’Hijrah Untuk Rahmat, Redha Dan Kasih Sayang Allah’
“Demi Sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut
kepada musuh, merasai kelaparan,kekurangan harta benda, jiwa, hasil tanaman.
Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, Iaitu orang-orang
yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan , mereka berkata: Sesungguhnya kami
adalah kepunyaan Allah dan kepadanya jualah kami kembali” (al-Baqarah :155-156)
"Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya kejalan
kebaikan dan bertakwa mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala
larangannya, serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka
sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan
(syurga)" (al- Lail:17-21)
Makna Hijrah
Konsep hijrah yang selama ini kita
pahami adalah pindahnya Rasulullah Muhammad SAW dari Mekkah ke Madinah. Beliau meninggalkan tanah kelahirannya yang berpenduduk kaum
kafir Quraisy menuju kesuatu tempat bernama Yastrib, yang kemudian disebut
sebagai Madinah. Orang-orang yang berhijrah mengikuti nabi tersebut dikenali
dengan sebutan Muhajirin, sedangkan
penduduk Madinah yang menampung serta membantu kaum muhajirin itu kemudian
disebut sebagai kaum Anshor.
Raqib Al-Ishfahani memberikan makna hijrah kepada tiga
maksud iaitu :
- Meninggalkan
negeri yang berpenduduk kafir ke negeri yang berpenduduk muslim
- Meninggalkan
akhlak buruk atau perbuatan tercela kepada kebaikan (akhlakul karimah)
- Menundukkan
hawa nafsu untuk martabat kemanusiaan (mujahadah an-nafs)
Tradisi atau History?
Apa yang berlaku pada hari ini akan menjadi tradisi pada
keesokannya. Peristiwa yang terjadi pada masa lalu menjadi sejarah pada hari
ini. Peristiwa Hijrah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. adalah suatu
sejarah. Tetapi peristiwa itu tetap hidup sepanjang sejarah serta tamadun umat Islam. Ada latar belakang mengapa
hijrah itu terjadi. Ada kesan besar kepada umat Islam dan umat manusia hasil
dari peristiwa tersebut.
Hasil hijrah Rasulullah SAW ialah penjelasan akidah yang
benar untuk umat manusia. Akidah yang benar memandu manusia tentang adanya
Pencipta. Kewujudan Pencipta membina asas iman bahawa Pencipta berkuasa atas
segala-gala. Darinya lahir keinsafan yang membawa kepada takwa bahawa dari
Allah manusia datang dan kepada Allah manusia akan kembali. Kehidupan umat
Islam tidak saja mengambil pertimbangan dunia tetapi juga mengambil
pertimbangan akhirat. Apabila pertimbangan akhirat menjadi agenda utama,
kehidupan di dunia akan menjadi lebih sempurna kerana manusia terus ingat akan
hari pembalasan.
Akidah
sebagai Pandu Arah
Tanpa akidah yang memandu manusia ke arah keperkasaan dan kebesaran
Allah, pengguna teknologi contohnya akan
merasakan teknologi seperti telefon
pintar dan komputer itu adalah segala-gala. Pengguna yang mempunyai akidah
mantap melihat telefon pintar dan komputer sebagai alat. Input, perisian dan
program yang bermanfaat berkait rapat dengan matlamat. Alat dan matlamat yang
baik bakal membangunkan minda dan ilmu yang baik dan ia akan membebaskan manusia
daripada belenggu.
Mengambil peristiwa Hijrah Rasullullah s.a.w. umat manusia
perlu mengambil iktibar. Amalan jahiliah yang wujud pada zaman Rasulullah boleh
berlaku pada zaman kini. Apabila sebahagian masyarakat muda hari ini amat mengkagumi
budaya asing hingga menyebabkan cara hidup mereka menjadi lepas bebas ia
bermakna amalan jahiliah itu sedang berlaku.
Apabila terdapat dalam kalangan belia yang terlibat dengan
salahguna dadah, memuja idola dan diva, gemar melalui hidup secara
berpoya-poya, ia juga menggambarkan elemen jahiliah sedang mencengkam. Oleh
itu, semangat hijrah yang dirintis oleh Rasulullah SAW harus hidup pada jiwa
belia di sepanjang zaman. Cintakan ilmu-ilmu yang bermanfaat dan membina jiwa
tadabbur yang tinggi untuk kesejahteraan manusia adalah hijrah yang amat
bermakna. Menjaga kepentingan akhlak dan tingkahlaku adalah pra syarat ke arah
membina peribadi yang baik. Berhijrah ke arah pembinaan akhlak yang tinggi
adalah asas untuk perubahan yang bermakna.
Jiwa
Hijrah
Jiwa hijrahlah yang mampu mencetuskan kesedaran dan
keinsafan di kalangan manusia bahawa tanpa akidah yang benar, iman yang mantap
dan takwa yang tinggi tidak mungkin hijrah dalam erti kata yang sebenar boleh
berlaku. Hijrah yang didukung oleh kekuatan ilmu, akhlak dan amal bakal merobah
corak hidup manusia ke arah perubahan yang lebih bermakna. Hijrah seperti
inilah yang amat diperlukan oleh para belia dan umat manusia.
Persekitaran yang baik juga membantu untuk menjadi baik. Mungkin
melalui konsep inilah ilmuwan Arab ada menyatakan berakaitan ada bezanya
bersahabat dengan tukang besi dan penjual minyak wangi.
“Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang
jahat seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang
menghembus bara api). Pengedar minyak wangi, sama ada ia memberi anda
sebahagian ataupun anda membeli bau-bauan daripadanya, ataupun
sekurang-kurangnya anda mendapat juga bau daripadanya. Manakala tukang besi
pula sama ada ia menyebabkan baju anda terbakar, ataupun anda mendapat bau yang
kurang enak.”
Oleh itu jangan terlalu bergantung dengan persekitaran.
Bergantunglah hanya pada Allah, manusia tidak punya apa-apa untuk dijadikan
tempat bergantung.Tidak salah jika persekitaran ini kita anggap perantara,
membantu melonjakkan kita ke awan, menyambut ketika jatuh dan sesekali
mengingatkan untuk kekal berpijak di bumi nyata.
Hijrah
Merubah kepada Kebaikan
Jiwa hijrah ke arah kebaikan perlu ada di kalangan manusia.
Menebus kehinaan umat Islam mesti bermula dengan ilmu. Ilmu yang benar dan
bermanfaat bakal membimbing remaja ke arah hidup yang fitrah. Mengembalikan
tradisi sains dan teknologi yang Islami sewajarnya menjadi tekad remaja supaya
pendidikan sains bakal mendekatkan manusia dengan pencipta dan membangunkan
teknologi yang memberi menafaat kepada umat manusia.
PERUBAHAN juga boleh dikatakan sebagai hijrah. Perubahan dari
yang buruk kepada yang baik dan yang baik kepada keadaan lebih adalah hijrah
sesuatu yang fitrah. Perubahan itu
penting bagi mengelak diri daripada terus berada pada takuk lama dalam serba
lemah, mundur, tak berupaya untuk bersaing serta terdedah kepada kufur nikmat
Perubahan juga haruslah dilakukan oleh diri sendiri kerana
perubahan yang berlaku atas sebab lain biasanya tidak bertahan lama. Ini selari
dengan firman Allah dalam Surah ar-Rad ayat 11 yang bermaksud :
“...Sesungguhnya Allah
tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang
ada pada diri mereka sendiri...”
Menyentuh firman Allah SWT ini, Tafsir Pimpinan Ar-rahman
menjelaskan: mana-mana kaum yang hidup senang -lenang dan aman damai,
disebabkan iman dan taat kepada Allah SWT, juga akhlak yang mulia dan terpuji,
maka Allah SWT tidak akan mengubah keadaan mereka yang baik itu sehingga mereka
mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dari iman dan taat, kepada kufur
dan maksiat, dan dari akhlak yang mulia kepada akhlak yang keji, kerana segala
sifat dan perbuatan yang jahat dan keji itulah sebab sebab yang membawa
kehancuran. Demikian sunnatullah atau undang undang peraturan Allah SWT yang
tetap berlaku kepada sekalian makhlukNya
Semestinya, perubahan ke arah kebaikan harus bermula dari diri
seseorang individu Muslim itu sendiri. Seseorang Muslim perlu mempunyai
kemahuan dan keazaman yang tinggi disertai dengan semangat jihad memerangi hawa
nafsu dan segala sifat - sifat buruk yang merusak kehidupan diri sendiri
mahupun masyarakat. Dan pastinya, perubahan memerlukan pengorbanan kerana
adalah sukar bagi seseorang individu untuk meninggalkan sesuatu tempat mahupun
kehidupan serta tabiat yang sudah biasa dengannya. Ia menuntut semangat jihad
dan keyakinan yang tinggi dalam diri. Maknanya, perubahan adalah suatu tuntutan
hidup, maka setiap orang hendaklah berkorban mentransformasikan dirinya dari
suatu yang buruk kepada yang baik, dari yang baik kepada yang lebih baik. Ini
termasuklah kesediaan serta kemahuan untuk mengorbankan rasa selesa berada pada
tahap sedia ada dan berusaha atau berhijrah melaksanakan transformasi dalam
diri untuk menjadi insan mukmin yang lebih baik dan berjaya.Seperti mana kata
bijak pandai, orang yang hidupnya hari ini lebih buruk dari kelmarin adalah
orang yang celaka. Orang yang hidupnya hari ini sama dengan hari kelmarin
adalah orang yang terpedaya. Manakala orang yang hidupnya hari ini lebih baik
dari hari kelmiran adalah orang yang berjaya.
Azam
Tahun Baru Yang Indah
Semoga di Tahun Baru 1438H, kita sebagai umat Islam dapat
mengamalkan makna dan tuntutan hijrah yang sebenar, iaitu berubah kepada hidup
lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada pada
lingkungan rahmat dan keredaan Allah. Percayalah pertolongan Allah SWT akan
menyusul apabila kita berusaha dan bertawakal mengubah keadaan kita sendiri selari
dengan petunjuk al-Quran dan as-Sunnah,
“
Selamat Tahun Baru 1438 H”….Moga Arah Hijrah Anda Sentiasa Dalam Kebaikan Bagi
Mendapat Rahmat, Redha dan Kasih Sayang Allah