Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Fizikal
Pepatah Arab ada mengatakan al aql salim fil jismi salim,
atau aqal yang sihat terletak pada badan yang sihat. Ia menerangkan
betapa pentingnya kesihatan fizikal dalam mewujudkan kewarasan aqal dan
kesihatan pemikiran. Manakala ungkapan Inggeris pula mengatakan ‘there is no health without mental health’.
Ungkapan ini pula melihat bahawa kesihatan yang menyeluruh itu tidak
akan menjadi lengkap jika kesihatan mental terabai. Semua ini
menyimpulkan kepada kita bahawa kesihatan fizikal dan mental adalah
berhubung kait dan tidak boleh dipisahkan. Sememangnya tidak wujud sama
sekali erti kehidupan yang benar-benar sihat jika kesejahteraan mental
itu diabaikan. Kesejahteraan mental, kestabilan emosi, kemantapan
sahsiah dan personaliti, kecergasan fizikal, serta perhubungan sosial
yang positif amatlah penting untuk menjalani kehidupan yang benar-benar
sihat. Fenomena ini secara logiknya adalah sejajar dengan definisi
kesihatan seperti mana yang dinyatakan oleh World Health Organization
atau WHO, iaitu ‘health is a state of complete physical, mental and social well being and not merely the absence of disease or infirmity’
Definisi ini
sebenarnya memberitahu kepada kita bahawa untuk menjadi seorang individu
yang sihat, kita perlulah sihat dan sejahtera dari segi mental dan
fizikal. Kesihatan mental memerlukan kita untuk memiliki pandangan dan
sikap yang positif dan proaktif terhadap diri sendiri dan orang lain
serta dalam perhubungan kita dengan mereka, di samping memiliki sikap
yang positif terhadap persekitaran kita. Keupayaan untuk bekerjasama
dengan orang lain secara sihat dan mampu mengharungi sebarang cabaran
kehidupan secara berkhemah amat perlu demi kestabilan mental. Jika
definisi oleh WHO ini menggambarkan pengertian terhadap kesihatan yang
juga meliputi kesihatan mental, maka penyakit mental pula digambarkan
sebagai sebaliknya. Iaitu sebarang sindrom mental, emosi
atau tingkahlaku, yang amat mengganggu dan mendatangkan ketidakupayaan
kepada individu itu untuk berfungsi secara sepatutnya dan memerlukan
rawatan. Untuk mencapai atau memiliki tahap kesihatan mental yang
sempurna bukanlah sesuatu yang sukar, namun kesan kegagalan dalam
mencapai atau melaksanakan sesuatu yang mudah adalah lebih sukar kerana
ia akan mengakibatkan lebih banyak keburukan dari kebaikan.
Setiap individu
mempunyai cara tersendiri bagi menyelesaikan masalah kehidupan yang
dihadapi. Namun tidak semua di antara mereka yang tahu cara yang terbaik
dan proaktif dalam menanganinya. Walaupun hanya segelintir yang
menghadapi kepayahan seperti ini, namun langkah-langkah kesedaran perlu
dilakukan untuk mereka agar kaedah yang diambil tidak menjurus kepada
kemusnahan dan tingkahlaku berisiko tinggi serta berbahaya. Kita tidak
mahu ada anggota masyarakat yang menggunakan pendekatan sendiri seperti
mengambil dadah, meminum arak, merokok, menganjurkan seks bebas, atau
membunuh diri bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Kesan penyakit
mental sebenarnya lebih banyak mendatangkan keburukan dan bebanan kepada
kita semua dalam pelbagai aspek kehidupan, khusus terhadap pesakit,
keluarga mereka, majikan, kehilangan produktiviti dan pendapatan,
seterusnya menjejaskan ekonomi negara dan sistem penjagaan kesihatan.
Memang sudah dimaklumi bahawa penyakit mental, tekanan emosi dan
gangguan tingkahlaku turut mendatangkan pelbagai kesengsaraan dan
ketidakupayaan lain. Ia bukan sahaja menjejaskan produktiviti, tetapi
juga kesannya yang negatif terhadap keperibadian dan perhubungan sosial,
malah boleh membawa kepada pelbagai penyakit mental dan fizikal lain
serta ada yang berakhir dengan kematian.
Wujud banyak
kajian yang mendapati pertalian rapat di antara penyakit mental seperti
kemurungan dengan penyakit berkaitan jantung seperti penyakit jantung
kardiovaskular, koronari, strok dan sebagainya. Pesakit kemurungan dan
skizofrenia juga berisiko untuk menghidapi penyakit diabetes dan
obesiti. Manakala penghidap penyakit kebimbangan (anxiety) turut terdedah menghidapi penyakit jantung koronari, strok dan kematian otot-otot jantung (myocardial infarction). Penyakit berkaitan gangguan sistem pernafasan seperti asma dan COPD (chronic obstructive pulmonary disease) juga dialami oleh pesakit kemurungan, pesakit panik dan pesakit kebimbangan umum (generalized anxiety). Di kalangan pesakit gangguan kebimbangan (anxiety disorders),
mereka turut didapati lebih berisiko untuk menghidapi penyakit kronik
lain yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Kajian telah mendapati
pesakit gangguan panik dan kebimbangan umum lebih tinggi menghidapi
masalah yang dikenali sebagai irritable bowel syndrome atau IBS, satu masalah kronik berkaitan sistem penghadaman dan pembuangan najis.
Hasil Kajian
Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, Kementerian Kesihatan Malaysia
menunjukkan trend peningkatan kes gangguan mental dan tingkahlaku
sebanyak 6 peratus di kalangan masyarakat berbanding kajian yang sama
pada 1996. Masalah kesihatan mental golongan dewasa meningkat kepada
11.2 peratus berbanding 10.7 peratus. Manakala golongan kanak-kanak dan
remaja, ia meningkat dari 13 peratus kepada 20. 3 peratus. Kajian ini
turut menyaksikan seramai 3 juta daripada 26 juta rakyat mengalami
masalah kesihatan mental.
Manakala antara
20 hingga 30 orang dari setiap 100,000 rakyat akan membunuh diri setiap
tahun. Peningkatan turut dilihat dalam trend mendapatkan rawatan masalah
mental di hospital-hospital kerajaan. Pada tahun 2008, seramai 400, 227
pesakit mendapatkan rawatan psikiatri di hospital-hospital kerajaan
berbanding 346, 196 pesakit pada tahun 2007. Menjelang tahun 2030, WHO
menganggarkan penyakit kemurungan (atau depression) merupakan punca
utama bebanan yang mengakibatkan ketidakupayaan, selepas bebanan akibat
penyakit AIDS dan jangkitan HIV. Menurut Persekutuan Psikologi dan
Kesihatan Mental ASEAN pula, negara ini akan mengalami penjejasan
ekonomi dan produktiviti sehingga RM1 billion akibat penyakit mental
yang tidak terkawal. Selepas memahami hubungkait antara penyakit mental
dengan penyakit kronik fizikal, sudah pasti sebarang peningkatan kes
gangguan mental akan juga mendatangkan peningkatan beban yang teruk
kepada kesejahteraan fizikal. Bagi menghindari perkara ini, sebarang
bentuk gangguan mental atau perkara yang menjurus kepadanya wajar
dicegah dari awal lagi.