Tuesday, October 21, 2008

DOSA VS HATI



DOSA
SEMUA orang tahu racun sangat berbahaya. Jangankan racun, keracunan makanan pun ditakuti. Bagaimanapun, tidak ramai orang yang tahu betapa bahayanya dosa. Ia lebih berbahaya daripada racun. Dosa membuatkan seseorang merana di dunia dan akhirat. Paling teruk kalau terminum racun orang akan mati tetapi bahaya dosa orang akan dibakar di neraka dan sebelum dibakar api neraka, orang berdosa ini terlebih dulu membakar yakni menyusahkan orang lain di dunia. Ada orang kata dosa adalah soal peribadi masing-masing, buat masing-masing tanggung, jaga kubur masing-masing. Sangat tidak betul kata-kata itu. Kubur kita orang lain yang gali manakala kubur orang lain terkadang kita yang kena uruskan. Maknanya dosa yang kita lakukan akan menyusahkan orang lain. Peminum arak rasa itu perbuatan peribadi, duit dia dan kalau mabuk dia yang terhoyong-hayang. Memanglah duit dia tetapi jika dah mabuk dia langgar orang, dah berapa ramai mangsa kemalangan angkara pemabuk. Rumah tangga lintang pukang dek kerana arak. Kan menyusahkan orang tu.

Bahaya dosa yang banyak itu ialah:

(1) Akan dicabut daripadanya nur iaitu cahaya dan seri keimanan terutama apabila melakukan dosa besar. Muka yang tidak pernah dibasahi air wuduk akan kehilangan serinya. Wajah inilah yang akan menerangi anggota wuduk di akhirat nanti.
(2) Tertutup daripada kebenaran. Maknanya pendosa mana baik dan buruk tetapi tak ikut kebaikan, dia tahu yang buruk tetapi tidak dapat meninggalkannya.
(3) Hilang rasa spontan terhadap amal kebaikan dan ganjaran serta tawaran pahala. Bila sebut syurga dia tidak teringin, bila disebut neraka tidak takut apa pun malah mengejek masuk neraka bukan seorang.
(4) Berat dan payah benar apabila ingin beramal sebaliknya mudah dan ringan apabila diajak melakukan dosa dan maksiat. Menurut ibnu al Qayyim, sesiapa yang melakukan dosa pada waktu malam, dia amat berat untuk melakukan amal pada siang kerana dosa yang dilakukan pada waktu malam menghalang beramal dan begitulah sebaliknya.
(5) Dosa membuatkan hati jadi keras dan degil. Payah benar nak dengar nasihat. Dia nasihat orang boleh tapi sangat berat bila ditegur. Suka bertekak, berbalah dan tidak menghormati orang lain. Bahasanya kasar dan tidak menghormati perasaan orang lain.
(6) Dosa derhaka kepada orang tua boleh berjangkit kepada anak-anak. Allah membalas dengan tindakan anak yang akan menyakitkan hatinya sebagaimana dia menyakiti ibubapanya.
(7) Dosa menjadi hijab doa payah diterima Allah. Ada riwayat yang menyatakan sesiapa makan makanan haram, doanya tidak diterima Allah selama 40 hari.
(8) Terkadang dosa menjadi penghalang daripada mendapat dan menemui jalan penyelesaian.(9) Dosa menjadi penyebab turunnya bala Allah. Ada satu hadis, Rasul bersabda yang maksudnya apabila nampak sangat zina dan riba, sesungguhnya mereka mengizinkan Allah menurunkan azab.

Jauhi Dosa dengan berzikrullah untuk Ketenangan Jiwa
MEREKA yang selalu menjalankan suruhan dan perintah Allah serta meninggalkan larangan-Nya akan terpancar pancaran keimanan pada wajahnya, malah kelihatan tenang, tenteram dan tidak ada kegelisahan di dalam diri.Sebaliknya mereka yang jarang bersujud kepada Allah akan gelisah, bercelaru, resah dan selalu menunjukkan sikap tidak puas dengan nikmat yang Allah berikan padanya.


Dalam hidup ini pasti ada dua golongan seperti di atas. Alangkah manisnya jika ketenangan dan ketenteraman jiwa dapat kita miliki.Betapa pula gelisahnya kita jika kegoncangan dan kegawatan jiwa membelenggu diri. Ternyata jiwa kita selalu merindui kebenaran dan ketenangan, malah kedamaian dan kebahagiaan jiwa lebih bermakna daripada segala-galanya.Untuk mencapai ke tingkat kedamaian itu hanya iman yang dapat membimbing kita. Firman Allah bermaksud: “Orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah.

Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”Mereka yang inginkan ketenangan jiwa mesti mendidik jiwa terlebih dulu. Jiwa dapat dididik dengan dua cara iaitu menjauhi dosa jasmani dan dosa rohani.Untuk menjauhi dosa jasmani, hindarilah kejahatan yang terbit dari perbuatan anggota badan seperti mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki.Pastikan semua anggota itu terjaga daripada perbuatan maksiat. Didiklah ia agar selalu berbuat baik kepada manusia dan beribadat kepada Allah.Untuk menjauhi dosa rohani pula dapat dilakukan dengan bersihkan diri daripada sifat tercela dan hiasi diri dengan sifat terpuji. Penyakit lidah dan penyakit hati membawa manusia kepada kebinasaan.

Sifat hasad, takbur, ujub, riya, bakhil, cintakan dunia, cintakan kemasyhuran, pemarah, mengumpat, mengadu domba, berdusta dan berkata sia-sia mesti dijauhi daripada diri.Dengan sebab itu, jiwa yang tidak pernah disirami dengan roh agama akan selalu bingung dan gelisah dengan masalah yang dihadapinya.Malah lebih terdorong untuk berbuat dosa kerana cuba menyelesaikan kegelisahan yang dihadapi dengan cara sendiri.Justeru itu, ada yang mencari dadah, arak, zina, pil khayal, bunuh diri dan pelbagai penyimpangan lagi sebagai jalan keluar daripada kecelaruan diri. Akhirnya ketenangan tidak dapat dicapai hanya dosa yang semakin menimbun.

Ternyata hanya dengan agama manusia dapat menggapai tenang dan bahagia. Masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh agar jiwa mendapat bimbingan dan rahmat Allah.Hidup yang dibentengi agama ketika menghadapi masalah hidup, jiwa tidak gelisah dan putus asa. Bimbinglah diri dengan sebaik-baiknya serta waspada dengan diri sendiri kerana jiwa manusia mudah terpikat dengan maksiat dan dosa.Jika sudah terlanjur melanggar ketentuan Allah, segeralah bertaubat serta hapuskan dosa itu dengan perbuatan dan keperibadian yang baik.Jalinkan kembali hubungan dengan Allah yang sudah lama terputus, dambakanlah selalu bimbingan dan rahmat dari-Nya, kerana Allah memiliki rasa kasih sayang yang paling agung untuk hamba-Nya yang selalu ingat kepada-Nya. Pintu rahmat Allah selalu terbuka pada sesiapa yang merindui-Nya.

No comments: