Ruqyah dalam Perubatan Islam
Bidang
perubatan Islam mempunyai matlamat untuk melahirkan individu yang bersih jiwa,
sihat pemikiran dan mantap tubuh badannya untuk tujuan beribadah kepada Allah. Perubatan Islam menumpukan kepada
aspek fizikal dan mental sekaligus (Danial
Zainal Abidin 2003). Menurut
kajian Nurdeen Deuraseh (2013) dan M Darojat Aryanto (2007) sejarah
pengubatan ruqyah merupakan perubatan yang paling tua di muka bumi dan terus
berkembang sehingga zaman kini. Sebelum kedatangan Islam masyarakat Arab
jahiliah telah pun mengamalkan jampi atau mantra iaitu bacaan-bacaan yang
digunakan adalah dalam bentuk memuja dan minta pertolongan dari jin dan syaitan. Selepas
kedatangan Islam seorang sahabat yang bernama Auf bin Malik al-Asjai bertanya kepada
Nabi SAW berkaitan ruqyah atau mantera yang telah mereka lakukan pada zaman
jahiliah dahulu samada masih boleh diamalkan setelah kedatangan Islam, Rasulullah SAW menjelaskan
bahawa diharuskan ruqyah dengan syarat tidak
sampai mensyirikkan Allah SWT
(Sahih Muslim,
Jilid IV, Kitab Salam, No 2063).
Perkara ini disokong oleh Ibn
al-Qayyim al-Jawziah dalam kitabnya, ‘At-Tibb an-Nabawiy- terj’(2013) dan Imam
Al-Suyuti (1996: 35-36) yang menyatakan bahawa pengubatan menggunakan bacaan
ruqyah dengan bersumber al-Quran dan al-Sunnah adalah sistem pengubatan yang
dilakukan oleh Rasulullah S.A.W selain dua kaedah iaitu pengubatan dengan ubat
sahaja atau pengubatan yang menggabungkan ruqyah dan ubat.
Terdapat banyak hadith-hadith yang mengharuskan penggunaan ruqyah dalam
mengubat, antaranya ialah cerita dari Abi Said al-Khudri berkaitan sekumpulan sahabat Rasulullah SAW telah mengubat
seorang ketua kampung yang mengalami bisa disengat kala jengking dengan
menggunakan ruqyah surah al-Fatihah. Hasilnya orang yang diubati itu telah
sembuh dan mereka memaklumkan perkara itu kepada Rasulullah dan baginda membenarkannya
(Sahih Muslim, Kitab Salam, Hadith No 2064). Dalam hadith riwayat Muslim dalam Kitab Salam juga
memperlihatkan Rasulullah SAW meruqyah ahli keluarganya dengan surah al-muawidzat
dan doa dengan dibacakan ketempat sakit atau diusapkan (Sahih Muslim, Kitab
Salam, Hadith No 2052 dan 2053). Antara penyakit yang diruqyah yang dibicarakan
dalam hadith juga ialah demam (Sahih Muslim, Kitab Salam, hadith no 2055),
kudis, bisul dan luka (Sahih Muslim, Kitab Salam hadith no 2056).
Rasulullah SAW
juga pernah menggunakan ruqyah untuk menyembuhkan penyakit sahabat, cucu dan
ahli keluarganya (M Darojat Aryanto 2007). Terdapat juga fakta yang menyatakan
bahawa Malaikat Jibril juga pernah meruqyah Rasulullah SAW sebagaimana yang disebut
dalam kitab Sahih Bukhari. Selari dengan kajian Nurdeen Deuraseh (2013) dalam “
Book Of Medicine In Sahih Bukhari” yang menganalisa hadis hadis Rasulullah SAW berkaitan
perubatan Nabi dan beliau mengenal pasti bahawa antara perubatan yang digunakan
Nabi Muhammad SAW ialah berasaskan ruqyah, antaranya sebagaimana hadith berikut
;
Dari Aisyah
r.a katanya : “Bila Rasulullah SAW
sakit, Jibril datang menjampinya.
Ucap Jibril “ bismillahi yubriika wa min kulli daa in yushfika wa min syarri
hasidin idza hasad, wa syarri kulli dzi ‘ainin”[1] (Sahih
Muslim, Kitab Salam, no 2047).
Pendekatan ruqyah yang
dilakukan jibril ialah dengan melafazkan bacaan-bacaan tanpa perbuatan seperti
meniup di tapak tangan atau penggunaan air.
Kajian Nurdeng Deuraseh bertajuk ‘Rukyah dalam Islam Kearah
Jampi Yang Halal’ (2013) menjelaskan bahawa masyarakat Melayu telah mengamalkan
ruqyah sejak kurun ke-9 lagi semenjak Islam datang ke Nusantara. Sebelum
kedatangan Islam jampi berasaskan fahaman animism dan dinamisme telah diamalkan
oleh masyarakat Melayu pada 650-1200 masihi. Ketika ini khasnya di Malaysia ruqyah berkembang melalui
pusat pusat rawatan tradisioanal atau atas nama pusat rawatan Islam antaranya
seperti Darul Syifa’, Darul Manzil, Darul Ruqyah, (Sharifah Norshah Bani Syed Bidin,tt), Isra’ IQ Therapy, Darul Salam,
Darul Qayyum, Darul Hidayah dan banyak lagi.
Definisi Ruqyah
Banyak penulisan dan kajian
antaranya oleh al-Jawrani (2007), Akmal Abdul Munir (2005), Malik Faisal (2011),
Musdar Bustmam Tambusai (2013), Ana Noviana (2010), Hazlina Abdullah (2003),
Ibn al-Qayyim (2013) dan Ensiklopedia al-Quran yang telah membincangkan
definisi dan pengertian ruqyah samada dari sudut bahasa atau istilah. Definisi
ruqyah secara istilah mengikut al-Jawrani (2007) ialah “meminta perlindungan
bagi orang yang sakit dengan membacakan sebahagian ayat-ayat al-Quran, nama-nama Allah dan sifat-sifatNya
disertai dengan membaca doa-doa yang syar’ie (ma’thur) dengan Bahasa Arab atau
bahasa yang difahami maknanya lalu ditiupkan”. Manakala menurut Ibn al-Qayyim
al Jawziyah (2013) terapi ruqyah adalah terapi dengan melafazkan doa dari al-Quran
atau al-Sunnah untuk menyembuhkan sesuatu penyakit. Manakala dalam Ensiklopedia
al-Quran, jilid 4, halaman 214 menyebut
ruqyah ialah suatu bentuk pengubatan dengan menggunakan kalimah-kalimah
tertentu untuk menyembuhkan penyakit.
Ummu Abdillah
Hanien Zarqaa’ dalam bukunya bertajuk ‘Terapi Pengobatan dengan Ruqyah
Syarri’yyah’ (2005) menjelaskan keharusan ruqyah yang mengikuti tuntutan
syara’. Beliau menjelaskan berkaitan definisi ruqyah secara harfiah, istilah
dan pandangan ulama’. Beliau turut mengulas bahawa terdapat tiga syarat ruqyah
dan ayat-ayat serta doa yang diamalkan ketika ruqyah seperti surah al-fatihah, surah
al-mua’wwidzat, surah al-Kafirun,
ayat akhir surah al-Baqarah, ayat kursi dan beberapa zikir dan doa ma’thur.
Hasil perbincangan
disimpulkan bahawa ruqyah itu ialah permohonan perlindungan dan penyembuhan dengan
bacaan tertentu seperti ayat-ayat al-Quran, doa-doa dan zikir. Ia boleh
ditiupkan kedalam air untuk dibuat minum atau mandi atau ketempat sakit atau anggota badan bagi orang
sakit, seperti demam, histeria dan seumpamanya
samada sakit fizikal atau mental agar dapat disembuhkan. Ia mampu mempengaruhi
jiwa dan roh serta mendatangkan kekuatan untuk sembuh.
Muhammad bin Yusuf al-Jawrani
(2007) dan Malik Faisal (2011) menjelaskan Ruqyah terbahagi kepada dua iaitu ruqyah
syar’iyyah dan ruqyah syarqiyyah. Ruqyah Syar’iyyah iaitu terapi
dengan cara membaca al-Quran, doa dan zikir bersumber al-Quran dan al-Sunnah yang didapati
sahih pada riwayatnya. Terapi ini dilakukan oleh umat Islam dengan tujuan untuk
menjaga diri sendiri atau orang lain dari pengaruh jahat pandangan mata manusia,
jin, kerasukan, sihir, jiwa kacau dan pelbagai penyakit fizikal atau mental.
Islam membenarkan ruqyah syar’iyyah (Ibrahim Abdul Halim Abdul Barr 2006)
sebagai salah satu usaha penyembuhan dari penyakit berasaskan doa-doa dan zikir-zikir
yang diajar oleh Rasulullah SAW dengan penuh keimanan dan ketakwaan serta yakin
bahawa yang menyembuh penyakit adalah dengan keizinan Allah semata-mata.
Amalan ruqyah
yang mengikut perspektif Islam harus menepati beberapa syarat. Menurut Ibrahim
Salim terj Abdul Aziz@Ahmad bin Mohd (1991), Hisyah Rashid (2008), Haron Din (2009)
dan Ummu Abdillah Hanien Zarqaa’(2005) antara syarat ruqyah syarr’iyyah
ialah:
i.
Bacaan-bacaannya diambil dari ayat-ayat al-Qur’an, nama-nama
Allah dan SifatNya atau
hadith-hadith sahih tanpa mengubah susunan kalimahnya, seterusnya lafaz-lafaz ruqyah itu bukan
berasal dari ahli sihir dan peramal.
ii.
Menggunakan Bahasa Arab yang fasih, dibaca dengan jelas
sehingga tidak
berubah dari
makna asalnya. Lafaz-lafaz
ruqyah tidak boleh mengandungi istilah atau symbol-simbol yang mengisyaratkan
sesuatu yang haram.
iii.
Menyakini bahawa bacaan ayat-ayat al-Quran dan al-Hadith
tersebut hanyalah
wasilah untuk
penyembuhan atau jampi tidak memberi apa-apa kesan, hakikat yang menyembuhkan
adalah Allah SWT, hasilnya dapat mendekatkan diri manusia kepada Allah.
Ruqyah Syirkiyyah pula ialah ruqyah dengan
memohon pertolongan selain Allah atau mencampurkan sekali dua permohonan iaitu
memohon kepada Allah dan juga selain Allah seperti dengan jin atau syaitan. Ruqyah
yang dibaca jauh terpesong dari sumber al-Quran dan al-Sunnah. Bacaannya mengandungi
unsur-unsur syirik hingga menyebabkan
tergelincir dari akidah Islam. Ruqyah jenis ini adalah diharamkan dalam Islam
kerana ia bukan sahaja menyesatkan diri manusia yang mengamalkan bahkan mampu
memperdayakan manusia yang kurang ilmu agamanya.
Namun terdapat
persepsi di kalangan masyarakat awam berpendapat bahawa terapi ruqyah hanya
untuk merawat dan menyembuhkan penyakit gangguan jin, syaitan (Zainul Ariffin & Zulkhair T.th)
atau hantu serta perkara perkara ghaib sahaja. Pendapat ini tidaklah tepat
kerana Ibn al-Qayyim al-Jawziyah (2013) menyatakan bahawa terapi ruqyah juga boleh digunakan
untuk penyakit-penyakit berbentuk fizikal. Perkara ini turut disokong dengan
sorotan kajian lepas menunjukkan terapi ruqyah telah digunakan untuk
menyembuhkan penyakit berkaitan emosi (Nikmatun Khasanah 2006), jiwa (Dadang
Hawari 1996; Iman Setyabudi 2012), kanser (Lokman Abdul Hamid 2013), cemas (Ana
Noviana 2010). Walau bagaimanapun rawatan menggunakan ruqyah untuk HIV/AIDS
masih kurang diterokai. Bagaimanakah endekatan
ruqyah dan adakah hasilnya sama dengan penyakit lain atau berbeza?.
Kesan dan Penyembuhan
Penyakit Menggunakan Ruqyah
Terapi ruqyah
mementingkan pengisian rohani supaya kembali kepada fitrah manusia iaitu yang
mempunyai hubungan hamba dengan pencipta. Ia menekankan keyakinan bahawa Allah
yang berkuasa menyembuhkan sesuatu penyakit dan maha berkuasa atas apa jua
perkara. Penyakit
umpama syaitan yang mengotori udara bersih, mampu menimbulkan kesakitan dan
membawa kerosakan kepada kesihatan. Syaitan menguasai suasana, tempat dan manusia
yang tidak ada zikir kepada Allah dalam hidupnya, kesannya umpama suatu tempat
yang penuh dengan keadaan yang rosak dan berwabak. Antara punca punca penyakit
adalah dari gangguan syaitan dan jin, dua entiti ini mampu mempengaruhi manusia
agar melakukan maksiat dan perkara yang dimurkai Allah yang akhirnya membawa
penyakit kepada manusia contohnya perlakuan
zina, homoseksual, pengambilan dadah, arak dan sikap berfoya foya manusia hingga lupa Tuhan adalah kerana
pengaruh syaitan. Kajian menunjukkan punca tertinggi membawa kepada munculnya HIV/AIDS
adalah disebabkan zina, jelas perbuatan zina terjadi adalah kerana pengaruh
syaitan (Dadang Hawari 1997).
Berasaskan
ini kesembuhan mampu didapati dengan adanya iman dalam diri, menjauhi perkara maksiat dan taat
kepada perintah Allah. Harun Arrasyid Hj
Tuskan (2006) menjelaskan bahawa tubuh manusia mempunyai keupayaan untuk sembuh
dengan sendiri, ia terletak pada iman dan emosi. Kesimbangan emosi, sifat
sabar, tenang, ikhlas dan syukur menyebabkan tubuh mempunyai daya tahan yang
tinggi terhdap penyakit. Ini rasional untuk sembuh kerana Rasulullah SAW juga
pernah terkena demam akibat sihir seorang Yahudi yang namanya Lubaid bin Ashim, baginda sakit
selama enam bulan, namun kerana kekuatan iman dengan perlindungan Allah,
penyakit itu tidak melemahkan baginda untuk terus melakukan tugas kerasulan.
Bagi Harun (2006)
tindakbalas terhadap penyakit juga menjadi faktor kepada kesembuhan, contohnya
sakit di bahagian perut rawatannya solat tahajjud, membaca al-Quran dan puasa.
Penyakit sukar tidur, letih lesu, tidak selera makan, sesak nafas dan demam
rawatannya ialah munajat dan doa. Semua ini berkaitan dengan getaran penyakit
yang boleh dilenyapkan hasil getaran ayat al-Quran, doa, zikir atau amalan
kerohanian. Penyakit merupakan satu bentuk tenaga yang buruk, manakala ayat-ayat
al-Quran, doa, zikir dan solat pula menghasilkan satu bentuk tenaga yang baik
dan mampu menghancur tenaga yang buruk.
Bagaimana terapi
ruqyah al-Quran dan doa mampu merawat penyakit?.Menurut Ibn al-Qayyim
al-Jawziah (2012) bahawa ayat-ayat al-Quran mampu memberi pengaruh kepada jiwa
apabila dibaca dengan khusyuk, memerhati dengan hati dan fikiran mereka.
Apabila fikiran mereka terfokus kepada ayat dan memahami setiap makna ayat maka akan lahir
cahaya pada jiwa dan akhirnya memberi
kesan kepada kehidupan.
Selain itu
hubungan antara suara ayat al-Quran terhadap penyembuhan penyakit dapat dilihat dalam beberapa kajian.
Mereka mendapati frekuansi suara dapat mempengaruhi banyak virus, suara itu
dihantar dengan frekuansi yang jelas serta dapat dikenali oleh tubuh hingga
mampu mengaktifkan sel sel darah putih, lalu sel-sel itu bertindakbalas
menumpaskan virus-virus penyakit yang hadir. Syarat kejayaan rawatan ini ialah
suara itu harus sesuai dengan virus yang didapati. Perkara
ini dibuktikan dengan kajian Kahel
(2010), Lutfiyah Ningsih & Abdul Ghofar (t.th) dan Mustamir Abdullah
(2013), mereka menjelaskan bahawa suara suara positif yang dibacakan kepada tempat sakit mampu menghasilkan
kesan positif, dimana sel mati menjadi hidup dan disistem semula, virus-virus
mampu dihancurkan dan apatah lagi apabila dibaca al-Quran kepada air akan
menghasilkan molekul yang cantik dan bercahaya. Air yang telah dibacakan ayat-ayat
al-Quran dan kemudian diminum oleh pesakit mampu menjadi pembersih kepada virus
dan bakteria dalam tubuh. Seterusnya membawa kesembuhan dari penyakit yang
dihidapi.
Seterusnya hasil kajian Mustamir Abdullah (2011)
menjelaskan terdapat empat cara al-Quran menyembuhkan penyakit fizikal, iaitu al-Quran
sebagai media latihan pernafasan, pengaruh tempat keluarnya huruf dari pada
organ-organ tubuh badan, peranan al-Quran sebagai muzik dan konsep
religiopsikoneuroimunologi. Kesimpulannya masyarakat yang
mengamalkan ruqyah dari bacaan al-Quran dan doa mathur Nabi SAW sebagai
zikir mampu menjadi kuat, bersih, terjaga dan membinasakan syaitan (Ibrahim
Salim terj Abdul Aziz@Ahmad bin Mohd 1991).
Allah memberi
peringatan kepada manusia bahawa syaitan adalah musuh utama manusia oleh itu manusia harus sentiasa
berhati hati dengan tipu daya syaitan kerana syaitan sentiasa sedaya upaya
untuk menjatuhkan manusia dari taat kepada perintah Allah kepada derhaka kepada
Allah. Penyakit juga merupakan salah satu dari senjata syaitan untuk
menyesatkan manusia. Salah satu contoh ialah samada manusia akan berubat dengan
petunjuk Allah iaitu dengan perubatan yang patuh atau petunjuk syaitan dengan
cara pengubatan yang jauh dari akhlak dan akidah Islam seperti mengamalkan
ruqyah syirkiyyah. Sebaliknya amalan ruqyah syariyyah dengan bacaan zikir dan doa
mampu melindungi manusia dari gangguan syaitan dengan izin Allah (Abdul Hayie
al Alawi 2006).
Membawa pandangan
Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah dalam Tafsir
al-Qayyim sebagaimana yang dibahaskan oleh Abdul Hayie al-Alwai (2006)
menyatakan 10 perkara yang boleh menjaga manusia daripada gangguan syaitan ialah
sebagaimana berikut :
i. Berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk sebagaimana
firman Allah dalam surahFussilat ayat 36 yang bermaksud:
Dan jika Engkau dihasut oleh
sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah Engkau meminta perlindungan kepada
Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
ii. Bacaan ‘taa’wuz’ sebagai perlindungan kemudian diikuti oleh
surah al-hasyr tiga ayat
terakhir akan dilindngi Allah dengan 70 ribu malaikat dan sekiranya dia mati ketika itu maka
matinya dikira sebagai syahid. Manakala menurut hadis yang diriwayat oleh al-Bukhari
bacaan ‘ta’aawuz’ mampu melindunginya dari penderitaan.
iii. Membaca surah al-Falaq dan surah An-Nas sebagai perlindungan
dari kejahatan dan penyakit selsema
sebagaimana yang disebut dalam hadith
riwayat an-Nasai dan dibaca
ketika tidur sebagaimana hadith riwayat Ahmad. Manakala hadith riwayat al-Bukhari
menyatakan Rasulullah SAW akan membaca surah perlindungan (surah al-Falaq dan surah
al-Nass) apabila sakit dan meniup
sendiri ketempat sakit, diceritakan juga bahawa Aisyah turut membaca dua surah
tersebut dan mengusap tempat sakit dengan tangan baginda untuk mendapat
keberkatan.
iv.
Membaca ayat kursi untuk mendapat perlindungan Allah
sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari berkaitan kelebihan orang membaca
ayat kursi akan dilindungi Allah sepanjang malam apabila ia dibaca sebelum tidur.
v. Membaca surah al-Baqorah, awal surah al-mukminun, dan zikir
‘Laa ilaah illallah’.
Oleh itu jelas bahawa perkataan
yang paling disukai oleh Allah setelah bacaan al-Quran ialah zikir dengan kalimah
kalimah tauhid sebagaimana hadis dari Samurah bin Jundab, dia berkata:
Rasulullah SAW bersabda: “Perkataan yang paling disukai Allah SWT ada empat
macam iaitu subhannallah, alhamdulilah, lailahailah, wallahu akhbar. (Sahih
Muslim Kitab Zikir, Doa, Taubat Istighfar no 2317)
Terbukti zikir kepada Allah merupakan pertolongan paling
besar untuk taat kepada Allah. Allah memudahkan orang yang berzikir mencintai
apa yang dicintai Allah. Zikir kepada Allah membawa kepada dimudahkan oleh
Allah segala urusan, zikir juga mampu menyingkirkan segala ketakutan dalam hati
kerana dengan berzikir akan mendatangkan rasa aman dalam jiwa manusia
(al-Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasqi terjemahan Panel Penterjemah 2011).
(al-Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasqi terjemahan Panel Penterjemah 2011).
Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah
(2005) menjelaskan bahawa doa adalah senjata mukmin, ia mampu menghindarkan
sesuatu yang bahaya, masalah dan membawa kemaslahatan. Doa akan makbul dengan cara
melaksanakan segala syarat rukun doa seperti khusyuk dan makan makanan halal,
sebagaimana maksud firman Allah dalam surah al-Mukminun
ayat 51:
r
“Wahai Rasul-rasul, makanlah
dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh. Sesungguhnya
Aku maha mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”
Tulisan (Lutfi Kiram az
Zumaro & Norhanis Hashim T.th ) menjelaskan bahawa doa dan zikir ibarat radio aktif
yang mempunyai sumber kuasa dan tenaga yang membangunkan, ketika manusia
berdoa, zikir seolah-olah sedang memberi cas tenaga kepada dirinya. Secara
psikologi doa memberi pengaruh besar kepada kekuatan jiwa, doa membuat jiwa
kita kuat, tenteram, dan menambah semangat berjuang. Doa juga boleh jadi terapi
diri untuk keluar dari masalah dan penyakit kerana disebaliknya akan muncul
ketenangan, kekuatan dan semangat pada jiwa. Jelas bahawa jiwa yang optimis akan berusaha dengan bersungguh
sungguh dan apabila dia gagal dia tidak gelisah kerana dia memahami bahawa
segala takdir ditangan Allah.
Umum mengetahui
bahawa amalan berdoa sangat digalakkan dalam Islam. Doa juga memberi kesan baik
dalam kehidupan dalam menghadapi cabaran kehidupan ia dapat dilihat sebagaimana Rasulullah SAW sering
berdoa mohon perlindungan dari takdir buruk, kecelakaan dan dari tekanan ujian
(Sahih Muslim, Kitab Zikir, Doa, Taubat dan Istighfar, hadis no 2330)
Asasnya doa,
zikir dan ayat-ayat al-Quran digunakan dalam terapi ruqyah, namun amalan terapi ruqyah bukan bermakna kita
meninggalkan perubatan moden, terapi ruqyah adalah penyempurnaan perubatan yang
menggunakan ubat ubatan, ini juga adalah cabang dari perubatan Islam. Terapi
ruqyah juga boleh digunakan pada bila bila masa tanpa ada kesan sampingan,
malahan ia membawa rahmat, pendidikan, ketenangan jiwa dan dekat dengan Allah. Intipati
ruqyah adalah untuk fizikal, jiwa dan juga ruh (Ibrahim Salim terj Abdul
Aziz@Ahmad bin Mohd 1991). Selaras dengan ini adalah pendapat Fajar Hidayanto
(2006) dalam kajiannya berkaitan rawatan untuk orang yang hidup dengan
HIV/AIDS menjelaskan bahawa rawatan moden
tanpa doa dan zikir tidak memberi kesan yang sempurna kepada tahap penyembuhan
pesakit. Doa dan zikir mempunyai nilai psikoterapi yang tinggi dan mampu meningkatkan
daya tahan tubuh.
Banyak kajian
yang membuktikan bahawa terapi ruqyah dengan bacaan al-Quran, doa, dan zikir memberi kesan kepada
penyembuhan penyakit. Antaranya ialah kajian Primadona (2010) menunjukkan
bahawa ketenangan yang diperolehi dari zikir meningkatkan ketahanan tubuh,
mengurangkan risiko penyakit jantung, memanjangkan usia. Tanpa ketenangan tubuh
menjadi lemah dan senang untuk dijangkiti virus, membantu pembiakan sel-sel kanser.
Perbahasan Aida Hidayah (2011) turut mendapati bahawa ayat-ayat al-Quran
mempunyai pelbagai fungsi selain sebagai nilai ibadah ia adalah ubat menyelesai
semua masalah hidup. Cahaya Sabiq (2008) turut bersetuju bahawa terapi ruqyah
mampu menyembuhkan penyakit yang berkaitan psikologi dan terapi berfungsi
mencegah penyakit singgah kepada manusia. Fadzli Adam (2011) menyatakan rawatan
alternatif seperti solat, taubat, muhasabah diri, kelas fardhu ain dan mengaji al-Quran
membantu penyembuhan kes penagihan dadah. Iman Setyabudi (2012) menyatakan
metod zikir yang diberikan kepada pesakit AIDS berpengaruh secara signifikan
dalam menurunkan tahap kesan negatif dalam diri mereka iaitu membantu memberi
ketenangan kepada jiwa mereka.
Seterusnya Che
Zarrina Saari (2014) menjelaskan bahawa zikir sangat berkesan untuk membentuk diri insan. Beliau
mendapati dalam kajiannya terhadap penagih dadah di Pusat Remaja Inabah Sungai
Ikan Kuala Terengganu yang didedahkan dengan aktiviti zikir 80% telah berjaya
dipulihkan dari penagihan dan juga masalah
mental.
Hasil kajian Nurdeen
Deuraseh (2007-2008) yang bertajuk ‘Healing Through Ruqyah (Incantation) with
special focus an the percepction of Malay Muslim Society In Kelantan and
Terenggnau, on Ruqyah As An Alternative way at Healing in Malaysia’ menjelaskan bahawa 83% bacaan ayat
Al Quran seperti surah al-Fatihah, surah an-Nas, al-Falaq, amalan doa dan
solat, melindungi manusia dari syaitan kerana didapati 2.62% punca penyakit
dipercayai dari syaitan. Nubli (2014) menjelaskan bahawa pembacaan al-Quran dengan tartil memberikan
kesan yang jelas kepada kulit, hati dan minda. Amalan taubat dan zikir seperti
tahlil, tasbih dan selawat juga memberi
kesan kepada individu dalam ruang lingkup membawa perubahan dalam aspek pembangunan
insan.
Manakala kajian
Abdul Ghofar, Lutfiyah Ningsih (T.th) yang bertajuk ‘The In\\fluence Of
Playing Therapy And Music Therapy (Listening Al-Qur’an: Juz Amma) To Anxiety
Respond At Toddler’ mendapati kanak kanak yang didengarkan bacaan al-Quran akan merasa lebih tenang jauh dari
sifat kemurungan, sedih, cemas dan kerisauan.
Pesakit yang didengarkan bacaan al-Quran akan menghasil kesan positif pada sel-selnya
hasil penghantaran gelombang suara ke otak. Otak akan memberikan respon yang
menenangkan kerana ia adalah fitrah dari Allah. Bacaan al-Quran dan doa membawa
kepada ketenangan berbanding perkataan perkataan lain. Maka benarlah maksud firman
Allah dalam surah ar-Ra’d ayat 28 :
(Iaitu) orang-orang yang
beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". ketahuilah dengan
"zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Pakar perubatan Barat
menyatakan bahawa cara terbaik untuk mengubati berbagai penyakit adalah dengan
menyusun semula sistem sistem sel manusia. Oleh itu mereka menggunakan irama
yang mampu mempengaruhi orang yang mendengar dan sel-sel rosak dikatakan mampu
untuk sembuh (Kahel 2010). Perkara ini juga di sokong oleh William G Braud
Pengarah Penyelidikan di Institut of Transpersonal Psychology di Palo Alto menyatakan bahawa doa atau
aktiviti di fikiran mampu mempangaruhi manusia dan kesihatan seperti gerakan
mata, motoric, pernafasan dan irama otak
(M Darojat Ariyanto 2007).
(M Darojat Ariyanto 2007).
Manakala dari
sudut perubatan moden, kajian menunjukkan terapi ruqyah meninggalkan pengaruh
dalam penyembuhan sakit fizikal. Dr Dossey seorang doktor perubatan lulusan
University Texas mengakui bahawa hasil penelitiannya menunjukkan bahawa doa dapat
menghancurkan sel kanser, enzim, bakteria dan yang seumpamanya (M Darojat Ariyanto
2007).
Kajian Hawari
(1997) menjelaskan bahawa 393 pesakit jantung di San Francisco pesakit yang mana terapinya
ditambah dengan doa menunjukkan penyembuhan
yang positif dan tidak mendatangkana komplikasi berbanding yang tidak
disertai dengan terapi doa. Aryanto Derajat (2005) turut menjelaskan bahawa
kesembuhan dengan rawatan ruqyah juga bergantung kepada pesakit, perawat dan
proses ruqyah dilaksanakan. Beliau menjelaskan bahawa ciri-ciri khas serta etika pesakit dan perawat membantu menyembuhkan
peyakit.
Perkara ini juga dibahaskan
dalam kajian Abdul Jalil (2012) yang menggunakan kaedah temubual bersemuka
untuk memperolehi data. Hasil kajian Abdul
Jalil (2012) berkaitan kesembuhan dengan ruqyah ialah 85% sembuh dan 15% tidak
sembuh, di mana bagi perawat yang ‘bagus’ peratus sembuh ialah 75% dan dan 25 %
tidak sembuh apabila pesakit dirawat oleh perawat yang ‘tidak bagus’. ‘Bagus’
di sini adalah berasaskan dari ciri takwa dan kedekatan amalan perawat kepada
Allah yang mencipta kesembuhan.
Manakala kajian
Sharifah Norishah Bani Syed Zaman yang bertajuk ‘Ayat-ayat al-Quran Sebagai Terapi
Kerasukan Jin’, beliau merumuskan bahawa peranan perawat, bacaan ayat-ayat al-Quran
serta keyakinan pesakit memainkan peranan penting dalam kesembuhan dalam
rawatan ruqyah. Di mana pesakit dan perawat pada asasnya mestilah beriman dan
yakin bahawa yang menyembuhkan penyakit
adalah Allah, dan manusia hanya perlu berusaha, maka ruqyah dengan ayat-ayat al-Quran
adalah satu ikhtiar manusia untuk memohon kepada Allah untuk sembuh dari gangguan jin dan penyakit.
[1]
“ dengan nama Allah yang menjadikan engkau dan yang menyembuhkan engkau dari
segala penyakit dan dari kejahatan orang orang pendengki apabila dengki dan
dari kejahatan setiap pandang mata orang yang punya mata”