Monday, October 13, 2008


Tasbih Cinta Badar al-Kubra

oleh:Haslinda Lukman

TASBIH MADINAH

Kota Madinah telah mengalami perubahan besar selepas kemasukan Islam . Orang-orang Yahudi berbondong-bondong memeluk Agama Islam. Perkara ini menimbulkan kebimbangan bagi orang Yahudi yang fanatik

Kemarahan bangsa Yahudi makin bertambah, apabila turun perintah dari Allah agar berkiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah di Makkah. Dalam pada itu juga Rasulullah telah membuat perjanjian dengan kaum Yahudi Madinah, dimana ditetapkan:

1. Orang Yahudi dan Orang Islam hendaklah hidup sebagai satu bangsa.

2. Masing-masing mereka menjalankan upacara keagamaan masing-masing

3. Jika salah satu diserang musuh, yang lain akan memberikan bantuannya.

4. Bila kota Madinah mendapat serangan, orang-orang Islam dan orang-orang Yahudi harus bersama-sama mempertahankannya.

5. Jika antara kedua pihak timbul perselisihan, maka Nabi sendiri yang akan mengadilinya.

Namun tidak lama selepas perjanjian itu ditandatangani, orang-orang Yahudi mulai melanggarnya dengan mengadakan hasutan untuk menghalau orang-orang Islam dari Madinah. Gerakan ini dipimpin oleh Abdullah bin Ubay. Pada masa yang sama kafir Quraisy Makkah telah bersiap sedia pula untuk menyerang orang Islam dengan kelengkapan yang besar.


TASBIH PERANG

Dalam keadaan yang kritikal itu, turun wahyu Allah kepada Nabi SAW yang berbunyi: "Berperanglah dalam jalan Allah melawan orang-orang yang memerangi kamu, tetapi jangan melanggar batas, kerana Allah tidak suka kepada orang yang melanggar batas. Bunuhlah mereka itu dimana saja kamu jumpai dan usirlah mereka itu sebagaimana mereka telah mengusir kamu. Tetapi ingat pula, bahawa fitnah adalah lebih berbahaya dari pembunuhan. Tetapi janganlah kamu berperang didalam Masjidil Haram (Kaabah), kecuali kalau diperanginya kamu disana." Atas perintah itu Nabi mulai menyusun tentera serta mengatur strategi.

TASBIH STRATEGI


Nabi telah mengutuskan perisik ke Makkah untuk mencari maklumat dan meninjau kekuatan musuh. Pada bulan Rejab tahun kedua hijrah, Nabi mengutus dua belas orang Muhajirin, diketuai oleh Abdullah bin Jahasy keluar kota Madinah. Nabi memerintahkan mereka agar menuju ke Nakhlah, satu tempat di antara Makkah dan Taif, untuk mencari maklumat strategi musuh. Perkara ini dilakukan bukan bertujuan untuk menyerang Makkah, ia hanya sebagai langkah berjaga-jaga. Dalam perjalanan itu Abdullah bertemu dengan kafilah kecil orang Makkah yang dalam perjalanan pulang dari Taif, lalu berlaku satu pertempuran kecil yang tidak dapat dielakkan, hal ini telah menimbulkan lagi kemarahan puak kafir Quraisy Makkah untuk menyerang kaum Muslimin.

Nabi mendapat laporan, bahawa kafilah bangsa Quraisy yang amat besar terdiri dari seribu ekor unta dengan segala muatannya, sedang dalam perjalanan dari Syria menuju Makkah. Nabi memerintahkan untuk menahan kafilah, merampas harta dan barang dagangan, ia merupakan strategi Nabi bagi mengurangkan kekuatan musuh yang telah siap untuk menyerang itu . Strategi Nabi SAW itu telah diketahui oleh Abu Sufyan yang mengetuai kafilah itu. Abu Sufyan segera mengirim utusan ke Makkah minta bantuan tentera sebanyak mungkin, dalam masa yang sama Abu Sufyan mengalihkan perjalanan kafilahnya melalui satu tempat yang bernama Badar, menyusur pantai Lautan Merah.

Makkah segera mengirimkan bantuan yang terdiri dari seribu orang tentera, seratus pasukan berkuda dan tujuh ratus pasukan unta, yang kesemuanya diketuai oleh Abu Jahal sendiri. Manakala pasukan Rasulullah SAW hanya terdiri dari tiga ratus tiga belas orang saja. Dua orang berkenderaan kuda. Tentera yang kecil ini berangkat bersama Rasulullah menuju satu tempat yang bernama Badar.


Setelah Rasulullah mengetahui akan kedatangan bantuan Quraisy yang amat besar jumlahnya itu, Rasulullah bermesyuarat dengan para sahabat beliau. Abu Bakar , Umar , Miqdad b Amru dan beberapa sahabat menasihatkan dan memberi perangsang agar pertempuran diteruskan. Rasulullah sangat gembira mendengar kata-kata semangat yang diucapkan para sahabat itu. Rasulullah lalu berkata kepada mereka: "Berangkatlah dan bergembiralah, Allah sudah menjanjikan kepadaku akan pertolonganNya, seolah-olah aku melihat tempat-tempat yang menjadi sumber minum mereka."

Rasulullah memerintahkan pasukannya mengambil tempat rendah berdasarkan pandangan seorang sahabat bernama Habbab bin Munzir. Seluruh pasukan dikerahkan untuk membuat tangki-tangki dan menggali perigi, mengisinya dengan air sebanyak mungkin, lalu menutup sumber air yang akan dipergunakan oleh musuh itu. Keesokan harinya musuh yang terdiri lebih dari seribu orang itu mulai menyerang. Melihat kedatangan musuh yang tiba-tiba itu, Rasulullah berdoa: "Allahumma, ya Allah, kaum Quraisy sudah menyerang dengan sombong dan membanggakan kekuatan mereka, mereka menentang Engkau dan mendustakan akan Rasul Engkau. Ya Allah, hanya pertolongan yang pernah Engkau janjikan kepadaku yang akan dapat mengalahkan dan menghancurkan mereka. Ya Allah, hancurkanlah mereka."

TASBIH CINTA TUHAN

Tentera Makkah mara dengan segera mereka menyerang dengan pasukan berkuda terhadap tentera Islam. Dua orang pasukan berkuda musuh (Quraisy) gugur ke tanah dipanah tentera Islam. Tentera musuh mara ke depan dengan tiga orang pahlawan, iaitu 'Utbah dan Syaibah (bersaudara) dengan anak 'Utbah yang bernama al-Walid, untuk menghadapi ini, Nabi memerintahkan tiga orang pahlawan Islam pula, iaitu Ali, Hamzah dan Ubaidah. Ali dan Hamzah dapat menewaskan musuh sedangkan Ubaidah dan lawannya masing-masing mendapat luka yang parah dan kerana luka-luka ini Ubaidah meninggal dunia di atas pangkuan Nabi sendiri. Kaum Muslimin yang sedikit itu menghadapi lawan yang lebih dari tiga kali ganda banyaknya. Nabi mendoa kepada Tuhan: "Oh, Tuhan! Penuhilah janjiMu untuk memberi kemenangan , sekiranya umat yang kecil ini binasa (kalah), maka akan menanglah agama berhala dan tidak akan ada lagi orang yang menyembahMu di muka bumi."

Tiba-tiba Nabi SAW seakan-akan terpegun ketika berdoa. Di kala itu turunlah wahyu Allah yang berbunyi: "Hai, Nabi! Kerahkanlah orang-orang Mu'min itu bertempur! Dua puluh orang Mu'min yang sabar, akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan seratus orang (Mu'min yang sabar) akan dapat mengalahkan seribu orang-orang kafir, kerana orang-orang kafir itu tidak mempunyai dasar yang teguh." Dengan segera Nabi menghadapkan mukanya kepada tentera Islam yang sudah siap sedia, lalu berkata: "Demi Tuhan yang memegang jiwa Muhammad, orang-orang yang berperang dengan sabar dan mengharapkan ganjaran Allah, terus mara, bila dia terbunuh, terus masuk ke dalam Syurga Allah." Kemudian Nabi mengambil segenggam pasir, lalu dilemparkannya ke arah musuh. Kaum Muslimin mara bertempur dengan keimanan dan keyakinan yangteguh, sambil serentak berteriak: Ahad, Ahad, Ahad.


Dikala itu angin berhembus dengan kencangnya ke arah tempat musuh. Pasir pasir berterbangan bagai asap yang amat tebal. Mata pedang mulai bergerincingan berbunyi ditengah-tengah suara takbir dan derunya angin ribut. Angin berhembus ke arah tentera musuh sangatlah menguntungkan tentera Islam. Tentera musuh, seorang demi seorang tewas di hujung mata pedang; diantaranya 'Utbah, Syaibah, al-Walid, Umaiyah bin Khalaf, Abdul Bukhtary, Hamzah anak Abu Sufyan.


Dalam pertempuran itu pula, Mu'az bin 'Amru telah dapat mencederakan Abu Jahal, tetapi anak Abu Jahal segera datang membantu ayahnya, sehingga tangan Mu'az terkena mata pedang dan hampir putus, tergantung di bahunya. Dengan segera Mu'az memutuskan tangannya yang tergantung-gantung itu, lalu terus bingkas menyerang Abu Jahal. Abu Jahal terpelanting jatuh, dan ditikam oleh seorang pemuda Ansar.. Kepala Abu Jahal yang telah bercerai dengan badannya, dibawa Ibnu Mas'ud ke hadapan Nabi.

Apabila pihak musuh melihat panglima tertingginya sudah kalah, barisan musuh mula kucar kacir, lari tunggang-langgang dikejar tentera Islam dari belakang. Mereka meninggalkan tujuh puluh mayat dimedan perang, yang umumnya terdiri dari pemimpin-pemimpin mereka dan tujuh puluh orang lagi menjadi tawanan perang. Empat belas orang mati syahid dan tidak ada seorang pun yang menjadi tawanan musuh dikalangan tentera Islam.Di antara tokoh-tokoh besar dari kaum Musyrikin Quraisy yang terbunuh itu antaranya ialah Abu Jahal bin Hisyam 'Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah, Umaiyah bin Salt.

Di Makkah Puak Quraisy telah menerima berita kekalahan tentera mereka. Mereka mendapat gambaran penuh tentang dahsyatnya peperangan tersebut. Seorang budak suruhan Abbas yang bernama Abu Rafi berkata : “Demi Allah tentu Malaikatlah yang menolong tentera Islam!” . Perkataan itu menimbulkan kemarahan Abu Lahab, walaupun masih lagi dalam kesakitan, Abu Jahal memukul Abu Rafi setengah mati. Kejadian itu dilihat oleh isteri Abbas, dia amat marah melihat keadaan itu ,diambilnya lembing lalu ditikamnya Abu Lahab , dengan keadaan parah dan malu Abu Lahab pulang kerumah, sakitnya semakin tenat setelah tujuh hari dia pun mati.

TASBIH BADAR AL-KUBRA


Perang inilah yang dinamakan Badar al-Kubra, berlaku pada tujuh belas Ramadhan tahun kedua Hijrah. Badar ialah peperangan pertama yang dihadapi oleh Nabi Muhammad dalam mengembangkan dakwah Islamiah. Allah telah mengirimkan pertolongan-Nya kepada umat Islam dalam perang itu.Perintah perang bukan untuk memaksa orang memeluk Islam, tetapi untuk mempertahankan diri jika diserang sebagaiman firman Allah dalam surah al-baqarah ayat 256,yang bermaksud “ Tidak ada paksaan dalam menganut agama sesungguhnya telah jelas petunjuk itu dari kesesatan”. Jelas dari sejarah Badar al-Kubra diatas, Islam tidak tersebar melalui mata pedang atau perang.!



Oleh : Haslinda Lukman
Rujukan : Sejarah Islam
Ensiclopedia Sirah
Cerita-cerita dari al-quran

No comments: