yang membuat anda sedih, kecewa dan geram tahap dewasa..belajar menjadi pemaaf. Semua ini akan membawa ketenangan pada diri anda.

6. Gunakan Peluang Yang Ada Untuk Berubah
Bukan tugas orang lain untuk mengubah diri anda, diri anda sendiri yang perlu berubah.Rebutlah setiap peluang yang ada untuk merubah hidup anda untuk menjadi yang lebih baik walau dari sudut apa sekali pun. Peluang tidak selalu datang dalam hidup anda. Lebih buruk lagi jika anda melepaskan peluang yang anda ada. Selalunya anda akan kesal kerana melepaskan sesuatu peluang selepas ia telah berlalu.

Begitu juga dengan pelajaran. Ia merupakan satu peluang yang berdiri di depan anda. Jika anda lepaskan peluang itu dengan tidak belajar bersungguh-sungguh, peluang itu pasti meninggalkan anda. Sedar-sedar nanti, apabila anda sudah bekerja dan menghadapi kesukaran untuk maju, anda terasa menyesal kerana membiarkan peluang belajar tadi meninggalkan anda.


PENUTUP
Oleh itu remaja, rangsanglah perubahan serta berubahlah anda kearah
hati yang murni, minda yang cergas, sentiasa bersemangat, penampilan anggun, menyakinkan, hubungan sosial , rohani yang mantap untuk mendapat redha dan keberkatan Allah serta hidup yang bahagia ditengah masyarakat dunia dalam usia kehidupan yang singkat ini. Menyedut kata-kata Fadzilah Kamsah , pakar motivasi berkata bahawa mengikut kajian sekiranya lebih 48 jam anda masih tidak bertindak untuk berubah maka sesungguhnya sukar untuk berubah dan merubah sesuatu perkara untuk langkah yang seterusnya! Bertindak dan berubahlah sekarang! . Semoga anda akan sentiasa menjadi manusia yang seiring dengan perubahan-perubahan yang positif dan bahagia dalam hidup anda.




No comments: