Tuesday, October 14, 2008

AIDIL ADHA : ANTARA PENGORBANAN DAN KASIH SAYANG..
oleh:Haslinda Lukman

PENDAHULUAN
Aidil Adha atau Hari Raya Korban merupakan salah satu dari hari raya besar yang diraikan oleh umat Islam selain dari Hari Raya Aidil Fitri. Umat Islam digalakkan meraikannya sebagai tanda bersyukur dengan bertahmid, bertakbir dan melaksanakan ibadah korban. Berkorban merupakan salah satu ibadat yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan pada Hari Raya Adha . iaitu dengan menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, kerbau atau unta, seekor kambing untuk seorang, seekor lembu atau kerbau atau unta untuk tujuh orang. Penyembelihan Korban dilakukan setelah selesai solat Aidil-Adha dan masih dapat dilakukan pada hari-hari Tasyrik iaitu 11,12, 13 Zulhijjah.

PERINTAH KORBAN
Korban disyariatkan dalam Islam pada tahun kedua hijrah. Ianya mempunyai tujuan tertentu bagi mengingati pengorbanan teragong Nabi Ibrahim A.S terhadap satu-satunya puteranya Nabi Ismail AS,. Baginda bermimpi, bahawa Allah SWT memerintahkannya untuk menyembelih puteranya Ismail, yang pada waktu itu sudah remaja.

Sebagai manusia biasa, perintah mengorbankan anak kesyangannya itu amat berat untuk dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS . Lebih-lebih lagi beliau mendapat Ismail setelah berusia lebih daripada 60 tahun, hasil perkahwinan dengan Siti Hajar.

Nabi Ibrahim menyampaikan kepada puteranya, Ismail mengenai mimpinya itu, seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran:-

“Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku, bahawa aku (diperintahkan) untuk menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu. (as-Saffat :102)

Sebagai seorang putera yang taat kepada perintah Allah SWT, Nabi Ismail telah menjawab dengan tenang dan menyakinkan, sebagaimana maksud ayat al-Quran dibawah:

“Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepada Mu, Insya-Allah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang-orang yang sabar.” (as-Saffat:102)

Dalam suasana yang mengharukan tetapi diliputi oleh semangat iman, Nabi Ismail meminta supaya ayahnya melaksanakan perintah Allah tersebut. Nabi Ibrahim mencium kening puteranya itu, diletakkan di atas pangkuannya dan mula menyembelih.

Pada saat yang menyedihkan itu Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya, melakukan apa yang dikehendaki-Nya. Putera yang disembelih pada waktu itu bukanlah Nabi Ismail, tetapi seekor kibas (kambing biri-biri) yang muncul secara tiba-tiba menggantikan leher Nabi Ismail. Dengan demikian, Nabi Ismail AS terlepas dari ragutan maut.

Semenjak itulah Nabi Ibrahim melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan secara tertib dan teratur. Kemudian Nabi Muhammad SAW meneruskan ibadat korban menjadi satu amalan Islam yang kita laksanakan setiap hari raya Adha atau hari-hari Tasyrik dalam Al-Quran ,Allah SWT dalam surah Al-Kautsar, ayat 1 – 2 yang bermakksud :

”Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu sembahyanglah kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur) “


PENGORBANAN LAMBANG KASIH SAYANG
Orang-orang yang berjaya dan maju, hidup dengan mentaati perintah Allah SWT , mereka sanggup berkorban masa, wang ringgat, jiwa raga, tenaga fikiran, perasaan, kepentingan diri dan lain-lain pengorbanan lagi. Mereka inilah orang yang benar-benar berjihad untuk memperolehi keredhaan Allah SWT.
Tanpa semangat berkorban, orang akan rasa sayang untuk mengeluarkan perbelanjaan ke Mekah, beribadah serta berwukuf di Arafah, di tengah-tengah sinaran panas matahari, demikian juga tanpa semangat berkorban orang akan sayang untuk mengeluarkan belanja bagi penyembelihan haiwan dan sebagainya.
Ibadat korban bukan sahaja menuntut pengorbanan wang ringgit atau binatang-binatang ternakan tetapi juga menuntut pengorbanan hati. Iaitu hati yang ikhlas melakukannya semata-mata kerana Allah SWT.
Selain daripada mengeratkan silaturrahim sesama muslim, ibadat korban juga mampu merapatkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Ibadat korban dapat mengikis sifat bakhil dan terlalu sayangkan harta. Sifat-sifat yang buruk ini boleh menjerumuskan manusia untuk melakukan perbuatan keji seperti penindasan, rasuah, penipuan dan lain-lain sifat keji yang patut kita hindarkan.
Melaksanakan korban dengan menyembelih binatang ternakan di hari raya Aidil Adha ini , bukan sahaja sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah SWT yang telah melebihkan rezeki kepada kita, tetapi di dalamnya ada rahsia hidup bermasyarakat. Daging korban itu akan menghubungkan talian kasih sayang yang sangat rapat antara si pemberi dengan si penerima, khususnya yang kurang berkemampuan.


PENGORBANAN LAMBANG KETAATAN DAN KETAQWAAN
Sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menjadi sejarah pengorbanan yang tidak ada tolok bandingnya kerana dalam peristiwa tersebut terdapat sifat patuh dan taat terhadap perintah Allah SWT.
Sepanjang sejarah kehidupan manusia, ramai manusia yang telah berkorban kerana Allah SWT. Umpamanya di zaman Rasullullah SAW, ramai para sahabat berkorban untuk menegakkan Islam. Mereka bukan sahaja berkorban harta tetapi juga jiwa raga. Saidina Ali AS telah mempertaruhkan nyawanya sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Saiyidina Abu Bakar As-Siddek dan Saidina Othman RA banyak mengorbankan harta untuk menegakkan Islam. Bilal bin Rabah dan Yasir mengorbankan nyawanya kerana Islam. Demikianlah pengorbanan umat Islam yang terdahulu. Semangat ibadah korban ialah ialah sebagai satu tonggak kekuatan iman kita kepada Allah SWT.


PENUTUP
Ibadat korban dapat membersihkan jiwa manusia dari sifat keji di samping menggilap kembali sifat kemanusiaan yang murni, kerana berkorban memerlukan keikhlasan dan kemurahan hati, bukan senang untuk mengorbankan harta, kalau hati tidak bersih daripada sifat kedekut atau sayangkan harta. Ibadan korban juga boleh menyemaikan benih kasih sayang dan timbang rasa sesama manusia di mana ia boleh merapatkan yang jauh dan mengeratkan yang dekat. Inilah asas kemasyarakatan yang menjadi hasrat kita bersama, erat berpadu sesama umat dalam masyarakat yang membawa kepada kekukuhan umat dan perpaduan negara. Kesimpulannya Aidil Adha atau Hari Raya korban yang didalam terdapat ibadah korban adalah simbol pengorbanan dan kasih sayang.

No comments: