Wednesday, April 14, 2010


FENOMENA GEJALA SOSIAL

PENDAHULUAN

Gejala Sosial merupakan fenomena modenisasi dan kejutan budaya yang sering melanda golongan remaja dan belia.Globalisasi dan modenisasi juga merupakan penyebab berlakunya perubahan nilai dalam diri individu, keluarga dan masyarakat.

Dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global tanpa sempadan hari ini, banyak berlaku limpahan budaya negatif yang melanda negara di seluruh dunia. Masyarakat kita pada hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme - suka berpoya-poya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dalam amalan seks bebas ( berzina ), buang bayi, ketagih rokok, judi, arak, bahan porno (lucah ), bunuh, rogol dan banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.

Laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penglibatan dalam gejala sosial bermula seawal umur 10 tahun.Perangkaan Polis Diraja Malaysia menunjukkan aliran peningkatan kes sejak tiga tahun lalu yang melibatkan kelompok umur berkenaan yang merangkumi penyalahgunaan dadah , gengsterisme dan perilaku seks bebas.


STATISTIK GEJALA SOSIAL
Remaja Hamil Luar Nikah


Kita tidak mempunyai laporan statistik yang tepat mengenai jumlah sebenar remaja yang hamil di Malaysia. Namun peningkatan kejadian buang bayi, remaja ponteng dan berhenti sekolah, remaja melarikan diri dari rumah dan peningkatan kes-kes remaja yang hamil dan bersalin membuktikan bahawa permasalahn ini menjadi semakin parah.


Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim telah menyatakan bahawa seramai 17,303 anak luar nikah Melayu telah didaftarkan di seluruh Negara sepanjang tahun 2009 seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita harian bertarikh 21hb Mac 2010. Menurut beliau lagi, bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,1000. Ini bererti seramai kira-kira 65 bayi di luar nikah dilahirkan di kalangan orang Melayu. Jumlah ini tidak termasuk di kalangan kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Walaupun laporan JPN dan JKM tidak pernah menyatakan umur sebenar ibu-ibu yang melahirkan anak di luar nikah ini, kejadian ini seharusnya sudah lebih dari cukup untuk membuka mata masyarakat umum bahawa salah laku seksual atau lebih tepatnya kejadian zina semakin merebak termasuk di kalangan remaja Melayu.
Sebahagian besar daripada mereka yang terlibat dalam gejala seks luar nikah adalah di kalangan kumpulan remaja di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan juga di sekolah menengah. Ini merupakan satu kejadian yang sangat menggerunkan kita semua.


MASALAH REMPIT

Remaja merempit untuk mencari keseronokan, kepuasan, kemasyhuran, wang dan perempuan. Kepuasan dan keseronokan untuk melepaskan diri sementara dari tekanan hidup. Mengecapi bentuk hiburan yang murah dengan hanya berbekalkan RM4 untuk minyak dan keberanian untuk beraksi. Ada yang mendapat habuan lumayan berupa wang dan perempuan. Bukan semua berani mati begitu tapi wang taruhan dikumpul dalam kalangan mereka, menyuburkan lagi gejala ini.

Fenomena Mat Rempit di kalangan anak muda yang bukan sahaja melibatkan gejala sosial bahkan aktiviti jenayah seperti lumba haram dan kes ragut, hatta mengakibatkan kematian dua wanita hamil di Johor Baharu dan Kota Bharu baru-baru ini, memerlukan strategi dan pendekatan yang holistik dan bersepadu dari semua golongan dan entiti masyarakat agar ia tidak menjadi barah yang mengancam ketenteraman dan keselamatan awam. Dianggarkan di Malaysia sahaja terdapat kira-kira 200,000 Mat Rempit. Situasi ini amatlah mendukacitakan apabila, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, 93 peratus daripada 3,182 tangkapan yang dibuat dari tahun 2001 hingga Mei, 2008 akibat pelbagai kesalahan jalan raya adalah anak muda di antara umur 16 dan 25 tahun, yang sepatutnya menjadi aset penting kepada pembangunan negara.

Pada tahun 2005, sebanyak 3,175 kematian dicatat bagi kelompok itu, berbanding 3,088 (2004), 3,166 (2003), 3,034 (2002), 2,972 (2001), 3,118 (2000) dan 2,960 (1999). Daripada Januari 2007 hingga Julai 2007, didapati bahawa sebanyak 242 tangkapan dilakukan, 200 daripadanya di sekitar Kuala Lumpur. Statistik keseluruhannya menunjukkan 2005 hingga Julai tahun ini (2008) sebanyak 1,557 pelumba haram berjaya ditangkap di bawah Sekyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Kaum Melayu mendahului jumlah tangkapan, iaitu 1,436 tangkapan, Cina (51 tangkapan), India (63 tangkapan) dan kaum-kaum lain (tujuh tangkapan). Daripada statistik itu juga, mereka yang bekerja sendiri paling ramai terlibat iaitu 269 orang, diikuti pengganggur 256 orang dan pelajar 238 orang. Mereka yang bekerja sebagai buruh turut ditangkap seramai 186 orang, pekerja kilang 174 orang, penghantar surat 161 orang, mekanik 59 orang, dan lain-lain 214 orang. Golongan mat rempit yang berumur lingkungan 16 hingga 20 tahun paling ramai ditangkap iaitu 913 orang, diikuti umur 21 hingga 25 tahun seramai 550 orang, 26 hingga 30 tahun seramai 63 orang, bawah 15 tahun seramai 26 orang dan lebih 31 tahun seramai lima orang.


DADAH
Laporan Dadah Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun 2007, dianggarkan 200 juta atau 5% daripada penduduk dunia (1 dari daripada 200 orang ) mengambil dadah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan setiap penagih yang dikesan ada 4 lagi yang tidak dilaoprkan. Jika benar kenyataan ini bermakna jumlah sebenar penagih di Malaysia menjadi sejuta orang berbanding 250,000 yang dilaporkan. Kajian Yayasan Perlindungan Jenayah Malaysia mendapati kebanyakkan penagih di Malaysia mula mengenali dadah dalam lingkungan usia 13-15 tahun dan 17% daripada penagih baru terdiri dari golongan muda antara 19-39 tahun.

Mengikut Statistik dan Maklumat Dadah Agensi Antidadah Kebangsaan , Kementerian Dalam Negeri bagi tahun 2009, golongan belia berumur 19-39 tahun merupakan majoriti tertinggi penagih yang dikesan iaitu seramai 11,949. Manakala Penagih remaja yang berumur antara 13-18 tahun menunjukkan peningkatan pada tahun 2009 berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak 217. Kategori umur 25-29 tahun merupakan bilangan penagih yang paling ramai dikesan iaitu seramai 3,474 orang Dari jumlah ini seramai 12,281 orang remaja dan belia yang berumur antara 13-39 tahun terlibat dengan pengambilan dadah.


HIV AIDS

Kes pertama HIV/AIDS melibatkan seramai 3 orang pesakit telah mula dikesan di Malaysia pada tahun 1986. Jumlah tersebut bagaimana pun telah meningkat kepada 3,080 pada akhir 2009. Sehingga kini kumulatif pesakit HIV/AIDS adalah seramai 87,710 orang.

Menurut laporan dari Kementerian Kesihatan Malaysia , Cawangan AIDS /STD Bahagian Kawalan Penyakit , menyatakan HIV telah bermula dengan 3 kes pada 1986,kes tertinggi pada tahun 2002 (6,978),terdapat 74,316 orang yang masih hidup dengan HIV pada akhir 2009 (jumlah dilaporkan seramai 87,710).13,394 orang telah meninggal dunia.7 daripada setiap 10 kes HIV/AIDS adalah warga Melayu beragama Islam.4 daripada setiap 10 kes HIV/AIDS adalah warga muda berusia bawah 29 tahun.Manakala belia yang berumur 30 – 39 tahun merupakan kumpulan tertinggi dijangkiti HIV iaitu sebanyak 43 % dan diikuti sebanyak 34% di kalangan mereka yang berusia 20-29 tahun.


JUVANA DIKALANGAN PELAJAR SEKOLAH

Peningkatan kes jenayah juvana di kalangan pelajar bukanlah isu yang boleh dipandang remeh memandangkan saban tahun bilangan jenayah juvana semakin meningkat dan perkembangan itu amat membimbangkan.Sebagai usaha awal pencegahan, masyarakat perlu membantu sekolah dan polis mengurangkan masalah jenayah juvana di kalangan pelajar sekolah.Statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan dari Januari-Febuari 2008, seramai 233 pelajar yang berumur antara 13 dan 18 tahun terlibat dengan jenayah.Kes kecurian motosikal merupakan jenayah paling 'popular', iaitu 91 orang pelajar terlibat dan ini diikuti dengan kes mencuri (65 orang), pecah rumah (40 orang) dan rogol (37 orang).


Peningkatan kes juvana dalam peringkat membimbangkan. Statistik terkini ialah terdapat 1.5 penjenayah dikalangan setiap setiap 1000 orang pelajar. Buktinya statistik serta kajian pihak berkuasa badan bukan Kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi tempatan menunjukkan betapa jenayah pelajar dibandar atau diluar bandar bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Selain peningkatan kes , jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatat peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Sepanjang tahun 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan . Angka itu meningkat kepada 2,218 kes tahun 2008 yang menyaksikan seramai 3,725 orang ditahan.


PENUTUPSemua pihak harus berganding bahu dalam menangani gejala sosial yang berlaku dengan strategi dan pelan tindakan yang mampan dalam melahirkan masyarakat yang bersih dari segala penyakit gejala sosial.



Rujukan :
1. Bernama 4 April 2010
2. Makluman Dadah 2008 Agensi Dadah Kebangsaan Kementerian Dalam Negeri.
3. Statistik Penagih dan Penyalahgunaan Dadah di Seluruh Negara Bagi Tahun 2009
4. Statistik HIV/AIDS Cawangan AIDS/STD, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia.

2 comments:

faiz_naimi said...

Salam..

Haslinda, blh saya tau dari mana awak dapt statistik kes2 gejala sosial ini dengan lbh tperinci?

Wasalam

eiela said...

hai,,assalamualaikum...

nice blog,,,

salam ziarah,, sembang2disini.blogspot.com